Monday, October 24, 2011

CERPEN "TANGGAR AMANAT" KOMSAS TINGKATAN 5 (ABOUT SENTIMENTAL VALUES)

Pengenalan

Perkataan "tanggar"  berasal dari dialek Melayu Johor yang membawa maksud memikul atau menggalas beban  (Dirgahayu Bahasaku,2010: 350; Kamus Dewan edisi IV, 2005: 1599). Tanggar juga boleh digunakan bagi merujuk sanggup (pekerjaan) dan bergalah ke mudik. Amanat pula ialah pesanan, wasiat atau nasihat (Ibid: 42).

Cerpen "Tanggar Amanat" karya Amaruszati Noor Rahim termuat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, muka surat 177 - 184. Hawa, bakal ibu berada di persimpangan, sama ada hendak pulang ke Malaysia, atau terus tinggal di Yellowstone, Amerika Syarikat yang menjadi tempat empayar warisan perniagaan almarhum Ahmad Abdullah. Akhirnya, bayi dalam kandungan Hawa yang berusia 4 bulan bertindak sebagai suara nurani untuk Hawa membuat keputusan yang rasional.

Watak dan Perwatakan

Hawa

Watak utama. Generasi ke-7 Ahmad Abdullah. Sangat menghargai warisan keluarga. Hatinya terlalu berat untuk meninggalkan Yellowstone walaupun risiko letusan kawah gunung berapi di situ sangat tinggi. Juga bakal ibu yang penyayang. Hawa sangat sayang akan kandungannya yang baru berusia 4 bulan. Hawa dan Adam telah bersabar selama 8 tahun sebelum kehamilan pertama itu. Hawa juga rasional. Dia akur akan hujah kandungannya bahawa keturunan Ahmad Abdullah lebih penting daripada harta yang diwariskan.

Adam

Suami Hawa. Penyabar. Adam tetap memujuk Hawa dengan lemah lembut walaupun Hawa sangat degil dan tegar dengan pendirian mempertahan harta warisan. Adam juga petah berkata-kata. Dia berjaya menangkis setiap hujah Hawa yang dipengaruhi emosi. Apabila kesabarannya habis, Adam berlalu tanpa sepatah kata.

Anakanda

Bayi dalam kandungan Hawa. Bijak berhujah. Dia dapat menggambarkan kuasa Allah mentadbir alam dan membayangkan kesan bencana gunung berapi. Dia juga berpandangan jauh / futuristik. Saran supaya Hawa membuka perniagaan di tempat lain ialah bagi mengelak hasil yang diperoleh di bumi Amerika disalurkan kepada negara haram Yahudi. Selain itu, prihatin. Dia mahu Hawa patuh kepada suami, Adam dan supaya dia berluang lahir ke dunia, serta tidak menjadi korban bencana.

Ahmad Abdullah dan Maria Cruz Abdullah

Datuk dan nenek kepada Hawa. Bermula dengan chalet di pinggir jalan hingga mampu mengasaskan perniagaan besar.

Latar Tempat

Taman Nasional Yellowstone

Taman tema persendirian yang diasaskan oleh Ahmad Abdullah. Terletak di permukaan kawah gunung berapi aktif. Sebuah kawasan subur nan indah, ditumbuhi pokok dan bunga, serta diidiami pelbagai spesies haiwan. Juga menjadi pusat motivasi (Devils Tower)Namun, ahli kaji bumi (geologi) meramalkan letusan boleh berlaku bila-bila masa.

Ruang rahim kandungan janin / bayi

Hawa menjengah masuk ke dalam ruang tubuhnya sendiri, secara rohani. Hawa bertemu dan berdialog dengan janin yang dia kandung. Di situ Hawa terperangah (tercengang, tidak dapat berkata-kata, payah; Ibid, 55) dengan hujah si janin, walaupun dengan sang suami, Hawa masih enggan mengalah.

Nilai murni

Ketegasan: Hawa tetap tidak mahu berganjak daripada Yellowstone walaupun tahu akan risiko tempat itu

Kesabaran:  Adam sanggup bertahan dengan sikap degil Hawa yang enggan berpindah ke Malaysia

Kebijaksanaan:  Janin dalam kandungan Hawa berjaya menangkis hujah Hawa yang lebih dipengaruhi emosi

Rasional / berpandangan jauh: Janin Hawa dapat mengaitkan hasil bumi di Amerika dengan pembiayaan negara haram Yahudi

Kasih sayang:  Hawa menyayangi harta warisan, tetapi dia disedarkan oleh janin bahawa kesinambungan keturunan lebih utama

Ketaatan / kepatuhan:  Janin menggesa Hawa akur akan pujukan Adam untuk kembali ke Malaysia

Persoalan

Ketegasan dalam menyatakan pendirian: Hawa tetap tidak mahu berganjak daripada Yellowstone walaupun tahu akan risiko tempat itu

Kesabaran dalam usaha memujuk seseorang: Adam tidak menyerah terhadap sikap degil Hawa yang enggan berpindah ke Malaysia

Kebijaksanaan dalam berhujah: Janin dalam kandungan Hawa berjaya menangkis hujah Hawa yang lebih dipengaruhi emosi

