Tuesday, January 17, 2012

KEPENTINGAN MEMPELAJARI BAHASA ASING (NOT JUST MOTHER TOUNGE)

Walaupun perjuangan mengangkat martabat bahasa Melayu tidak akan pernah undur, tiada alasan untuk menjadi bersikap tertutup atau memusuhi bahasa asing. Orang Melayu sendiri seharusnya mempelajari bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dan al-Hadith, selain bahasa Inggeris yang begitu dekat dengan persekitaran perniagaan di negara kita. Selain itu, peningkatan kuasa beli di pasaran China dan India perlu direbut dengan mempelajari bahasa Mandarin dan Hindi.

Bahasa Melayu ialah jati diri anak Malaysia. Tiada kompromi tentang penggunaan bahasa Melayu dalam semua majlis rasmi dan dokumen. Apabila berlaku kekeliruan, penulisan dalam bahasa Melayu hendaklah dianggap sebagai muktamad, bukan bahasa Inggeris seperti sekarang.

Proses membakukan bahasa Inggeris sebagai Queen's English memakan masa ratusan tahun. Maka, usaha yang serupa untuk bahasa Melayu juga akan menempuh cabaran dan gelora. Semua pihak harus bersabar dan memberi dukungan ke arah pembakuan bahasa Melayu seutuhnya.

Kekuatan sesuatu bahasa asing banyak bergantung kepada pengaruh politik, ekonomi dan teknologi. Bahasa Inggeris,bahasa Sepanyol dan bahasa Peranchis tersebar menerusi penjajahan. Mereka berjaya menanamkan rasa rendah diri rakyat tempatan terhadap bahasa ibunda sendiri.

Bahasa Inggeris juga menjadi gah kerana pengaruh Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia bukan sahaja dari segi ketenteraan, bahkan dari segi ilmu, teknologi dan ekonomi. Dari segi muzik juga, penyanyi yang berjaya mencipta nama di Amerika Syarikat akan sekali gus muncul sebagai penyanyi antarabangsa. Fenomena K-Pop (muzik rancak Korea Selatan) menembusi pasaran antarabangsa apabila menggunakan lirik bahasa Inggeris.

Antara hujah mewajarkan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ialah untuk akses kemajuan teknologi terkini dan urusan diplomatik. Institut Terjemahan dikatakan terlalu lambat hingga apabila sesuatu karya terjemahan siap dicetak, teknologi yang dibincangkan itu sudah menjadi lapuk dan usang. Jurnal terkemuka (refereed journal) dalam kebanyakan bidang juga diterbitkan dalam bahasa Inggeris seperti Phi Delta Kappan untuk disiplin pendidikan.

Semua organisasi sukan dunia juga mengutamakan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang beribu pejabat di Zurich, Switzerland tetap menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi mereka walaupun Switzerland lebih cenderung kepada bahasa Jerman. Begitu juga dengan pengendalian acara sukan Olimpik yang didominasi oleh bahasa Inggeris.

Sebagai anggota Komanwel (negara bekas jajahan Inggeris), sebahagian besar urusan diplomatik negara dibuat menerusi perantaraan bahasa Inggeris. Begitu juga dengan antara negara rakan dagang terbesar Malaysia, iaitu Amerika Syarikat, Singapura, Britain dan India yang mengutamakan dokumen dan komunikasi dalam bahasa Inggeris. Jika urusan harus dibuat menerusi khidmat penterjemah, seperti dalam kes pembelian kapal selam di Peranchis, barangkali kos pembelian dan rundingan akan meningkat.

Mesej dakwah juga akan dapat disebarkan dengan lebih luas menerusi perantaraan bahasa Inggeris. Sebahagian ulama terkemuka dunia Arab harus berkelana dan memberi kuliah di Oxford, Cambridge, Berkeley dan Temple kerana mereka tidak disenangi di negara sendiri. Sekali lagi kepakaran mereka hanya dapat disampaikan menerusi penguasaan bahasa Inggeris yang fasih dan lancar.

Kesimpulannya, keperluan belajar bahasa asing ialah suatu hakikat dalam era globalisasi tanpa dihadkan kepada bahasa Inggeris semata-mata. Benua Amerika Latin mengagungkan bahasa Sepanyol (kecuali Brazil berbahasa Portugis), manakala sebahagian benua Afrika mewarisi bahasa Peranchis dan Itali. Teknologi kejuruteraan termaju automatif seperti BMW, Mercedes dan Volkswegen pula dikendalikan oleh tenaga-tenaga profesional reka bentuk dan teknikaliti yang bertutur dan berurusan dalam bahasa Jerman.

No comments:

Post a Comment