Sunday, February 5, 2012

LAKSA JOHOR DAN MI BANDUNG MUAR (THE ORIGINAL RECIPE)

Antara perkara "wajib" jika bermalam di Bandar Maharani, Muar ialah makan-makan di warung stesen bas ekspres yang hanya dibuka mulai pukul 6 petang hingga 12 tengah malam. Menu istimewa di situ ialah gado-gado, tempe goreng dan laksa Johor. Makanan berkenaan mungkin ada di tempat lain juga, tetapi rasanya tidak akan sama.
Medan Selera Tanjung Emas, berhampiran Sekolah Tinggi Muar dan Masjid Sultan Ibrahim

Bandar Maharani, Muar dianggap sebagai bandar orang pencen dan sangat malap pada waktu malam. Susur keluar Lebuh Raya Utara Selatan tiada yang terus ke Bandar Maharani. Kalau dari arah Kuala Lumpur, pemandu perlu melencong ke persimpangan Tangkak, manakala dari arah Johor Bahru perlu membelok ke persimpangan Pagoh. Setelah itu, pemandu perlu melewati jalan biasa sejauh 24 kilometer.

Keenakan tempe goreng Muar setanding dengan rasa tempe di Bandung dan Jakarta. Demikian juga dengan masakan asam pedas Muar yang memang cukup pedas dan pekat. Kepada yang tidak biasa, menjamah asam pedas Muar bererti mengeluarkan air mata!

Tidak banyak peniaga yang tahu menyediakan laksa Johor yang enak. Beza laksa Johor dengan laksa Kedah atau laksa Pulau Pinang ialah laksa yang digunakan sebenarnya spegheti. Kuah laksa Johor juga dicampur dengan rempah yang membuka selera.

Hanya satu masalah yang belum selesai bagi premis perniagaan di Muar sebagaimana juga di seluruh negara, iaitu tentang kebersihan. Kerusi meja nampak usang, manakala sisa makanan lambat dibersihkan. Penampilan petugas premis perniagaan makanan juga kurang baik, hingga ada yang nampak seperti tidak menggosok gigi...

No comments:

Post a Comment