Walaupun manusia memiliki sepasang telinga dan hanya satu mulut, tetapi manusia lebih suka bercakap daripada mendengar. Pendapat pakar mengatakan kemahiran mendengar lebih banyak mendatangkan keuntungan. Orang yang pandai memfrasakan semula apa-apa yang didengari dapat mengesan tema pemikiran orang lain sebagai asas untuk merancang sesuatu program, perniagaan, pemasaran, dakwah dan reka bentuk pembaharuan.
Hakikatnya bilangan orang yang sanggup mendengar adalah minoriti, manakala bilangan orang yang suka bercakap adalah majoriti. Maka, apabila dalam satu majlis, seorang sahaja yang bercakap, manakala yang lain mendengar, hal itu dikira ganjil dan pelik. Si penceramah mungkin "syok sendiri", sedangkan khalayak pula tidak henti-henti mengutuk di dalam hati.
Di dalam persekitaran bilik darjah, jika hanya guru sahaja yang bercakap, kalaupun murid tidak berani menunjukkan reaksi bosan, fikiran mereka bakal melayang entah ke mana-mana. Komunikasi sehala dalam aktiviti pembelajaran kanak-kanak dianggap sebagai ketinggalan zaman. Guru-guru dilatih dengan pelbagai kaedah pengajaran sehingga peranan mereka lebih menjurus kepada pemudah cara.
Penyampaian kursus kepada orang dewasa sebenarnya jauh lebih sukar. Mereka telah membina kubu dan skema dalam diri sekian lama hingga bertaraf status quo dan akan menolak sebarang idea luar yang disifatkan sebagai tidak berpijak di bumi nyata. Pembaharuan dilihat sebagai ancaman yang mengakibatkan kehilangan kedudukan, hilang kawan, hilang kebiasaan, hilang kebebasan diri, dan banyak kehilangan lagi.
Orang dewasa sering menganggap idea luar sebagai cakap-cakap yang tidak relevan. Mereka berhujah bahawa lain padang lain belalang. Pengalaman di luar organisasi tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam organisasi mereka.
Label sikap tertutup, atau inertia mungkin agak kasar. Sebenarnya orang dewasa cenderung melakukan perlindungan yang kuat terhadap idea sendiri. Kepakaran luar hanya mengundang rasa cuak, curiga dan mungkin juga rasa menyampah.
Lantaran itu, ketahanan orang dewasa untuk mendengar cakap orang lain, tidak kira pakar yang disegani mungkin hanya boleh bertahan dalam tempoh maksimum setengah jam. Sesudah itu, bahasa tubuh badan mereka akan memberi isyarat gelisah dan keinginan menarik diri yang kuat. Mereka enggan menghargai butiran idea yang mungkin berorientasi pembaharuan.
Penceramah atau pakar runding yang berhadapan dengan sekumpulan orang dewasa seperti yang dijelaskan perlu membuat persiapan yang cukup rapi jika tidak mahu berakhir dengan rasa hampa, kecewa dan tertekan. Aktiviti dua hala yang hendak dikendalikan mestilah tidak kelihatan "bodoh" menurut perspektif dan ukuran khalayak dewasa. Demikian antara luahan rasa penceramah dan pemudah cara sesi latihan dalam perkhidmatan (Ladap, Inset) di sekolah...
No comments:
Post a Comment