Saturday, February 18, 2012

PERANAN STESEN RADIO MASIH RELEVAN (INTERACTIVE BROADCASTING)

Kemajuan teknologi maya nyata tidak melenyapkan pengaruh media tradisional, sama ada akhbar, buku, majalah, radio dan televisyen. Secara amnya, kegilaan terhadap internet lebih bersifat peluang dan ruang untuk orang awam dan para amatur yang tidak terlatih dalam dunia kewartawanan dan penyiaran menggilap bakat dan kreativiti secara cuba jaya. Walaupun terdapat kemunculan pedagang elektronik, kebanyakan akses internet bersifat peribadi dan suka-suka.

Kepercayaan orang ramai terhadap media baru masih tipis. Kebebasan menulis, mengirim gambar dan memuat naik audio video mengakibatkan ciri eksklusif sesuatu bahan atau karya diragui. Penyamaran lebih mudah berlaku jika dibandingkan dengan media tradisional.

Radio ialah antara media tradisional penyiaran yang paling klasik dan masih mampu bertahan. Kehadiran teknologi internet tidak membunuh kewujudan radio, justeru sebaliknya mengukuhkan jangkauan atau liputan sesebuah radio yang bersifat tempatan ke seluruh dunia. Semua stesen radio yang disambungkan dengan sistem laman sesawang akan dapat diikuti di mana-mana bahagian bumi yang memiliki capaian internet.

Pada era telefon awam berbentuk gagang yang berat itu, kemudahan talian persendirian di rumah terhad kepada golongan berada. Orang ramai sanggup beratur panjang di pondok-pondok telefon hinggakan peluang penjenayah dan budak nakal untuk berbuat sesuatu agak sukar. Pengalaman membuat panggilan telefon dianggap sangat manis ketika itu, kalau di Malaysia sebelum dekad 1980-an.

Dasar penyiaran radio juga bersifat komunikasi sehala. Tiada talian dibuka untuk pendengar ke udara secara langsung. Hanya siaran langsung sukan bola sepak, keputusan pilihan raya dan temu bual eksklusif akan dibuat secara panggilan telefon. Pendek kata, peminat radio ialah pendengar pasif.

Apabila kos memiliki telefon rumah yang makin murah (1980-an) dan kemudian telefon bimbit (penghujung 1990-an), sedikit demi sedikit radio telah melakukan anjakan paradigma dengan konsep komunikasi pelbagai hala. Pendengar boleh ke udara secara langsung walaupun dilewatkan beberapa saat untuk tujuan tapisan dan keselamatan kandungan. Para selebriti dan tokoh yang diundang ke konti juga berpeluang bercakap secara langsung dengan peminat mereka.

Program soal jawab agama dan pelajaran tajwid al-Qur'an juga dibuat secara langsung dan bukan rakaman. Selain bercakap secara langsung di talian, para pendengar juga boleh menghubungi radio menerusi e-mel dan facebook semasa siaran sedang ke udara. Tiada lagi keperluan untuk mengirim poskad atau surat bagi menyampaikan ucapan salam atau untuk permintaan lagu.

Dahulu juga hanya ada satu saluran radio nasional kendalian RTM, itu pun menggunakan gelombang analog. Kini, RTM sendiri mempunyai puluhan stesen radio berdasarkan segmen siaran negeri dan suku kaum, misalnya khusus untuk orang Asli (Asyik.fm). Anggapan umum ialah bahawa stesen-stesen radio milik RTM lebih menjurus kepada propaganda awam menerusi slot hiburan santai dan berita.

Lesen pengendalian radio telah dibuka kepada pihak swasta dan badan berkanun. Antara stesen radio yang berpengaruh ialah Hot.fm (milik Media Prima), Sinar.fm, Era.fm (milik Astro), Suria.fm, Manis.fm yang berebut segmen pendengar muda dan dewasa menerusi hiburan terkini dan retro. Sebahagian selebriti telah diambil bertugas sebagai penyampai radio supaya menjadi magnet kesetiaan stesen dalam kalangan pendengar tegar atau sambilan.

Slot hiburan, iklan, berita dan celoteh juruhebah menguasai sebahagian besar siaran radio arus perdana. Genre nasyid dan program kerohanian diperuntukkan waktu yang sangat terhad. Maka, keperluan itu ditampung oleh radio seperti Ikim.fm yang turut menerima aliran muzik moden yang diklasifikasikan sebagai sihat...

No comments:

Post a Comment