Tajuk Seminar: Persidangan Keluarga Negara
Tarikh : 27 Ogos 2003
Tempat : Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
Tajuk Kertas Kerja: Bahasa Mesra dalam Keluarga
Pembentang: Prof Madya Dr Ishak Ramly
Pembentang membandingkan lamunan anak muda sebelum mendirikan rumah tangga dengan realiti setelah lama hidup bersama menerusi dua petikan sajak. Berlakunya kerapuhan rumah tangga berpunca dari mulut, iaitu keluarnya ucapan yang pilu, daif, hiba dan menyeksa. Sepatutnya bahasa mesra yang dituturkan supaya menjadi penawar kepayahan dan penderitaan. Bahasa mesra ialah bahasa yang indah dan baik untuk didengar, tertib, santun, memujuk, serta tidak menimbulkan kesangsian, bangkangan atau penolakan daripada pendengar. Kebahagiaan dan keberkatan disusurgalurkan menerusi komunikasi keluarga sebagai saluran deria ikatan lebih sepakat dan harmoni. Perbuatan kecil komunikasi termasuk bahasa pergerakan berperanan menebalkan kasih sayang dan hormat-menghormati yang berpanjangan. Mesra dijelmakan dalam interaksi berteraskan keikhlasan dan kejujuran. Kuasa bahasa mesra ibu bapa boleh dikesan jika anak sentiasa merindui suara dan bahasa indah yang dibutirkan oleh ibu bapa sehingga menjadi pendorong dan pembakar semangat keramat mereka. Pembentang seterusnya menggariskan 14 panduan bahasa mesra dengan tumpuan terhadap kemahiran mendengar di kalangan ibu bapa. Masalah komunikasi yang wujud dikategorikan dalam 10 perkara termasuk kritikan, melabel, ancaman, memberi arahan, mimik muka, kurang perhatian, sentiasa bercakap, bahasa tinggi, bercakap laju, dan tidak tentu hujung pangkal. Anak ibarat permata yang perlu sentiasa digilap supaya kelihatan bercahaya, iaitu digilap menerusi keluarga bahagia yang kaya dengan budi bahasa.
No comments:
Post a Comment