Tuesday, July 12, 2011

PLOT DAN SINOPSIS NOVEL "SUKAR MEMBAWA TUAH" (THE PRICE TO SUCCEED)

Alangkah baiknya jika Adit tidak perlu menjadi tempang dalam usaha mengejar kecemerlangan ilmu dan mengubah nasib kaumnya. Alangkah baiknya juga jika Ah Tong tidak mati apabila lori yang dipandunya tergelincir di jalan balak yang biasa dilalui. Namun, pendekatan dera sosial (social torture) itulah yang menjadi pilihan M.Z Erlysha, nama pena bagi pengarang novel, Suziana binti Che Will, 34, anak Kelantan.

Panduan Asas Menulis Plot dan Sinopsis

Binaan plot sesebuah novel biasanya dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu:

          1   Pengenalan / Permulaan

          2   Perkembangan / Eksposisi

          3   Konflik / Pergolakan

          4   Klimaks / Puncak

          5   Peleraian / Pengakhiran

Sinopsis ialah ringkasan cerita secara umum antara 100 ke 150 patah perkataan, dan perlu mengandungi perkara-perkara berikut:

          1   Tema

          2   Watak / perwatakan

          3   Latar masa, masyarakat, tempat

          4   Beberapa peristiwa penting (maksimum 3)

Contoh Penulisan Plot

Permulaan

Adit, 10 tahun, anak lelaki Pak Katan, kanak-kanak orang Asli. Adit anak yang patuh kepada ibu bapa dengan membantu mereka untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga yang hidup miskin. Adit sudah menyiapkan tali sejak malam sebelumnya dan sanggup meredah hutan sendirian untuk melihat belat di sungai. Dalam usia semuda itu, Adit sangat cekap dan tangkas mengayuh sampan ke hilir. Adit juga mahir mencari damar di celah-celah daun kering. Adit juga sangat berpegang kepada janji kepada Tuk Batin Ahboi dengan tidak menjual ikan kepada orang lain. 

Pak Katan juga bijak merancang pekerjaan dengan mengasah parang hingga tajam sebelum turun ke hutan. Walaupun sudah berusia, Pak Katan masih bertenaga untuk kerja hutan. Pak Katan berjalan pantas hingga Adit tercungap-cungap mengekorinya. 

Mak Tawi pula ibu yang penyayang dan prihatin. Dia menegur perbuatan Adit yang tergesa-gesa minum kopi panas. Mak Tawi cekap menyediakan hidangan untuk seisi keluarga.

Perkembangan

Adit berbeza pendapat dengan pak Katan dari segi impian kehidupan. Adit menyatakan keinginannya untuk bersekolah seperti Akeh, rakan karibnya. Pak Katan pula seperti penduduk kampung orang Asli yang lain tidak menaruh impian besar, melainkan berterung hidup dalam persekitaran leluhur (turun-temurun) mereka di hutan yang terasing daripada dunia luar. Dalam diam, Pak Katan akur akan hasrat Adit, lalu ke pekan untuk menguruskan pendaftaran persekolahan Adit. Mak Tawi pula masih bersikap konservatif dan pesimis. 

Tijah, 13 tahun, anak Tuk Batin memberi sokongan penuh kepada Adit untuk menggapai cita-citanya. Dia sanggup mendengar luahan perasaan Adit dan menunggu sehingga Adit selesai mandi di sungai.

Konflik

Masalah timbul apabila Adit tidak mendapat tempat tinggal di asrama. Adit juga harus mula belajar dalam darjah satu, berbanding dengan Akeh yang sudah masuk darjah enam. Impian Adit seperti sudah berkecai.

Klimaks


Mujur Ah Tong, penyelia pembalakan sanggup menumpangkan Adit ke sekolah, sambil Pak Atan, pemandu lori balak sudi mengambil Adit pulang. Pada suatu hari, Adit tidak pulang-pulang ke rumah sedangkan, hari sudah merangkak malam. Gerak hati (sixth sense) Mak Tawi nyata tepat bahawa Adit terbabit dengan kemalangan hingga mengalami kecederaan parah. Gerakan mencari yang diselaraskan oleh Tuk Batin akhir menemui Adit mengerang kesakitan di sebelah mayat Ah Tong di dalam gaung. Adit dimasukkan di Unit Rawatan Rapi dan berada di hospital selama dua bulan sebelum disahkan pulih. Kaki Adit berubah tempang.



