Tuesday, June 19, 2012

MOTIVASI BELAJAR: JANGAN LETAK BANYAK SYARAT (YOU'RE WELCOME AS YOU ARE)

Assalamu alaikum dan salam sejahtera

Yang dikasihi pelajar sekalian,

Sudah terlalu banyak kisah orang berjaya yang terlebih dahulu menempuh pelbagai pengalaman jatuh bangun, susah payah dan pengorbanan. Peribahasa Melayu mengatakan "yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang". Tiada lampu ajaib Aladin, tiada jalan pintas dan tiada kejayaan secara percuma, melainkan dalam khayalan, cerita dongeng, atau barangkali dalam satu dua kes terpencil.

Saya khususkan perbincangan kali ini terhadap kejayaan dalam pembelajaran di sekolah. Era pembelajaran berorientasi peperiksaan sudah hampir menjadi sejarah. Kini, kebanyakan negara maju di dunia mula mengorak langkah memperkasa sistem pendidikan masing-masing dengan keutamaan terhadap pembaharuan dan pentaksiran berterusan oleh guru-guru di sekolah. 

Budak-budak sekolah telah dibiasakan dengan pemerolehan ilmu pengetahuan secara akses kendiri. Misalnya, wajaran besar diberikan kepada penyediaan folio dan kerja kursus, manakala komponen peperiksaan secara berpusat hanya mewakili kurang daripada 50 peratus markah keseluruhan. Pelajar akan dibimbing untuk mengembangkan potensi pembelajaran kendiri dalam persekitaran seharian mereka, tanpa mengabaikan maklumat sejagat.

Pelajar yang dimuliakan,

Kecemerlangan pembelajaran yang sejajar dengan minat dan kecenderungan pelajar secara individu ialah suatu proses penjanaan modal insan minda kelas pertama seperti yang diuar-uarkan selama ini. Perkembangan domain kognitif, afektif dan psikomotor disokong oleh proses pemupukan kemahiran insaniah pelajar, dan bukan semata-mata disogok oleh guru di bawah sistem lama. Pelajar tidak boleh bersifat pasif atau seperti penumpang yang kecewa dalam proses pembelajaran.

Pembelajaran aktif bermakna pelajar sentiasa memiliki kesediaan minda untuk mengambil bahagian secara cergas dalam kegiatan bilik darjah, bahkan sentiasa menganggap bahawa proses pembelajaran ialah milik peribadi mereka sendiri. Mereka belajar bukan sekadar untuk memuaskan hati orang lain, sama ada pihak sekolah atau bapa, sebaliknya untuk memperoleh sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran agar mampu berdikari dan menyumbang terhadap kesejahteraan diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi, bangsa dan umat seluruhnya.

Sebagai pencari ilmu, pelajar tidak usahlah meletakkan terlalu banyak syarat, atau dalam bahasa basahan jangan banyak songeh. Pembelajaran ialah suatu urusan yang mustahak, bukan untuk bersuka ria sepanjang masa, walaupun unsur kelakar dan kecindan memang dianjurkan. Pelajar wajib memberikan tumpuan secara suci hati supaya ilmu yang dipelajari sentiasa berkat dan berguna dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Pelajar yang disayangi,

Pelajar yang berjaya pada hakikatnya sentiasa berpegang teguh terhadap adab belajar yang bertujuan memelihara hubungan harmonis antara diri mereka dengan guru dan rakan-rakan. Pelajar yang berjaya tidak sama sekali memaksa guru dan rakan sekelas memenuhi kehendak dan standard yang mereka tetapkan tanpa asas yang autentik. Mereka tidak sesekali akan membuat permintaan, saranan, dan tuntutan yang bukan-bukan. 

Pelajar yang berjaya sebaliknya mempamerkan kesungguhan dalam proses pembelajaran, di samping tidak dikawal oleh emosi. Mereka tidak pernah membenarkan sikap sentimental menceroboh dan meracun minda mereka. Sebaliknya, pelajar berjaya akan mencari jalan supaya dapat bertahan dan berjuang dalam persekitaran pembelajaran yang sentiasa mencabar dan terpilih itu...

No comments:

Post a Comment