Calon STPM yang berhasrat memperoleh gred A dalam mata pelajaran Ekonomi harus memberi tumpuan khusus terhadap Bahagian B dan C, iaitu esei pendek dan esei panjang. Calon dikehendaki menjawab 5 daripada 8 soalan dalam bahagian B yang membawa 30 markah. Selain itu, calon hendaklah menjawab 2 soalan dalam bahagian C yang membawa 20 markah.
Memandangkan jumlah masa bagi menjawab keseluruhan kertas mikro dan makro ialah 180 minit tiap satunya, maka nisbah markah dengan masa ialah 100:180, atau 1 markah : 1.8 minit. Maka, untuk esei 50 markah = 50 X 1.8 minit = 90 minit. Kiraan secara konservatif itu hanya sekadar pedoman supaya calon bijak mengagih masa supaya sempat menjawab semua soalan yang dipilih, dan berpeluang meraih gred A.
Bahagian B: 5 esei pendek X 6 markah. Setiap esei = 6 markah X 1.8 minit = maksimum 10.8 minit. Calon dinasihatkan memperuntukkan 10 minit masa sahaja supaya ada baki masa untuk semakan.
Bahagian C: 2 esei panjang X 10 markah. Setiap esei = 10 X 1.8 minit = maksimum 18 minit. Namun, calon disarankan membuat peruntukan masa sekitar 15 minit supaya baki 3 minit lagi digunakan untuk semakan.
Perhatikan betul-betul tugasan soalan sebelum merancang isi dan huraian jawapan. Jawab berdasarkan tugasan dan bukan berdasarkan perasaan. Jangan sesekali berasa obses untuk memasukkan perincian yang tidak diperlukan, atau menulis secara umum sahaja.
Sebagai panduan, langkah di bawah mungkin boleh membantu:
1 Kenal pasti / tetapkan tugasan soalan
2 Buat padanan konsep, prinsip atau teori ekonomi yang berkaitan
3 Jika soalan mengandungi pecahan tugasan, terus jawab soalan tanpa perlu berpanjang lebar
4 Jika soalan tidak mengandungi pecahan, maka:
a) Mulakan dengan definisi atau konsep penting dalam tugasan
b) Nyatakan andaian jika perlu
c) Huraian berasaskan teori walaupun untuk tugasan berbentuk aplikasi
d) Jika tidak dinyatakan "dengan bantuan gambar rajah", maka fokus kepada konsep dan teori sahaja
e) Jika dinyatakan "dengan bantuan gambar rajah", huraian mesti merujuk kepada gambar rajah yang lengkap dengan segala label
f) Jika dikehendaki contoh berangka, berikan data hipotetikal yang mudah. Tidak mengapa jika data yang dikemukakan itu ada dalam buku teks
g) Esei pendek lazimnya perlu 3 isi, manakala esei panjang 5 isi. Calon boleh sahaja melebihkan satu isi sebagai "simpanan"
h) Gunakan laras bahasa ekonomi sahaja tanpa dipengaruhi pendapat umum atau laras bahasa mata pelajaran yang lain
Ketika detik peperiksaan makin hampir, calon STPM harus merencanakan startegi tertentu. Sebagai contoh, tumpuan harus diberi terhadap tajuk-tajuk penting, tanpa mengabaikan tajuk-tajuk lain. Sebagai contoh:
1) Mikro: permintaan, keanjalan, keseimbangan pengguna, pengeluaran, persaingan sempurna, monopoli
2) Makro: perakaunan pendapatan negara, keseimbangan ekonomi tertutup, terbuka, masalah makro. perdagangan antarabangsa
Tidak perlu buntu jika tugasan soalan berbentuk aplikasi dengan menyebut "negara anda", "pasaran A" dan sebagainya. Sekali lagi diulangi bahawa, semua jawapan mesti berpandukan teori. Sebarang kecenderungan untuk memberi pendapat peribadi atau hujah-hujah emosional hendaklah dielakkan...
No comments:
Post a Comment