Dokumentari buah tangan Shuhaimi Baba yang tersiar di saluran Astro History tentang seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri (Dr) P. Ramlee ialah sebuah kisah pengakhiran lara dalam dunia nyata. Kisah benar seperti itu patut diambil iktibar oleh pelbagai pihak. Betapa P. Ramlee yang telah menyenangkan banyak orang, terutama tauke wayang, telah dilupakan begitu sahaja hingga hidup melarat.
Pada zaman kejatuhan beliau, hanya nasi berlaukkan telur goreng sebagai alas perut. P. Ramlee sampai sanggup turun ke persembahan berskala kecil seperti di Chenderong Balai, Perak untuk memperoleh bayaran yang tidak seberapa. Tauke filem, syarikat rakaman dan penganjur persembahan langsung tidak ambil pusing akan P. Ramlee, apatah lagi untuk mengenang sumbangan beliau. Hanya beberapa orang rakan karib yang prihatin, yang juga hidup ala kadar, datang menjenguk dan menghulurkan bantuan seadanya.
Penulis blog (PB) bukanlah penyokong industri hiburan, tetapi sekadar mahu melihat aspek-aspek positif ikon seniman Melayu yang terus diingati walaupun telah pergi hampir 4 dekad lamanya. Sudah tentu banyak aspek syariat dan akhlak Islam yang perlu dibincangkan tentang kerja perfileman sejak penulisan skrip, pergaulan bukan mahram dan banyak lagi. Alasan pekerjaan atau darurat, atau membuat perbandingan dengan kerja kecemasan dalam bidang perubatan tentu sekali tidak kena.
P. Ramlee mengecap era gemilang ketika Studio Jalan Ampas, Singapura masih beroperasi hinggalah diarahkan tutup oleh pemerintah republik itu. Kemunculan Studio Merdeka bersebelahan Zoo Negara, Hulu Kelang dengan serba kekurangan, ditambah dengasn kebanjiran filem-filem Holywood dan Hindustan telah menyempitkan ruang filem Melayu. Pengaruh pop yeh-yeh dan hippies telah menjadikan Studio Merdeka bungkus!
Nasib P. Ramlee hampir sama dengan watak Kasim Selamat, peniup saksafon terkenal, dalam filem "Ibu Mertuaku". Beliau dikhianati oleh banyak pihak yang tidak tahu menghargai persahabatan dan suci hati. Seorang lagi tokoh filem yang pernah diasuhnya tega "merampas" tugas pengarahan filem Perfima daripada P. Ramlee.
Ketika meninggal dunia, P. Ramlee tidak meninggalkan wang tunai untuk isteri beliau, seniwati Saloma. Anak kandung beliau, Nasir memilih haluan sendiri dalam bidang seni. Mujur sahabat karib beliau menghulurkan RM3,000 untuk urusan pengkebumian.
Setelah tertubuhnya MACP yang diasaskan oleh Freddie Fernandez (kumpulan Revolvers, abang kepada pemilik Air Asia, Tony Fernandez), perjuangan menuntut bayaran royalti lagu ciptaan P. Ramlee yang mencecah jutaan ringgit di bawa ke mahkamah. Walaupun hanya sejumlah 390 melodi gubahan beliau, mutu muzik yang dihasilkan mencapai tahap antarabangsa. Lagu-lagu seperti "Getaran Jiwa" dan "Jeritan Batinku" dimainkan oleh orkestra simfoni tersohor dunia dalam dewan berprestij tinggi pula.
Kebanyakan lagu gubahan dan nyanyian beliau masih tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Pendek kata, naskhah muzik ciptaan P. Ramlee bersifat malar hijau. Tema cinta negara, keagamaan, patrotisme dan kasih sayang berjaya disampaikan hingga menusuk kalbu.
P. Ramlee semasa hayat beliau tentu tidak menjangka akan mendapat penghormatan untuk bergelar seniman agung, Tan Sri dan dianugerahkan ijazah tertinggi, doktor falsafah kehormat oleh Universiti Malaya. Khazanah seni P. Ramlee menjadi bahan penyelidikan sosial yang penting di universiti dalam dan luar negara. Nama P. Ramlee juga diabadikan untuk jalan, dan bangunan penting.
Kisah duka seperti P. Ramlee jga pernah dialami oleh bapa sosiologi moden, Ibnu Khaldun. Semasa hayatnya, segala idea Ibn Khladun dianggap gila, dan beliau disumbat ke dalam penjara. Hanya 4 abad setelah ketiadaannya, karya-karya beliau dihargai dan dikaji....
No comments:
Post a Comment