Thursday, February 23, 2012

AKTIVITI MALAM (WHILE OTHERS SLEEPING)

Dalam keadaan biasa, waktu malam diperuntukkan untuk istirahat setelah berpenat lelah mencari rezeki pada waktu siang hari. Seisi keluarga berkumpul untuk berkongsi luahan rasa dan saling menghibur hati. Bagi keluarga yang cenderung kepada bab-bab ilmu pengetahuan, waktu awal malam diisi dengan perbincangan tentang bacaan atau menghadiri majlis yang berkaitan.

Kemajuan teknologi media dan maya jalur lebar telah menyebabkan aktiviti malam sebahagian isi rumah mengalami perubahan radikal. Terdapat orang-orang yang sanggup melayan siaran televisyen berjam-jam lamanya. Mereka tidak berupaya mengawal televisyen, tetapi televisyen yang mengawal mereka.

Demikian juga dengan ketagihan internet yang menjadi penyakit sosial mutakhir. Jika seorang sarjana selebriti mengakui bahawa dia mengemas kini laman muka buku (facebook) sebanyak 15 hingga 20 kali sehari, kita bisa membayangkan kegilaan anak muda yang beberapa kali lipat. Emosi dan tingkah laku golongan ini sangat dikongkong oleh skrin komputer atau gajet telefon bimbit pintar.

Terdapat juga isi rumah yang suka menghabiskan awal malam di gerai dan restoran. Masa yang diambil mungkin melebihi dua jam termasuk perjalanan, menunggu pesanan disiapkan dan mencicip makanan. Jika ibu bapa terjumpa kawan lama, barangkali boleh berlarutan hingga menjelang tengah malam.

Pasar raya dan gedung perniagaan terkemuka biasanya memperuntukkan happy hour mulai pukul 8.30 malam hingga tutup perniagaan. Bahagian roti dan ikan juga mengadakan jualan lelong kira-kira sejam sebelum pengumuman terima kasih dan berjumpa lagi esoknya. Maka, seisi rumah akan makan-makan dan solat di sana, jika poket mengizinkan.

Kedai mamak 24 jam dan premis makanan segera juga tahu kegilaan generasi Y terhadap internet. Maka, mereka menawarkan kemudahan akses internet tanpa wayar berkelajuan tinggi secara percuma. Kini, sudah menjadi pemandangan biasa anak muda makan-makan sambil melayan laman internet hingga dini hari.

Sepatutnya pada waktu menjelang senja dan maghrib, seisi rumah sudah bersiap membersihkan diri untuk solat berjemaah, membaca al-Qur'an dan mengikuti pengajian di surau dan masjid. Masakan ibu walaupun bersifat campak-campak sahaja tentu lebih berkat dan bersih untuk dinikmati oleh seisi rumah. Anak-anak juga berkumpul bagi menyiapkan tugasan sekolah, kolej, universiti, atau membaca karya penulisan yang menggalakkan muhasabah dan penambahbaikan ciri peribadi.

Di kebanyakan negara Barat, semua gedung niaga dan premis menjual makanan ditutup seawal pukul enam petang. Kawalan ketat juga dilkuatkuasakan kepada kelab-kelab hiburan, terutama dari segi had umur 21 tahun. Remaja bawah umur yang disabitkan kesalahan mengunjungi kelab hiburan akan menyusahkan ibu bapa masing-masing yang terpaksa membayar bon jaminan.

Di sesetengah negara, perintah berkurung dikenakan untuk remaja selepas pukul 10 malam. Remaja yang didapati masih berkeliaran boleh ditahan dan disumbat ke dalam lokap tanpa dakwa dakwi. Berlainan dengan negara mundur seperti Papua New Guinea yang dikuasai penjahat dan penjenayah selepas tempoh berkenaan.

Apabila waktu awal malam disibukkan dengan pelbagai urusan luar rumah, di hadapan skrin televisyen dan komputer, maka waktu tidur berganjak melepasi tengah malam. Akibatnya, seisi rumah begitu liat untuk bangun lebih awal. Jam loceng dan penggera radio perlu diletakkan jauh supaya jari-jemari tidak secara automatik membisukan terus jeritan alat-alat itu.

Apabila bangun lewat, solat Subuh pun dibuat ala kadar macam konsep diskaun. Kedua-dua rakaat hanya dibaca fatihah. Doa iftitah dan bacaan qunut ditinggalkan atas alasan sunat sahaja.

Kepada umat Islam, jadual aktiviti malam sebagaimana yang disebutkan di atas sangat merugikan jika menjadi amalan tetap. Tidakkah sesekali "mereka" (termasuk tukang tulis blog ini) teringat untuk mengisi sepertiga malam dengan bermunajat dan mengadu kepada Yang Maha Kuasa akan kekurangan diri untuk menunaikan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya? Pak-pak haji dan mak hajah yang sentiasa berebut-rebut saf hadapan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tidakkah teringin untuk meneruskan amalan sepertiga malam seperti di sana?

Khatib Jumaat tengah hari ini menyarankan jika jemaah tidak mampu memenuhi sepertiga malam dengan mendirikan solat tahajud, solat taubat, solat tasbih, solat hajat dan solat witir, mereka hendaklah sekurang-kurangnya solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Jika masih tidak berdaya, jemaah disarankan supaya sentiasa menunaikan solat fardu pada awal waktu. Namun, langkah itu hendaklah bersifat sementara, kerana lambat laun mereka masih perlu berusaha menghidupkan sepertiga malam...

No comments:

Post a Comment