Berkenaan pengarang sajak
Kalau kita dicerca dengan kata
jangan kita diam tak terkata.
Pertahankanlah maruah kita
lawan kata dengan kata.
Hashim Yaacob sebenarnya ialah profesor pergigian yang pernah menyandang jawatan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM) antara tahun 2002 hingga 2005. Berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang (Kelantan) yang kaya dengan warisan budaya Melayu, jiwa seni Hashim Yaacob terserlah lewat karya kreatif beliau, khususnya genre puisi. Semasa memimpin UM, beliau berusaha mendekatkan komuniti sains dan perubatan dengan dunia sastera bagi melengkapkan pakej modal insan yang boleh ke tengah dan ke tepi.
Tema
Maruah dan jati diri yang bertunjang kepada kebijaksanaan kata-kata (rujuk bahagian pengenalan sajak, antologi Harga Sebuah Lukisan: muka surat 17).
Perbincangan rangkap demi rangkap
Kalau kita dicerca dengan kata
jangan kita diam tak terkata.
Pertahankanlah maruah kita
lawan kata dengan kata.
Penyajak menggesa supaya kita tidak membisu apabila menghadapi cercaan lisan. Sebaliknya, orang yang dicerca harus melawan balik dengan kata. Maruah perlu dijaga dan dipelihara.
Kalau mereka mengherdik dengan kata
carilah daya kata.
Kalah kita
jangan kerana putus kata.
Jika orang mengherdik (bercakap dengan bahasa yang buruk atau tidak layak), orang yang dicerca harus menyusun kekuatan kata untuk hujah balas yang bijak. Kita akan dianggap kalah kerana kelu untuk bersuara.
Ini martabat bangsa kita
ini kedaulatan negara kita
kita pelihara
dengan kepantasan kata daripada kepala.
Kita tidak boleh membiarkan sahaja martabat bangsa dan kedaulatan negara diinjak begitu sahaja. Kita mesti melindungi bangsa dan negara dengan hujah-hujah bernas daripada minda yang hebat.
Kita merdeka bukan kerana senjata.
Kita merdeka kerana bijak kata.
Negara bebas daripada belenggu penjajahan tanpa pertempuran tentera. Negara merdeka justeru pemimpin bijak di meja rundingan, dan rakyat yang bangkit bersuara membela tanah air tercinta.
Aduhai anakanda
Kalau hidup mahu terbela
pandailah mengucap kata.
Sebagai penutup sajak, sekali lagi penyajak menegaskan betapa kalau hidup mahu terbela, iaitu tidak diinjak dan ditindas (seperti lembu dicucuk hidung - peribahasa berkaitan), maka kita harus pandai menggunakan kekuatan kata atau hujah yang bernas.
Pemilihan kata / diksi
Rima akhir setiap baris sajak sama, iaitu bunyi "a". Penggunaan kata-kata dalam sajak begitu jelas dan mudah. Walaupun demikian, mesej yang hendak disampaikan begitu dalam. Menerusi kata-kata yang bersahaja, penyajak mengajak pembaca berfikir tentang jati diri dan maruah yang tiada galang ganti.
bersambung...
persoalan macam mana buat?boleh tunjuk ajar???
ReplyDelete