Sikap rasional / berpandangan jauh dalam membuat keputusan / tindakan: Janin Hawa membuka minda ibunya bahawa hasil bumi di Amerika disalurkan kepada negara haram Yahudi

Kasih sayang dalam keluarga: Hawa akhirnya disedarkan bahawa kesinambungan keturunan lebih utama daripada harta warisan

Ketaatan / kepatuhan terhadap suami: Hawa akur akan gesaan janin untuk menerima pujukan Adam supaya kembali ke Malaysia

Pengajaran
(sila gunakan contoh yang sama)

Kita hendaklah tegas dalam pendirian

Kita hendaklah sabar dengan kerenah ahli keluarga

Kita hendaklah bijak dalam berhujah

Kita hendaklah rasional / berpandangan jauh dalam membuat keputusan / tindakan

Kita hendaklah berkasih sayang dalam keluarga

Kita hendaklah patuh / taat kepada suami


Contoh Tugasan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

        "Nendamu berpesan, tetap teguhlah di Yellowstone, jaga sayap niaga waisan berzaman. Akauntabiliti bonda di sini. Moyang-poyangmu, Ahmad Abdullah dan Maria Cruz Abdullah, bermula dengan chalet di pinggir jalan menuju Gibbon Waterfall, kemudian merebut ruang di Canyon Village, Mammoth Hot Springs, Jackson City, Hayden Valley ... ."
        "Bonda merebut ruang di Devils Tower, begitu banyak khidmat yang bonda tawarkan hingga kepada kursus motivasi musim bunga. Peserta-peserta, rata-rata orang putih, dimotivasikan oleh keturunan Melayu Ahmad Abdullah. Cukup membanggakan."
        Dia dimercupi bahagia, menerima pujian anakanda.
        "Tapi bonda patuhilah pujukan ayahanda. Kembalilah ke Malaysia."
        "Perusahaan turun-temurun di Yellowstone ini?"
        "Bonda boleh usahakan yang lain, di tempat lain meski cabaran dan tentangannya berbeza. Kenapa bonda masih mahu alirkan keuntungan ke dalam peti negara angkuh itu? Bukankah dolar itu digunakan untuk membiayai Israel memusnahkan negara-negara Islam. Bonda membiayai penumpasan saudara seagama sendiri!" Dia terdiam menerima bangkangan anaknya.
        "Yellowstone akan meledakkan kemarahannya, bonda."
        "Lari dari Yellowstone belum pasti selamat."
        "Kenapa, bonda? Kerana jangkaan geologis bahawa letupan itu akan menyebabkan suhu dunia tidak tentu hala? Awan debu tebal menghalang pancaran matahari ke bumi? Hujan asid akan melanda dunia?"
        Dia terperangah menerima soalan bertalu-talu.
        "Siapa tahu kita antara yang bakal selamat daripada bahana hujan asid? Benar kata ayahanda, lari daripada satu takdir untuk mendepani takdir yang lain adalah satu usaha. Allah menggesa umatnya berikhtiar, bonda. Kalau Ahmad Abdullah masih hidup, barangkali dia akan memberitahu bonda."
        "Beritahu apa?"
        "Selamatkan keturunan Ahmad Abdullah."
        Dia tertampar.

i)   Berikan maksud membiayai penumpasan.     (2 markah)

ii)   Apakah hujah-hujah si anak yang menyokong pendapat ayahandanya?    (3 markah)

iii)  Pada pendapat anda, mengapakah kita harus mengambil kira pendapat orang lain sebelum membuat sesuatu keputusan dan tindakan?   (3 markah)

iv)   Jelaskan satu  pengajaran daripada petikan dan satu pengajaran daripada cerpen.   (4 markah)

Analisis Tugasan Soalan

i)   Aras soalan: petikan
      Tumpuan tugasan:  maksud rangkai kata
      Keperluan huraian:  tiada

ii)  Aras soalan:  petikan
      Tumpuan tugasan:  hujah-hujah si anak  (2 isi)
      Keperluan huraian:  tiada

iii)  Aras soalan:  kbkk
       Tumpuan soalan:  sebab-sebab mengambil kira pendapat orang lain  (2 isi)
       Keperluan huraian:  tiada

iv)   Aras soalan:  komsas
        Tumpuan soalan:  pengajaran (masing-masing satu daripada petikan, satu daripada cerpen)
        Keperluan huraian: ya, menerusi contoh peristiwa

Jawapan Cadangan

i)  Maksudnya ialah menyumbang perbelanjaan kemusnahan / kekalahan

ii)  Hujah-hujah si anak ialah lari daripada satu takdir untuk mendepani takdir yang lain adalah satu usaha. Allah menggesa umatnya berikhtiar.

iii)  Pada pendapat saya, kita harus mengambil kira pendapat orang lain untuk membuat perbandingan dan untuk memperoleh maklumat yang lebih tepat.

iv)   Pengajaran daripada petikan ialah kita hendaklah bijak dalam berhujah. Si anak berjaya meyakinkan bondanya bahawa usaha perniagaan boleh dilakukan di tempat lain. Pengajaran daripada cerpen ialah kita hendaklah sabar dengan kerenah ahli keluarga. Adam tidak jemu-jemu memujuk Hawa yang enggan berpindah ke Malaysia.

No comments:

Post a Comment