Kakitangan awam masih menunggu versi lengkap penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) sebagai ganti Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sudah dibatalkan. Tumpuan sudah pasti terarah kepada matriks tangga gaji dan proses naik pangkat gred perkhidmatan. Kakitangan yang lebih lama dalam perkhidmatan (senior) juga berharap bahawa tempoh perkhidmatan mereka akan diambil kira dalam pelantikan naik pangkat supaya tidak didahului berkali-kali oleh kakitangan lebih baharu (junior).
Laluan naik pangkat boleh jadi berdasarkan tempoh perkhidmatan (time-based), dan / atau laluan pantas (fast track). Kakitangan yang naik pangkat secara time-based biasanya diletakkan dalam kategori Khas Untuk Penyandang (KUP), melainkan jawatan pentadbiran. Laluan pantas atau jawatan pentadbiran pula biasanya dimasukkan sebagai hakiki.
KUP bererti bahawa penyandang jawatan berkenaan akan kembali ke gred hakiki apabila bersara. Misalnya, penyandang DG 48 (KUP) akan kembali ke gred DG 41 untuk tujuan faedah persaraan. Sebaliknya, penyandang hakiki akan kekal pada gred yang sama semasa bersara.
Apabila sistem matriks gaji sebaris diperkenalkan, terdapat sifir mudah, iaitu 8 + 8 + 6 + 3, iaitu 8 tahun pada gred 41, 8 tahun gred 44, 6 tahun gred 48 dan 3 tahun gred 52. Maknanya, dalam tempoh 22 tahun perkhidmatan, seseorang pegawai awam siswazah sudah layak berada pada gred 48 secara automatik tanpa menunggu kekosongan perjawatan. Tiada sekatan perubahan ke gred yang lebih tinggi, melainkan tidak memperoleh perakuan ketua jabatan masing-masing..
Dasar menarik bakat-bakat terbaik dalam perkhidmatan awam dibuat melalui kaedah laluan pantas. Misalnya, sifir laluan pantas ialah 5 + 3 + 3 + 3, iaitu hanya 17 tahun untuk mencapai gred 52, berbanding time-based yang memerlukan tempoh minimum 25 tahun. Namun, proses naik pangkat secara laluan pantas tertakluk kepada kekosongan jawatan, bukan secara automatik...
No comments:
Post a Comment