Tuesday, September 20, 2011

SURI RUMAH, SINETRON DAN TELENOVELA (TELEVISION ADDICTION)

Suatu ketika dahulu sinetron "Bawang Putih Bawang Merah" yang dibawa dari seberang pernah menjadi fenomena dalam kalangan penonton tegar drama bersiri di Malaysia. Sebelumnya telenovela Amerika Latin seperti Maria Mercedes, Rosalinda, Betty La Fia dan Cuando Sias Mia juga menjadi tema perbualan golongan itu hingga ke tempat kerja. Drama bersiri Filipina, Hong Kong dan Korea Selatan turut meniti di bibir pencandu hiburan soap opera 

Penggiat industri hiburan tempatan merungut kerana slot drama tempatan terpaksa bersaing hebat untuk mendapat penarafan (rating) yang tinggi dari segi jumlah penonton dan pengiklanan. Kuasa beli masyarakat pula membolehkan mereka beralih kepada siaran televisyen berbayar yang menawarkan pakej pilihan drama antarabangsa yang menyediakan cerita-cerita yang memenuhi cita rasa mereka. Lambakan stok drama tempatan masih terperap kerana menunggu giliran untuk mendapat slot tayangan di saluran televisyen percuma.

Suri rumah ialah golongan yang paling banyak meluangkan masa di hadapan skrin televisyen. Walaupun demikian, kaum wanita dikatakan memiliki kecekapan melakukan banyak kerja dalam satu-satu masa. Mereka boleh membuat persiapan untuk memasak sambil melayan panggilan telefon bimbit, sambil mata menjeling ke arah siaran televisyen. Mereka juga beralasan bahawa televisyen ialah sebagai teman kesunyian.

Masalah akan timbul apabila suri rumah enggan bergerak daripada ruang televisyen kerana sudah taksub dengan sesuatu slot, khususnya drama bersiri. Jadual mereka tidak boleh diganggu. Mereka akan melakukan kerja-kerja seperti melipat baju, menggosok pakaian dan sebagainya di hadapan televisyen.

Kajian tentang ketagihan televisyen telah banyak dilakukan, misalnya oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan sarjana media. Dalam kes ekstrem, ada penonton tegar yang sanggup melekat di hadapan peti televisyen secara purata 6 jam sehari! Mujur juga teknologi paparan cecair kristal (LCD), light-emitting diode (LED) dan resolusi tinggi (HD) dapat mengurangkan kelesuan mata akibat gelombang radiasi yang dipancarkan.

Ketagihan televisyen juga ialah sejenis masalah kecelaruan yang mendatangkan mudarat, sejenis 'gila' tanpa gangguan mental. Gaya hidup pesakit ketagihan televisyen akan menunjukkan tingkah laku yang membimbangkan. Mereka sanggup bersikap antisosial seperti tidak suka bersenam, menganggap tetamu sebagai ancaman dan minda dipenuhi dengan fantasi.

Apabila berlaku rebutan saluran siaran dalam kalangan anggota keluarga, selisih faham mudah tercetus. Pencandu televisyen tadi akan berusaha memiliki set televisyen sendiri yang tidak perlu dikongsi. Mereka tidak peduli dengan pendapat pakar bahawa meletakkan set televisyen dalam bilik tidur tidak baik dari segi susun atur rumah yang mementingkan kesejahteraan dan kemesraan dalam keluarga.

Kini, kebanyakan saluran televisyen boleh diakses melalui internet dan gajet mudah alih seperti komputer tablet dan telefon bimbit. Malah, teknologi televisyen dan video sudah menjadi aksesori kenderaan yang mampu dimiliki. Di tempat kerja, ada kakitangan yang mencuri masa kerja dengan melayari siaran televisyen kegemaran, termasuk yang sudah dimuat naik secara tidak sah menerusi Youtube

Sepertimana masalah ketagihan yang lain, ketagihan televisyen boleh mencapai tahap psikopat (rujukan tentang konsep dan ciri http://id.wikipedia.org/wiki/Psikopat). Namun, harus diingat bahawa label psikopat bukan boleh dibuat gurauan atau untuk suka-suka. Hanya pakar perubatan sakit jiwa yang memiliki kelayakan untuk berbuat demikian.

Pengetahuan tentang ketagihan televisyen, ketagihan internet dan ketagihan yang lain ialah sebagai peringatan kepada diri kita sendiri supaya menjalani hidup yang normal. Kita hendaklah meletakkan keutamaan yang betul dalam hidup yang singkat di dunia fana ini. Biarlah kita yang mengawal teknologi, bukan teknologi yang mengawal kita...

No comments:

Post a Comment