Tuesday, January 3, 2012

SBP HARUS BERSEDIA TURUN PENCAPAIAN (BACK TO SQUARE ONE)

Berdasarkan pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang lalu, sekolah-sekolah berasrama penuh  (SBP) masih mengekalkan status quo sebagai sekolah cemerlang. Misalnya, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star) mencatat gred purata sekolah (GPS) 1.02, serta 114 orang calon, atau 84.21 peratus memperoleh semua A. Kedudukan Star sebagai sekolah terbaik PMR negeri Perak tiga tahun berturut-turut sebelumnya bagaimanapun berjaya dipintas oleh Sekolah Menengah Sains, Teluk Intan (Semesti) dengan selisih yang sangat kecil (GPS: -0.01, semua A: -3 orang).
pendaftaran murid tingkatan 2 di Star, Ipoh

Sebagai sekolah murid lelaki sepenuhnya, Star boleh berbangga kerana berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok 10 SBP terbaik peringkat kebangsaan. Malah, Star berjaya memintas kedudukan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru (STF) dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Saingan setara bagi Star ialah Kolej Melayu, Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Alam Syah, Putrajaya yang juga semua murid lelaki.

Kemasukan laluan khas pelajar desa dan pedalaman yang memberi kelonggaran pencapaian 3A, 2B atau 4A, 1B dalam UPSR dijangka mempengaruhi kedudukan SBP dalam peperiksaan awam pada tahun-tahun akan datang. Kepimpinan SBP mungkin perlu mengadakan program pemukiman dalam kalangan guru-guru kanan dan kaunselor mereka bagi merangka pelbagai projek intervensi terhadap murid-murid kurang beruntung yang dipilih khas itu bagi memastikan bahawa mereka juga setanding dengan murid yang memasuki SBP secara merit. Kuota 30 peratus untuk laluan khas itu dijangka akan ditambah hingga ke angka 70 peratus secara beransur-ansur.
seorang adik memerhatikan locker kepunyaan abangnya di Star, Ipoh

Bidang kebitaraan SBP juga mungkin perlu kepada langkah ubah suai supaya penyertaan semua murid dapat dicapai sepenuhnya. Star misalnya menjurus kepada 3 bidang kebitaraan, iaitu bahasa Inggeris, rugbi dan wind orchestra. Anak-anak desa barangkali lebih lasak, tetapi perlu kepada latihan taktikal yang khusus.

Kementerian Pelajaran telah memberi jaminan untuk proses memperkasa sekolah-sekolah harian supaya ibu bapa tidak perlu lagi berhabis-habisan untuk menghantar anak mereka ke SBP. Bilangan sekolah harian yang dinaik taraf sebagai sekolah kluster kecemerlangan dan sekolah berprestasi tinggi juga akan ditambah. Namun, setakat ini, kecenderungan memasuki SBP, khususnya yang bertaraf premier masih menjadi idaman murid-murid pintar dalam bidang akademik, kepimpinan dan kokurikulum...

No comments:

Post a Comment