Tuesday, April 10, 2012

1,609 LULUSAN CEMERLANG SPM 2011 DAPAT DERMASISWA (THOSE EXCELLENCE DESERVED A TOKEN REWARD)

Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan pemberian dermasiswa (bursary) kepada sejumlah 1,609 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang memperoleh 9 A+ ke atas. Dermasiswa berkenaan akan dianugerahkan secara automatik tanpa mengambil kira latar belakang penerima. Bantuan kewangan berkenaan bagaimanapun ialah untuk kursus prauniversiti atau persediaan ijazah pertama.

Selain itu, 50 orang lulusan SPM 2011 paling cemerlang dalam senarai kementerian akan mendapat tajaan pengajian hingga peringkat ijazah pertama di universiti terkemuka dunia di bawah program biasiswa nasional (PBN). Kursus yang dipilih mesti tersenarai dalam daftar pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semakan status penerima boleh dibuat secara atas talian  di laman sesawang www.moe.gov.my mulai 16 April ini.

Pecahan statistik pencapaian 1,609 pelajar itu ialah 9A+ (1,020 orang), 10A+ (492 orang), 11A+ (90 orang) dan 12 A+  tujuh orang. Keputusan terbaharu kerajaan tentang dermasiswa pelajar cemerlang SPM terpakai untuk tahun ini sahaja dan tidak bersifat dasar yang tetap. Sudah tentu implikasi kewangan yang harus ditanggung telah diambil kira sebelum pengumuman dibuat.

Bantuan untuk pengajian prauniversiti  bererti bahawa SPM tidak lagi menjadi laluan khas kemasukan terus ke program ijazah sarjana muda, sebaliknya pelajar perlu mengikuti pengajian prauniversiti dengan jayanya terlebih dahulu. Maka, pelajar boleh memohon untuk mengikut program matrikulasi, tingkatan 6, asasi sains, A Levelfoundation dan international baccalaureate berdasarkan kursus dan universiti pilihan. Lulusan cemerlang prauniversiti kini memiliki peluang yang lebih besar untuk tajaan pengajian ijazah pertama masing-masing.


Ibu bapa dan pelajar mungkin tertanya-tanya akan perbezaan antara dermasiswa dengan biasiswa. Berdasarkan pengalaman penulis blog (PB) yang pernah menerima kedua-dua bentuk tajaan, iaitu dermasiswa semasa ijazah pertama dan biasiswa untuk ijazah sarjana, nilai biasiswa adalah lebih besar. Namun, dermasiswa juga tidak mensyaratkan pembayaran semula bantuan kewangan yang diberikan.

Maksudnya, biasiswa merangkumi tajaan dari segi sara hidup, yuran pengajian, elaun buku dan peralatan, serta tuntutan tertentu seperti bayaran harian tesis, seminar dan perjalanan. Penerima dermasiswa pula menerima bantuan kewangan secara sekali gus setiap tahun, tetapi baki bersih diperoleh setelah ditolak yuran pengajian. Selain itu, penerima dermasiswa tidak diberikan sebarang bentuk elaun atau kemudahan tuntutan yang lain.

Walaupun demikian, penerima dermasiswa boleh menganggap diri mereka sebagai sangat bertuah jika dibandingkan dengan penerima pinjaman tabung pengajian tinggi nasional (PTPTN) yang terikat kepada proses pembayaran balik sebaik tamat pengajian. Sebagai menghargai pembiayaan dermasiswa daripada pembayar cukai, penerima hendaklah menyemai kesungguhan untuk mencatat pencapaian terbaik sepanjang tempoh pengajian di universiti. Balasan dalam bentuk nilai modal insan terbaik itu akhirnya akan dipulangkan kepada masyarakat dalam bentuk daya pengeluaran dan daya saing yang tinggi.

1 comment:

  1. Apa yg nak dibanggakan dgn pencapaian 9A wahai sudara penulis dan pemberi biasiswa.... Buatlah kajian skt... Banyak orang yang sukses dan hidup mewah di dunia hari ini (buat kajian la skt) yg kebanyakkan tak dpt 9A pun.... Jgn dok bangga sgt dgn 9A.... Sebenarnya isu ni x timbul, bg je semua pelajar biasiswa (percuma) Yg penting bangunkan modal insan yang hebat melalui sukatan pelajaran yg juga hebat.... Tq... sy akan muncul lagiiiiii....

    ReplyDelete