Sekali air bah, sekali pantai berubah. Sekali tukar menteri, sekali pula perkara baharu diperkenalkan, sekurang-kurangnya dari segi penjenamaan semula sesuatu dasar pendidikan. Dunia pendidikan masih dipengaruhi oleh permintaan sosial, kehendak pasaran faktor, modal insan dan pendekatan utilitarian.
Antara menteri pelajaran yang sangat berpengaruh ialah Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Abdul Rahman Talib. Nama mereka diabadikan lewat dua penyata penting pendidikan yang masih menjadi rujukan penggubalan dasar pendidikan kebangsaan, iaitu Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. Tun Musa Hitam memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), manakala Dato' Seri Anwar Ibrahim terkenal dengan sistem bahasa baku dan falsafah pendidikan kebangsaan.
Era Dato' Seri Hishamuddin Hussien pula menonjolkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006 - 2010) sebagai kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan oleh Tan Sri Musa Mohamed sebelumnya. Tahun 2011 lebih kepada usaha memperkasa semula bahasa Melayu yang kelihatan terpinggir akibat pengenalan dasar PPSMI, di samping menjenamakan semula pendidikan kemahiran dan vokasional. Menjelang suku kedua 2012, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan jelajah dialog pendidikan nasional bagi mendapatkan input dan permuafakatan tentang pelan pembangunan pendidikan yang terkini sejajar dengan pelan transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Dari segi kaedah penggubalan dasar, input hujah yang bertentangan (dialectic) ialah komponen kritikal yang tidak boleh ditinggalkan. Proses penggubalan dasar akan menjadi cacat dan lemah jika pendapat pro dan kontra tidak diambil kira. Maka, langkah mengadakan jelajah dialog pendidikan nasional yang bakal dilaksanakan itu ialah satu keperluan wajib atau sine qua non.
Rumusan hujah dialektik yang dikumpul bagaimanapun bukanlah bersifat muktamad sebagai asas penggubalan dasar pendidikan. Sebenarnya banyak lagi proses saringan yang perlu dilalui seperti pandangan pakar dan dapatan penyelidikan yang khusus. Pertimbangan yang teliti dari segala segi seperti politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan dan persekitaran pendidikan harus diadun masak-masak.
Dasar pendidikan menghormati kehendak industri dan pasaran, tetapi tidak harus terikat dengan rentak mereka yang hakikatnya mahukan bekalan modal insan secara percuma. Pihak industri sangat bertuah justeru mereka tidak perlu bersusah payah atau mengeluarkan kos yang tinggi bagi membiayai pendidikan dan latihan kakitangan. Industri hanya seperti nelayan yang menabur jala untuk memerangkap ikan dan seterusnya memilih ikan yang sudah sedia tinggi mutunya.
bersambung...
No comments:
Post a Comment