Pengenalan
Karya asal Raja Ali Haji telah diselenggara oleh Abu Hassan Sham dan dimuatkan pada muka surat 7 dan 8 antologi Harga Remaja. Tema syair ialah kelebihan orang yang menggunakan akal. Dengan fikiran yang tajam, orang berakal dapat membezakan sahabat dengan orang berperangai jahat, di samping sentiasa patuh akan perintah Tuhan atas kesedaran bahawa hidup di dunia hanyalah bersifat sementara.
Perbincangan rangkap demi rangkap
Orang berakal sangatlah mulia,
Pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.
Orang berakal berkedudukan mulia justeru sifat berkenaan diwarisi oleh para Nabi dan insan pilihan yang mendekatkan diri dengan Allah. Sesiapa yang mendampingi orang berakal memperoleh kebahagiaan.
Kerana ia akalnya tajam
Menjadi kepala bela bermacam,
Jikalau mata melihatkan kejam,
Disebutlah jalan ia tersunjam.
Ketajaman berfikir orang berakal melayakkan mereka berperanan sebagai pemimpin yang dapat menyelamatkan manusia daripada kesilapan. Orang berakal akan menegur tentang kezaliman yang berlaku sebagai petanda kehancuran.
Telek pandangan dengan makrifat,
Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.
Orang berakal mengamati sesuatu peristiwa atau kejadian menerusi perspektif ilmu. Orang berakal mengasihi pemimpin dan sahabat yang baik-baik, tetapi bersikap sebaliknya dengan orang yang berkelakuan jahat, kerana tidak mahu terpengaruh, atau terpalit dengan aib dan cela.
Sebagai lagi tanda berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjatuhkan tamak hendak tawakal,
Ibanya tahu dunia tak kekal.
Ciri orang berakal yang sangat penting ialah tidak menyalahi hukum agama. Mereka membuang jauh sifat tamak bagi menghias diri dengan sifat pasrah, iaitu berserah diri kepada Allah. Orang berakal sangat sedar akan kehidupan di dunia yang sementara. (Iba = hiba = belas kasihan = terharu = pilu = sayu = sedih)
Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.
Andainya orang berakal disenangi pemimpin (raja), mereka mereka masih seperti biasa, bukan menunjuk lagak dengan gaya berjalan sesuka hati tanpa mempedulikan orang lain. Pendek kata, orang berakal tidak bertukar sombong dalam pekerjaan. Pergaulan dengan teman rapat juga masih seperti biasa.
Apabila raja kasih sangat,
Makin itu makin ia ingat,
Segala taulannya hatinya dihambat,
Merendahkan diri serta berkhidmat.
Apabila kepercayaan pemimpin (raja) semakin kuat, orang berakal tidak mudah lupa diri, bahkan lebih beringat. Ikatan persahabatan dengan teman rapat makin kukuh. Dalam pekerjaan, orang berakal tidak suka menunjuk-nunjuk, sebaliknya memberi tumpuan terhadap kerja.
Demikian lagi dengar olehmu,
Tanda berakal kasihkan ilmu,
Suka mentelaah tiadalah jemu,
Mencari kepuasan jangan tersemu.
Orang berakal juga sangat cinta akan ilmu. Mereka sangat gigih dan tekun dalam menuntut ilmu. Dalam usaha mengejar kesejahteraan diri, orang berakal tidak mudah terpedaya dengan pesona yang tidak menentu.
Tugasan Soalan
Aras Petikan
i. Apakah maksud pakaian anbia dan aulia? (2 markah)
ii. Nyatakan dua sifat orang berakal. (3 markah)
Aras kbkk
iii. Orang berakal menjauhi sifat tamak.
Jelaskan dua tindakan orang yang bersikap tamak. (4 markah)
iv. Ketajaman fikiran dalam kalangan murid sekolah paerlu digalakkan.
Huraikan dua aktiviti kokurikulum yang boleh menyumbang terhadap ketajaman fikiran murid sekolah. (4 markah)
Aras komsas
v. Nyatakan dua pengajaran dalam sajak. (3 markah)
vi. Huraikan satu nilai murni dalam sajak. (3 markah)
No comments:
Post a Comment