Saturday, December 10, 2011

CABARAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DI BANDAR (NAMES THAT MAKE SENSE)

Pemaju kawasan pertumbuhan ekonomi baharu nampaknya kurang peka terhadap citra dan jati diri tempatan. Apabila diberi pilihan, mereka lebih cenderung memberi nama projek mereka berbau bahasa penjajah. Alasan yang diberi sangat kelakar, iaitu bunyi nama yang lebih glamor dan sedap didengar!
gambar hiasan

Malangnya, ada pula orang-orang yang mendakwa pakar bahasa memberi sokongan membawa rebah. Barangkali mereka mahu mengambil hati tauke kaya yang lebih selesa dengan kehidupan ala Inggeris. Mana tahu, boleh tumpang semangkuk!

Kata pak turut bahasa itu, semua perkataan dalam bahasa Melayu saduran belaka. Kalau ada yang asli hanyalah "amuk" dan "orang utan" yang diterima dalam kamus bahasa Inggeris. Kosa kata bahasa Melayu yang selebihnya berpunca daripada bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Hindi, bahasa Sanskrit dan bahasa Inggeris sendiri.

Sebagai contoh, perkataan "agama" berpunca daripada bahasa Sanskrit "a-gama" yang membawa maksud tidak kacau. Tidak ada agama bermaksud kacau. Kajian asal usul perkataan atau etimologi sering menjadi hujah yang ampuh, konon begitu!

Bagi puak yang tiada semangat jati tiri, pelbagai alasan boleh dihamburkan. Jauh di sudut hati mereka mengatakan bahawa bahasa Melayu mana ada kelas. Kebiasaan dan minda mereka hanya cinta kepada orang putih, musim luruh dan salji.

Semua bahasa yang berkembang bersifat terbuka dan menerima kemasukan istilah asing sebagai kata pinjaman dan kata serapan. Syaratnya ialah istilah berkenaan masih belum ada dalam kamus bahasa tempatan. Masalah kita ialah terlalu seronok mahu mengganti istilah yang sudah sedia ada dalam bahasa Melayu...

No comments:

Post a Comment