Sejajar dengan hasrat kerajaan yang menetapkan sasaran 100,000 pemegang ijazah doktor falsafah, Ph.D di bawah program MyBrains, universiti-universiti tempatan memperuntukkan lebih banyak tempat untuk pencalonan ijazah tinggi berkenaan. Beberapa insentif menarik telah diumumkan dari masa ke masa, termasuk Belanjawan 2012, bagi menarik minat lebih banyak pemegang ijazah sarjana menyambung semula pengajian mereka. Calon sarjana yang masih dalam proses penyediaan penyelidikan mereka juga boleh menukar status pengajian kepada Ph.D dengan persetujuan pihak senat universiti.
Mulai beberapa tahun belakangan, sebahagian universiti tempatan mula menawarkan mod pengajian kerja kursus yang mewakili separuh jam kredit pencalonan Ph.D. Selama ini, semua calon Ph.D harus melaksanakan penyelidikan sepenuhnya menerusi penyediaan disertasi yang diselia oleh dua orang pensyarah yang pakar dalam bidang yang berkenaan. Menerusi mod kerja kursus, tugas calon Ph.D menyiapkan bab satu hingga tiga yang bertujuan menyediakan pernyataan masalah penyelidikan dan kerangka teori tahap tertinggi mungkin menjadi lebih ringan.
Sebahagian calon Ph.D yang ditamatkan pencalonan mereka kerana tidak berjaya melepasi sesi vetting bagi mempertahankan kertas cadangan penyelidikan mereka. Proses menyediakan cadangan penyelidikan sahaja boleh memakan masa hingga setahun atau dua semester penuh. Dengan adanya mod kerja kursus, calon Ph.D dapat mengukuhkan semula keupayaan mereka dari segi format, kaedah dan model kerangka teori bagi menyokong alasan mereka melaksanakan penyelidikan sebagaimana yang dicadangkan.
Calon Ph.D yang melepasi sesi vetting boleh dianggap sudah menyelesaikan separuh jalan menuju pencalonan ijazah tertinggi itu. Mereka sudah mendapat lesen bagi mengemas kini kerangka teori (bab 2) dan kaedah penyelidikan (bab 3). Tugas mengumpul data dan membuat analisis data mungkin memakan masa yang lebih panjang, tetapi boleh dianggap sebagai sudah menghala ke garis penamat.
Bagi menjaga mutu siswazah Ph.D universiti tempatan, kini beberapa keperluan tambahan perlu dipatuhi oleh calon. Antaranya ialah pembentangan kertas prosiding seminar di luar negara, biasanya tidak kurang daripada tiga buah negara. Salah satu negara yang dipilih mestilah sebuah negara maju yang tidak mewartakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Contohnya, calon Ph.D mungkin memilih England sebagai destinasi pertama, diikuti oleh Brunei dan Indonesia. Terdapat juga calon Ph.D yang kurang fasih berbahasa Inggeris harus mengupah pakar untuk menterjemah kertas prosiding yang disediakan dalam bahasa Melayu. Buat permulaan, mereka boleh menggunakan perisian Google untuk proses terjemahan dan merujuk kamus dalam talian seperti Merriam-Webster untuk belajar menyebut mana-mana perkataan dengan betul.
Secara perbandingan, proses pencalonan Ph.D lebih kurang 10 kali ganda lebih sukar daripada pencalonan ijazah sarjana. Begitulah pendapat seorang profesor pendidikan di Universiti Malaya yang sudi berkongsi pengalaman beliau di Universiti Oregon, Amerika Syarikat untuk penyelidikan tentang pengajian dasar pendidikan. Calon yang berjaya melepasi sesi viva bagi mempertahan disertasi yang telah siap akan diberi ucapan tahniah dengan gelaran doktor (Dr.).
Agak lucu apabila sistem panggilan nama di negara Barat lebih mementingkan nama keluarga (surname). Kata seorang lagi profesor, "saya yang penat-penat buat disertasi, nama bapa saya pula yang disebut dalam ucapan tahniah. Misalnya, congratulation Dr. Ahmad untuk calon Ph.D yang bernama Husna.
Proses dan pengalaman yang dilalui semasa menyiapkan disertasi Ph.D memang amat mencabar. Bak kata seorang teman penulis blog (PB) yang mengikuti program Ph.D kejuruteraan jentera di United Kingdom, "macam nak pecah kepala, siang dan malam macam sudah tiada beza lagi!" Maka, sokongan kaum keluarga sangat mustahak supaya calon Ph.D yang seolah-olah berada dalam dunia aneh dan tersendiri tetap dianggap siuman...
No comments:
Post a Comment