Kenangan bergelar sebagai mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudah menjadi lipatan sejarah. Zaman itu tiada telefon bimbit dan tiada kemudahan internet. Maknanya, tiada SMS, MMS, ruang sembang siber, e-mel atau skype.
Perkhidmatan talian tetap di rumah juga masih belum menyeluruh. Maka hubungan dengan keluarga dan sahabat handai hanya dapat dilakukan menerusi surat-menyurat. Kalau ada hal yang sangat mustahak, perkhidmatan telegram sahajalah pilihan yang ada.
Sistem perbankan juga masih belum begitu canggih. Urusan pengeluaran wang masih perlu dibuat di kaunter. Profesor yang hendak mengambil duit gaji juga perlu menunaikan cek dengan beratur panjang bersama pelanggan yang lain.
Unit komputer yang ada masih menggunakan kad tebuk dan tidak mampu dimiliki secara persendirian. Mahasiswa sanggup menunggu hingga dini hari untuk memperoleh giliran menggunakan komputer. Kemudian, baharulah perisian Wordstar dan Lotus diperkenalkan dengan sistem pencetak matriks titik.
Penggunaan mesin taip untuk penyediaan tugasan dan kertas projek ialah perkara biasa. Bagi yang tidak cekap atau malas hendak melakukan kerja menaip, upah bagi setiap muka surat ialah RM1.00. Bagi kertas projek, riben mesin taip yang digunakan menghasilkan cetakan yang lebih tajam dan berkilat metalik!
Pada masa itu tiada skim PTPTN, sebaliknya mahasiswa dihadiahkan biasiswa atau dermasiswa. Namun, pembayaran hadiah berkenaan agak lewat menyebabkan mahasiswa tahun pertama terpaksa mengikat perut menahan lapar. Kalau bijak sedikit, beli seekor ikan, makan separuh untuk lauk tengah hari, manakala pada waktu lewat petang beli nasi dengan kuah sahaja.
Walaupun tidak secanggih mahasiswa hari ini, warga kampus pada zaman berkenaan boleh dikatakan mengecap glamor. Maklumlah, hanya ada 5 buah universiti awam di seluruh negara dan tiada sebuah pun universiti swasta. Hanya pelajar-pelajar terbaik STP(M), matrikulasi dan asasi sains layak memohon masuk universiti, selain saluran kedua pemegang diploma politeknik dan UiTM.
Kini UKM telah mencecah usia 42 tahun penubuhannya yang bermula dengan kampus Lembah Pantai bersebelahan Universiti Malaya. Malah, mahasiswa UKM ketika itu banyak berkongsi kemudahan pengajian dengan mahasiswa UM sebelum berpindah ke kampus tetap di Bangi, Cheras (perubatan), dan Kota Kinabalu (UKMS, kini UMS). Penulis blog (PB) amat bersyukur kerana pernah menikmati era perubahan UKM sebagai sebuah universiti terkemuka di Malaysia dan antarabangsa.

No comments:
Post a Comment