Seperti baru sebentar kita menunggu detik permulaan tahun 2012. Kini, hari pertama sudah hampir berlalu pergi. Jika kita tidak berbuat apa-apa, maka yang bertambah hanyalah kenangan demi kenangan.
Kepada ahli politik, ketibaan 2012 disambut dengan penuh debaran. Adakah mereka akan terus terpilih sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13? Andai kata terpilih, mampukah parti yang diwakili mendapat sokongan majoriti pengundi?
Media dan surat khabar arus perdana telah meletakkan isu politik di muka hadapan saban hati. Pelbagai bentuk perang saraf dan sandiwara akan dipaparkan. Permainan dan sifir politik memang sukar dibaca oleh orang awam yang berfikir dalam skala yang berbeza.
Bagi ahli-ahli ekonomi, masalah hutang negara-negara maju menyebabkan mereka berasa gusar. Jika negara-negara maju menghadapi krisis kecairan, besar kemungkinan mereka akan mengurangkan jumlah import. Kalau perkara itu benar-benar berlaku, negara yang banyak bergantung kepada eksport akan terjejas dengan teruk.
Perniagaan yang berorientasi pasaran dalam negara juga mengharapkan berlaku peningkatan kuasa beli dan kecenderungan membeli keluaran tempatan. Permintaan datang daripada isi rumah yang memiliki pendapatan boleh guna yang mencukupi. Maksudnya, keseluruhan aliran pusingan pendapatan dalam ekonomi sangat dipengaruhi oleh dasar belanjawan dan dasar kewangan, termasuk di peringkat antarabangsa.
Kaum cendekiawan pula makin bimbang dengan fenomena keruntuhan akhlak yang dahsyat. Kemunculan lebih banyak jaringan komunikasi maya mengakibatkan kawalan terhadap nilai-nilai luhur menjadi lebih sukar. Institusi keluarga dan masyarakat menghadapi cabaran yang bertambah getir.
bersambung...
No comments:
Post a Comment