Ekonomi negara maju hanya bergantung kurang daripada 10 peratus terhadap kegiatan ekonomi antarabangsa. Sebaliknya, negara-negara yang sedang membangun dan ketinggalan akan bergantung lebih daripada 50 peratus pendapatan negara terhadap sektor antarabangsa. Pergantungan yang tinggi terhadap ekonomi antarabangsa sangat berisiko tinggi justeru terdedah kepada keadaan ayunan ekonomi dunia.
Sejak merdeka, Malaysia telah melaksanakan dasar penggantian import, dan kemudian dasar galakan eksport. Dasar penggantian import bertujuan bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan keluaran luar negara, khususnya sektor pertanian. Negara harus berdikari dari pengeluaran barang makanan asas seperti beras dan gula, sambil menggiatkan aktiviti penyelidikan bagi pengeluaran makanan yang lain.
Dasar galakan eksport perlu dilaksanakan atas hakikat bahawa saiz pasaran tempatan agak kecil untuk proses pengeluaran skala besar yang berkaitan dengan kecekapan kos. Sumber hasil bumi yang melimpah ruah telah dimajukan untuk dijual di pasaran asing, khususnya negara-negara rakan dagang yang besar seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun. Pertumbuhan sektor eksport menyumbang terhadap pendapatan negara, guna tenaga dan imbangan pembayaran yang positif.
Namun, mutakhir ini prestasi ekonomi dunia banyak dipengaruhi oleh kontrak niaga hadapan dan spekulasi mata wang. Pemain-pemain pasaran komoditi dan pasaran wang itu bukan sahaja terdiri daripada pemilik empayar perniagaan bertaraf antarabangsa, bahkan turut disertai oleh entiti pelaburan kerajaan tertentu. Jika aktiviti ekonomi negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun boleh terganggu akibat kegiatan spekulasi, mampukah negara-negara yang masih bergelut dengan pelbagai krisis ekonomi akan boleh bertahan?
Malaysia pernah mempunyai dasar 70 juta orang penduduk menjelang tahun 2050 bagi mengukuhkan pasaran dalam negara. Kini, dasar berkenaan dikukuhkan dengan pengenalan model ekonomi berpendapatan tinggi. Dalam kata lain, penduduk Malaysia disasarkan memiliki kuasa beli yang tinggi bagi menyokong aktiviti ekonomi tempatan.
Kempen makan buah-buahan tempatan ialah antara strategi pemasaran keluaran sektor pertanian negara. Selain kebaikan mengambil buah-buahan yang masih segar, permintaan terhadap keluaran pertanian tempatan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan rantaian kegiatan ekonomi yang lain. Sebagai contoh, sejak dikomersialkan, jualan air kelapa muda melonjak tinggi dan dapat diangkat sebagai produk pelancongan.
Khasiat ulam-ulaman telah berjaya dieksploitasi hingga ke hidangan hotel mewah bertaraf antarabangsa. Sambal belacan dan pecal ala kampung juga menjadi menu tetap kebanyakan hotel. Begitu juga dengan gulai ikan patin yang sinonim dengan pekan Temerloh di Pahang.
Sejak awal 1980-an Malaysia telah mengorak langkah memajukan sektor industri berat dan industeri teknologi tinggi. Kenderaan nasional, Proton Saga dan disusuli Perodua Kancil dan MyVi telah menguasai segmen pasaran kereta penumpang. Permintaan terhadap kereta pelbagai guna (MPV)tempatan seperti Alza, Exora dan Naza Ria juga makin meningkat.
Kemajuan industri automatif tempatan telah membina jaringan vendor yang membekalkan alat ganti pada tahap harga yang munasabah. Dari masa ke masa, jalinan strategik dengan gergasi automatif dunia seperti Citroen, Kia, Lotus, Mitsubishi dan Toyota akan memastikan tahap jaminan kualiti kenderaan yang mematuhi spesifikasi keselamatan dan keselesaan pemanduan. Pemasangan kereta mewah seperti BMW, Honda dan Volkswegen di Melaka dan Pahang ialah bagi memenuhi segmen permintaan golongan berada ssuai dengan keadaan iklim dan permukaan jalan raya di Malaysia.
Percutian dan pelancongan dalam negara juga berjaya diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pengusaha chalet, inap desa dan khidmat pelancongan yang lain juga boleh tidur lena. Kadar penginapan hotel juga mencapai tahap 60 peratus secara purata.
Industri yang agak terpukul dengan teruk ialah industri persembahan pentas, rakaman album nyanyian dan filem. Saingan yang diterima daripada artis asing seperti tsunami yang sukar ditahan. Cita rasa dan selera golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa dalam melayan keluaran hiburan sangat sukar untuk dijangka.
Keperluan mencetuskan fenomena terhadap permintaan keluaran tempatan perlu diberi keutamaan. Pergantungan terhadap sektor ekonomi asing mengundang risiko terhadap keselamatan dan pembangunan negara. Menjelang tahun 2020, iaitu pencapaian status negara maju menghendaki rakyat Malaysia menyokong pasaran dalam negara...
No comments:
Post a Comment