Tanggal 1 Syawal menandakan berakhirnya bulan Ramadan al-Mubarak. Umat Islam diharamkan berpuasa pada hari itu, bahkan dianjurkan supaya bergembira atas kejayaan menyempurnakan ibadah sebulan berpuasa. Konsep suka ria yang dipamerkan akan memberi gambaran tentang akses ilmu pengetahuan seseorang tentang hakikat hari raya.
Kanak-kanak ialah golongan yang paling gembira menyambut hari raya. Masing-masing bergaya dengan persalinan serba baharu. Mereka juga sibuk mengumpul duit raya yang dihulurkan oleh orang-orang dewasa.
Aktiviti ziarah dan rumah terbuka menghiasi suasana hari raya. Di Malaysia, semangat muhibah turut dipupuk menerusi kunjungan jiran tetangga dan kenalan daripada masyarakat bukan Islam. Majlis rumah terbuka orang-orang bandar dijadualkan secara khusus, lengkap dengan undangan lisan, mesej pesanan ringkas (sms) atau bertulis, atas sebab keselamatan dan kewangan.
Gedung perniagaan dan media elektronik tidak putus-putus menyiarkan lagu hari raya klasik seperti "Dendang Perantau" alunan Allahyarham Tan Sri (Dr) P. Ramlee, atau "Musafir di Aidil Fitri" dendangan Allahyarham S. Jibeng. Lagu-lagu baru seperti "Nazam Lebaran" (Datuk CT) dan "Satu Hari di Hari Raya" (M. Nasir) juga menjadi pilihan penerbit radio dan DJ pasar raya. Sesekali kedengaran juga nasyid hari raya oleh kumpulan al-Mizan yang pernah mencetuskan fenomena jalur muzik berkenaan pada dekad 1970-an dahulu.
Juadah kuih-muih tradisional Melayu seperti kuih siput, semperit dan tapai pulut berbungkus daun palas (sebelah pantai timur Semenanjung) masih ada, tetapi kurang diberi perhatian oleh generasi muda. Sebaliknya, kuih-muih komersial dan tempahan mendominasi meja hidangan, misalnya tart nanas, tart almond dan rempeyek mini. Hidangan berat seperti nasi hujan panas, mi kari dan laksa turut tersenarai sebagai menu hidangan.
Ujian menahan diri daripada mengisi perut semahu-mahunya dalam bulan Ramadan tampak sukar untuk bertahan. Antara keinginan melayan selera dengan menjaga hati tuan rumah boleh mengakibatkan seseorang itu makan dan minum hingga melebihi had kesederhanaan. Maka, jika selepas beberapa hari berbuat demikian, tidak perlulah menyalahkan keadaan atau orang lain jika paras gula dan lemak di dalam sistem tubuh badan naik mendadak.
Amalan saling bermaafan pula tidak patut dianggap sebagai lesen untuk menyusun sepuluh jari, lantas berjabat salam dengan bukan mahram walaupun sepupu sepapat, apatah lagi tetamu berlainan jantina. Barangkali cara menyambut salam tangan dalam sinetron "Ketika Cinta Bertasbih" walaupun kelihatan seperti kebiasaan orang Siam boleh dicontohi. Insya-Allah tiada hati yang akan terguris, bahkan rasa dihargai akan bersemi.
Lulusan sekolah Ramadan seharusnya mempamerkan ciri taqwa yang makin meningkat. Hari Raya juga ialah suatu ibadah dan sebagai permulaan kesinambungan ke arah jati diri insan yang lebih dekat kepada Allah sebelum datang pula Ramadan berikutnya andai panjang umur murah rezeki. Orang yang bertaqwa bakal menyumbang terhadap kesejahteraan diri sendiri dan orang lain, serta sama sekali tidak menjadi beban kepada sesiapa pun.
Kunjungan tetamu, termasuk rakan-rakan bukan Islam sangat dialu-alukan. Hubungan persaudaraan dan persefahaman silang budaya seumpama itu akan mengukuhkan ikatan masyarakat bagi menghadapi cabaran bersama. Sesungguhnya hari raya ialah kesempatan terbaik bagi melakukan islah, iaitu proses pembaharuan dan penambahbaikan yang berterusan...
No comments:
Post a Comment