Peleraian

Adit murid yang pintar. Dalam tempoh yang singkat, Adit boleh membaca, menulis dan mengira dengan cekap. Dia mendapat tempat pertama dan dibenarkan melompat kelas. Akhirnya, Adit memperoleh 3A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan ditawarkan ke sekolah berasrama penuh. Adit memilih untuk kekal di sekolah harian. Adit menjadi ikutan dan dorongan kepada kanak-kanak orang Asli di kampungnya untuk turut bersekolah...


Contoh Penulisan Sinopsis

Novel "Sukar Membawa Tuah" membawa tema kegigihan seorang kanak-kanak orang Asli mengejar impian  untuk berjaya dalam pelajaran. Adit berjaya meyakinkan Pak Katan tentang kepentingan pelajaran walaupun pada awalnya Pak Katan dan Mak Tawi bersikap konservatif dan hanya mahu mengekalkan tradisi kehidupan sedia ada. Adit sanggup menumpang jip dan lori pekerja balak untuk ke sekolah akibat tidak mendapat tempat di asrama. Walaupun terbabit dengan kemalangan dan terlantar di hospital selama dua bulan, Adit tidak patah semangat. Malah, Adit muncul sebagai murid cemerlang yang menjadi ikon dan teladan kepada kanak-kanak kampungnya untuk menjejak kaki ke alam persekolahan.

Perwatakan watak utama

gigih: Adit sanggup berulang-alik dari rumah ke sekolah dengan menempuh jalan balak yang sempit berjumlah empat jam sehari

berwawasan / berpandangan jauh:  Adit yakin pelajaran ialah jaminan masa hadapan memandangkan kawasan hutan akan semakin terjejas akibat proses pembangunan dan kegiatan ekonomi

amanah / berpegang teguh kepada janji:  Adit tidak memberi sebarang kepastian tentang lebihan ikan yang diminta oleh jiran memandangkan Tuk Batin terlebih dahulu telah membuat pesanan belian

patuh / taat:  Adit tidak pernah membantah cakap Pak Katan dan Mak Tawi. Walaupun hasratnya ditentang oleh pak katan dan mak Tawi pada awalnya, Adit hanya merajuk.

sabar / tabah: walaupun telah tempang, Adit tetap kental dalam pembelajaran hingga mencapai kejayaan cemerlang.

Perwatakan watak sampingan

Peka / prihatin / sensitif:  Pak Katan perasan akan perubahan sikap Adit yang berdiam diri apabila permintaannya untuk bersekolah disanggah. Pak Katan kemudian mengubah pendirian, lalu memberi harapan kepada Adit.

Penyayang:  Mak Tawi sangat bimbang apabila kelibat Adit tidak muncul hingga larut senja. Mak Tawi mengambil tindakan segera untuk mencari adit dengan bantuan Tuk batin dan penduduk kampung. mak Tawi juga sanggup tinggal di asrama jururawat untuk menemani Adit di hospital.

Berwibawa:  Tuk Batin Ahboi, 75 tahun, sangat dihormati oleh penduduk kampung. Perintah dan arahan Tuk Batin dipatuhi, contohnya dalam gerakan mencari Adit yang hilang.

Setia kawan:  Tijah menangis mendengar berita Adit masih belum pulang ke rumah.
                 
Sedia membantu:  Mak Ca, isteri Tuk Batin sanggup menjaga dan menanggung makan minum adi-adik Adit semasa Pak Katan dan Mak Tawi tinggal di asrama jururawat.

Budiman / peramah:  Ah Tong sanggup membantu Adit untuk ke sekolah walaupun tiada hubungan darah.
                         :  Pak Kassim, pengawal keselamatan sekolah mempelawa Adit sarapan bersama bekal yang dibawa.

Latar masyarakat

Masyarakat orang Asli:  keluarga Adit tinggal jauh di dalam hutan.

