Wednesday, March 28, 2012

DASAR BIASISWA UNTUK LULUSAN PRAUNIVERSITI SAHAJA (NO MORE SHORTCUT WITH JUST FLYING COLOURS SPM)

Tiada sebarang ikatan untuk penaja biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mara, Petronas, Bank Negara dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memenuhi tuntutan ibu bapa dan pelajar cemerlang SPM supaya membiayai pengajian mereka ke universiti terkemuka dunia. Ibu bapa dan pelajar berkenaan tidak mempunyai sebarang hak untuk memaksa pihak-pihak berkenaan mengurniakan biasiswa secara automatik hanya kerana pencapaian semua A+. Pemberian biasiswa bukan semata-mata atas merit akademik, tetapi merangkumi faktor latar belakang sosioekonomi dan tujuan strategik yang tertentu.

Tajaan biasiswa perubatan di United Kingdom mencecah RM1 juta, India dan Indonesia sekitar RM300,000, manakala kursus ikhtisas lain seperti kejuruteraan dan perakuan semuanya melebihi RM250,000. Dengan penawaran lebih banyak kursus kritikal seperti itu oleh universiti awam, swasta dan cawangan universiti luar negara, kos pengajian di dalam negara sudah jauh lebih murah dan jimat. Tajaan biasiswa luar negara lebih sesuai ditawarkan untuk pengajian peringkat pascasiswazah dan kepakaran. 

Keutamaan biasiswa untuk lulusan prauniversiti seperti STPM, matrikulasi, asasi sains, A Level, Foundation dan baccalaureate berbanding dengan lulusan SPM bukan perkara baharu. Sebelum ini pun, lulusan SPM tidak memenuhi syarat kemasukan terus untuk pengajian ijazah pertama atau sarjana muda. Mereka hanya layak memohon kursus sijil dan diploma sebagai laluan kedua yang setaraf dengan kelulusan prauniversiti untuk permohonan kursus ijazah kemudiannya.

Kemasukan terus kursus ijazah pada asalnya ditawarkan oleh UTM menerusi program integrasi diploma dan ijazah, serta UiTM (diploma lanjutan). Demikian juga kolej dan universiti swasta yang memberi banyak kelonggaran untuk lulusan SPM memohon kursus sarjana muda. Malah, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) secara prinsipnya tidak mensyaratkan sebarang kelayakan akademik untuk kemasukan kursus ijazah sarjana muda.

Sebagai tanda mengiktiraf pelajar cemerlang SPM, bentuk hadiah yang lain boleh difikirkan. Misalnya, kumpulan pelajar berkenaan disediakan tempat untuk kursus persediaan ijazah sarjana muda dengan tajaan penuh tanpa ikatan untuk biasiswa ke luar negara secara automatik di peringkat ijazah. Tajaan biasiswa pengajian dalam negara akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan yang memerlukan pembiayaan kursus-kursus kritikal dengan lebih luas.

Sebaliknya, lulusan prauniversiti yang cemerlang memang layak diberi keutamaan biasiswa, terutama untuk kursus kritikal berasaskan kecemerlangan akademik, kepimpinan dan pengalaman pembelajaran terbaik. Lulusan SPM masih mempunyai peluang ke peringkat ijazah sarjana muda menerusi kolej dan universiti berasaskan teknikal, serta hands-on. Amalan negara kejuruteraan termaju seperti Jerman dan Jepun boleh menjadi contoh.

Pelajar cemerlang SPM memang layak memperoleh hadiah istimewa atas pengorbanan, susah payah dan kos yang tinggi. Mereka memiliki pakej keperibadian dan modal insan kelas pertama. Pembiayaan pengajian tinggi  untuk mereka sangat wajar, meskipun tidak semestinya dalam bentuk tajaan biasiswa luar negara...


No comments:

Post a Comment