Friday, June 8, 2012

OLIMPIK DAN BULAN PUASA, BARAT TIDAK PEKA? (THE RIGHT CHOICE)

Kejohanan sukan olimpik musim panas bakal berlangsung di kota London pada bulan Julai ini. Tarikh yang dipilih itu bertemu dengan bulan Ramadan, iaitu ketika umat Islam menjalani ibadah puasa. Setakat ini belum ada bantahan rasmi dari organisasi sukan dalam kalangan negara umat Islam tentang hal berkenaan.

Namun, sudah muncul kritik tertentu bahawa Barat sengaja menguji sensitiviti umat Islam terhadap kesucian bulan Ramadan. Selain atlet Muslim yang mewakili pelbagai negara, siaran langsung kejohanan turut dipancarkan ke negara-negara umat Islam. Kita masih menunggu pandangan alim ulama tentang penglibatan atlet Muslim dan perhatian peminat sukan hingga mungkin menjejaskan tumpuan mereka terhadap ibadah puasa.

Memang benar bahawa tiada sesiapa yang memaksa untuk seseorang lekat di hadapan skrin televisyen untuk menonton acara sukan kegemaran mereka. Orang yang sedang berpuasa wajib mengawal diri mereka sendiri daripada segala urusan yang boleh melemahkan mutu puasa dalam konteks pencapaian maqam taqwa. Mereka kena terus bekerja dan belajar seperti biasa, membanyakkan amalan kebaikan dan kebaktian, serta menghindari urusan yang lagha (sia-sia).

Walaupun secara zahirnya, ibadah puasa ialah urusan individu, tetapi hakikatnya segala urusan individu umat Islam juga menjadi tanggungjawab masyarakat dan jemaah. Generasi umat awal Madinah yang pernah digelar sebagai bayangan masyarakat syurga oleh seorang pemikir Islam sentiasa menjalani aktiviti kehidupan secara jemaah (berpasukan) sama ada ketika ibadah khusus, mahupun aktiviti muamalat harian. Kekuatan jemaah itulah yang membolehkan risalah tawhid tersebar ke segenap penjuru alam, dan kepimpinan umat pernah menaungi pemerintahan dua per tiga dunia.

Aktiviti sukan dan riadah memang bukan perkara asing bagi masyarakat Islam. Malah, terdapat mafhum hadith yang menggalakkan umat menguasai kemahiran memanah, sekadar menyebut satu contoh. Kekuatan akal juga dihubung kait terus dengan kekuatan jasmani, al-aqlu's-salim minal jismu's-salim

Pembabitan atlet Muslim dalam sukan prestasi tinggi seperti olimpik bagaimanapun tetap tertakluk kepada peraturan syariat seperti aurat dan keutamaan ibadah khusus. Maka, pembabitan olimpik dalam bulan ramadan ialah suatu ujian berat kepada atlet dan juga masyarakat islam yang gemar menonton acara sukan. Sama ada benar atau tidak Barat sengaja menganjurkan olimpik pada bulan puasa bakal terjawab dalam tempoh yang terdekat, insya-Allah...

No comments:

Post a Comment