Masyarakat pekerja balak:  Ah Tong, Rak Atan dan rakan-rakan tinggal di rumah kongsi dan sentiasa mesra dengan penduduk tempatan.

Masyarakat yang gigih:  (huraian ikut contoh dalam perwatakan di atas)

Masyarakat yang berwawasan / berpandangan jauh

Masyarakat yang patuh / taat

Masyarakat yang sabar / tabah

Masyarakat yang amanah / berpegang kepada janji

Masyarakat yang peka / prihatin / sensitif

Masyarakat yang penyayang

Masyarakat yang setia kawan / saling membantu

Masyarakat yang budiman / peramah / berhati mulia / jujur / ikhlas

Latar tempat

Bukit Lokan / Kampung Bakai:  petempatan orang Asli suku Jahut

Rumah bangsal:  tempat tinggal keluarga Adit yang daif. Apabila hujan, tempias dan bocor di sana sini.

Rumah Tuk Batin: tempat masyarakat setempat mengadu hal / bermesyuarat / menerima arahan

Sungai:  tempat Adit menahan belat / mendayung sampan ke hilir

Di tengah hutan:  tempat Adit dan Pak Katan mencari damar, gaharu dan rotan

Sekolah / pekan:  tempat Adit berulang-alik empat jam sehari untuk belajar

Hospital:  tempat Adit menerima rawatan setelah terbabit dengan kemalangan ngeri

Latar masa

Awal pagi:  Adit bersedia menemani bapa ke hutan / bersiap ke sekolah / mandi dalam keadaan menggigil

Sesi persekolahan pagi:  Adit berjumpa semula dengan Akeh menerusi pertolongan Pak Kassim

Tengah hari / petang:  Adit menumpang lori balak yang dipandu oleh Pak Atan yang peramah

Malam:  Hujan turun mencurah-curah. Atap rumah Adit ditampal dengan kain guni. Tanpa diduga rusa menyerah diri.
          :  Gerakan mencari Adit dilancarkan oleh Tuk Batin dengan kerjasama seluruh penduduk kampung

Enam tahun berselang / kemudian:  Adit berjaya mencatat keputusan 3A dalam UPSR

Nilai murni  (huraian: gunakan contoh dalam perwatakan / latar tempat / latar masa)

Kegigihan, kepatuhan / ketaatan, kesabaran / ketabahan, kesetiaan, kepekaan / kerihatinan, kasih sayang, kejujuran / keikhlasan / kesetiakawanan

Persoalan (juga gunakan contoh yang sama)

Kegigihan dalam menempuh cabaran / dugaan

Kepatuhan / ketaatan terhadap ibu bapa / ketua / pemimpin

Amanah dalam berjanji

Kasih sayang dalam keluarga / masyarakat / sesama insan

Saling membantu mengikut kemampuan diri

Kesetiakawanan yang tidak berbelah bahagi

Kesabaran kunci kejayaan (seperti judul novel)

Pengajaran  (juga gunakan contoh yang sama)

Kita hendaklah gigih dalam menempuh cabaran / dugaan

Kita hendaklah patuh / taat terhadap ibu bapa / ketua / pemimpin

Kita hendaklah menunaikan janji

Kita hendaklah menyayangi sesama keluarga / masyarakat / insan

Kita hendaklah tolong-menolong sesama masyarakat

Kita hendaklah setia kawan dalam persahabatan / masyarakat

Kita hendaklah sabar / tabah dalam menghadapi pancaroba kehidupan

kbkk

peristiwa yang menarik:  kejutan / saspens / cemas / mendebarkan / lucu

alasan tentang kesesuaian judul novel

kebijaksanaan watak utama menyelesaikan masalah

permulaan yang berjaya menambat hati pembaca untuk meneruskan pembacaan

pengakhiran cerita yang sejajar dengan jangkaan / harapan pembaca

kelebihan novel yang dibaca: gaya bahasa kemas, teknik penceritaan yang mudah difahami, kaya dengan maklumat yang berguna

2 comments:

  1. what a good nice book,pls more read

    ReplyDelete
  2. Very nice and useful to secondary school students! Thanks a lot!!!

    ReplyDelete