Wednesday, February 22, 2012

BOLA SEPAK MALAYSIA LAWAN JEPUN (SPEED AND ATTACKING SOCCER)

Pada era 1970-an, Jepun bukanlah lawan yang digeruni oleh Malaysia. Misalnya, dalam perlawanan kelayakan Olimpik 1972, Syed Ahmad, legenda bola sepak negara telah menjaringkan hatrik untuk menewaskan Jepun 3 - 0, di samping gol tunggal ketika menundukkan Korea Selatan 1 - 0 di Seoul. Malangnya, krisis pengurusan telah menyebabkan hero Malaysia itu disisihkan daripada skuad Olimpik Munich.

Dalam kejohanan lain seperti Pesta Bola Merdeka di Stadium Merdeka dan kejohanan jemputan Jakarta Raya, Malaysia jarang-jarang dapat disaingi oleh Jepun. Hanya Korea Selatan dengan taktik melambat-lambatkan permainan sahaja yang dapat menafikan kemenangan skuad negara. Apabila Syed Ahmad kembali dalam skuad Sukan Asia di Tehran beberapa tahun kemudian, Malaysia berjaya meraih pingat gangsa apabila menewaskan Korea Utara 3 - 2.
wajah Syed Ahmad dari laman sesawang Majlis Sukan Penjara

Agak aneh justeru jasa besar Syed Ahmad tidak pernah disebut sebagai wira sebagaimana Allahyarham Mokhtar Dahari, Abdul Ghani Minhat dan Dali Omar. Pelajar sains sukan harus menjalankan penyelidikan tentang sumbangan Syed Ahmad dalam meletakkan skuad negara di pentas Olimpik dan Sukan Asia. Selepas era Syed Ahmad, Malaysia hanya mampu menonjol di rantau Asia Tenggara.

Syed Ahmad ialah bintang sukan yang tidak dihargai walaupun sumbangan beliau melakar sejarah gemilang bola sepak negara yang terpahat sampai bila-bila. Syed Ahmad mungkin tidak betah berbicara atau memberi syarahan kejurulatihan. Namun, menerusi kepakaran komunikasi pengulas sukan seperti Datuk Hasbulah Awang dan Datuk Rahim Razali pasti dapat mencungkil idea-idea hebat Syed Ahmad bin Abu Bakar, anak kelahiran Johor yang mencipta nama dengan pasukan Penjara Taiping, Perak.

Iktibar daripada kisah Syed Ahmad ialah atlet dan jagoan sukan sering menjadi mangsa percaturan kepimpinan organisasi sukan yang tidak peka. Kepimpinan organisasi sukan menjadi landasan meraih populariti dan kesempatan berdamping dengan pusat pengaruh politik dan perniagaan. Mereka tidak peduli tentang bakat terbaik jika bertentangan dengan ego peribadi masing-masing.

Jepun ketika itu memiliki penyerang berbisa, iaitu Kamamoto. Namun, kelincahan Kamamoto dapat dikekang oleh benteng pertahanan skuad Malaysia yang berjuang berhabis-habisan demi maruah negara. Barangkali, Jepun telah banyak belajar daripada semangat juang Syed Ahmad dan rakan-rakan.

Cerita 1970-an bersama Syed Ahmad hanya tinggal kenangan. Negara matahari terbit itu tidak perlu lagi berhadapan dengan "Syed Ahmad". Malah, skuad Jepun berjaya menggilap lebih banyak "Kamamoto" hingga mampu mencapai tahap yang setara dengan pasukan handalan dunia dari benua Eropah dan Amerika Selatan.

Malaysia yang pernah membuang Syed Ahmad kini masih terkapai-kapai mencari rentak kehebatan yang lama. Kita lebih banyak alasan daripada perancangan jangka panjang. Penyakit kepimpinan organisasi dan jati diri yang kurang mantap menyaksikan Malaysia sangat jauh ketinggalan dengan Jepun.

Malam ini, skuad Olimpik bawah 23 tahun sekali lagi akur kepada Jepun dengan jaringan besar 0 - 4 di laman sendiri. Sebelum ini, di laman lawan Malaysia hanya membenarkan dua jaringan. Hantaran tepat pemain Jepun, serta kebolehan menghukum kealpaan dan hantaran tidak sampai pemain Malaysia menjadi jawapan kemenangan mereka.

Kesungguhan Apek (Khairul Fahmi Che Mat) di gawang dan Nazmi Faiz (pemain tengah dan duta Mizi Sports) tidak mencukupi. Faktor kecergasan dan stamina jelas memihak kepada pasukan Jepun, yang  menggilap bakat mereka menerusi Liga J dan institut penyelidikan sukan mereka. Maka, pemain Malaysia tidak boleh lagi sekadar bergantung kepada percaturan jurulatih di atas padang, tetapi perlukan input analisis penyelidikan sains sukan yang makin mendapat perhatian di negara kita...

4 comments:

  1. Assalamualaikum ..sy ingin meminta bantuan dari pihak tuan ...untuk dapatkan maklumat tempat tinggal syed ahmad bin syed abu bakar ...kerana ingin temukan beliau bersama kakaknya di johor ..setelah sekian lama berpisah ..jika ada maklumat sila hubungi 0178402733... sekian terima kasih

    ReplyDelete
  2. Saya anak dia, boleh tahu siapa kakaknya di johor tu?? 0175564241

    ReplyDelete
    Replies
    1. salm lama xdgr khabar uncle syed last jumpa sy zaman skolah lg

      Delete
  3. Salam...saya baru sek ren waktu tu...siaran tv asyik tergendala...suratkhabar pun baca dr pembungkus brg saja...apa yg dpt saya kutip waktu itu syed ahmad digugurkan krn mengkritik fam...dan digantikan dgn shaharuddin abdullah...mokhtar dahari pula dikira terlalu muda utk skuad negara...mmg sewaktu itu negara punya ramai penyerang...tetapi saya rasa keciwa tk dpt menyaksikan syed ahmad beraksi di olimpik munich...dan saya rasa sukar bagi malaysia untuk melahirkan seorang lagi wira seperti syed ahmad mahupun supermokh...terima kasih pd fam...

    ReplyDelete