Nasihat Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong di Alor Setar hari ini (12.11.11) supaya guru tidak 'panik' dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran merujuk projek yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan di empat negeri - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak - berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenal pasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru. "Jadi saya rasa mungkin ada guru-guru yang khuatir kerana mereka merasakan tempoh sembilan jam waktu bekerja itu tidak mengambil kira waktu persediaan mengajar dan juga penglibatan dalam ko-kurikulum. Saya rasa semua itu akan diambil kira," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Kedah, Wee berkata, projek itu bagi melihat sama ada benar pendapat orang ramai bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah. "Saya harap semua guru di empat negeri terbabit tidak perlu risau kerana kita hanya membuat percubaan."
"Apabila projek rintis itu meyakinkan kita dan kita dapat membuat kesimpulan secara konkrit, barulah kita memperluaskannya ke semua sekolah di seluruh negara," katanya. "Jangan anggap itu (projek rintis) sebagai satu kata putus dari kementerian. Biar mereka lakukan dahulu dan melihat hasilnya," katanya.
Petikan Berita Harian Online (sumber Bernama) di atas sudah tentu mengubah status quo bahawa guru berada secara fizikal di sekolah separuh hari, iaitu mulai pukul 7.00 pagi hingga 3.00 petang. Tempoh sedia ada itu sudah berjumlah lapan jam. Kalau dilanjutkan hingga 9 jam, bermakna bahawa guru kena balik paling cepat pukul 4.00 petang.
Ada juga pengetua yang gemar mesyuarat yang panjang dan berlarutan hingga pukul 6.00 petang. Jadi guru akan berada di sekolah hampir 12 jam lamanya. Keadaan akan lebih berat bagi guru-guru di sekolah bersaiz kecil apabila seseorang guru menyandang begitu banyak tanggungjawab kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid dan pengurusan am.
Penulis blog (PB) ingin mengulang semula cerita pengalaman peribadi berbual dengan seorang kakitangan am sekolah yang beranggapan bahawa kerja cikgu sangat mudah. Cikgu berpakaian kemas, bekerja di bawah kipas angin dan memiliki waktu tidak mengajar. Dia membandingkan dirinya bekerja di bawah terik matahari, berpakaian comot dan berpendapatan rendah.
Sebagai siswazah ekonomi yang biasa berhujah tentang teori kos lepas, PB hanya menjawab soalan pekerja am itu dengan soalan juga. "Baiklah, kalau begitu sanggup tuan bertukar tugas dengan saya selama seminggu? Tuan masuk kelas dan mengajar, biar saya pula yang bermandi peluh!"
Si pekerja am hanya mampu tersengih. Dia bersetuju dengan PB bahawa setiap kakitangan di sekolah, sama ada guru atau pekerja am memiliki spesifikasi tugas yang tersendiri sesuai dengan kelayakan dan terma perkhidmatan yang ditetapkan. Malah, dia turut mengaku bahawa pekerja am lebih bebas dan tidak menanggung beban berfikir macam cikgu.
Persepsi bahawa tugas guru sangat mudah datang daripada pandangan mata kasar sahaja. Hakikatnya tekanan yang dihadapi dalam kerjaya keguruan sukar untuk dinafikan. Guru tidak dapat mengawal profesion mereka sendiri seperti bidang ikhtisas yang lain, sebaliknya perlu akur kepada susun lapis wibawa pendidikan yang begitu banyak superior.
Guru hanyalah subordinat yang melaksanakan segala keputusan yang ditetapkan oleh superior mereka. Walaupun berada di garisan hadapan dalam agenda pendidikan, dari segi peluang naik pangkat atau peluang mengikuti rombongan ke luar negara, guru sering tercicir. Akses kepada peluang berkenaan mungkin sahaja tidak sampai kepada mereka, atau disambar lebih awal oleh superior.
Persediaan mengajar ialah antara tugas yang memakan masa. Guru bukan sahaja perlu menjadi pakar kandungan, tetapi juga pakar pedagogi dan psikologi. Menjadi atau tidak sesuatu proses pembelajaran sangat bergantung kepada persediaan memindahkan kandungan pembelajaran dalam bentuk aktiviti murid secara terancang.
Pada tahun pertama PB mengajar ekonomi, proses persediaan mengajar mengambil masa purata empat jam sehari, dan perkara itu berlaku di rumah. Orang ramai tidak akan nampak, dan kalau dimaklumkan mungkin memberi ulasan amatur mereka yang bersifat berat sebelah dan falasi. Usah cakap tentang menanda tugasan murid, merancang dan menyediakan item pentaksiran, serta menjalankan tanggungjawab untuk pelbagai jawatankuasa di sekolah.
Kajian eksperimental tentang beban tugas guru masih belum diumumkan. Begitu juga dengan kemudahan di sekolah bagi keselesaan perkhidmatan yang sejajar dengan status guru sebagai ahli ikhtisas. Jika guru juga pulang lewat malam dalam keadaan lesu setiap hari, adakah perkara itu menjadi jaminan bahawa persepsi orang ramai bahawa tugas guru sangat mudah dapat diubah?
No comments:
Post a Comment