Friday, July 13, 2012

MEMILIH JALAN PULANG (HEAVEN OR HELL?)

Demikian tajuk tazkirah program Halaqah Menyentuh Qalbu TV9 yang diisi oleh penceramah pasukan ESQ yang pernah menghadapi kontroversi dengan mufti Wilayah Persekutuan. Jalan pulang yang dimaksudkan ialah kembali ke syurga, iaitu tempat asal Nabi Adam alahi's-salam sebelum dihantar ke bumi. Umat diingatkan supaya tidak termakan hasutan iblis dan syaitan, lalu terseret ke neraka, na'u zubillah min dhalik.

Jalan pulang menuju syurga sudah tentu bakal menempuh pelbagai rintangan dan ujian, iaitu bukan bersifat percuma. Maknanya, tiada jalan mudah menuju syurga melainkan dengan jiwa raga yang benar-benar ikhlas mengharap redha Ilahi dengan mematuhi segala tuntutan aqidah, syariat dan akhlaq sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Qur'an dan al-Hadith, serta ijmak, qiyas, istihsan, ihtishab, masalih mursalah, uruf dan panduan alim ulama yang muktabar. Sebaliknya, seseorang insan dengan mudah boleh tergelincir ke laluan jalan ke neraka andai kata terpedaya dengan hasutan iblis dan syaitan, serta pesona dunia yang lain.

Insan yang soleh tidak pernah membiarkan dunia masuk ke dalam dirinya, sama ada secara jasmani, emosi, rohani, intelektual dan segala pertimbangan kehidupan. Pendek kata, insan yang menuju jalan pulang ke syurga sentiasa berupaya mengawal dunia, bukan sebaliknya dunia yang mengawal dirinya. Dunia ialah jambatan menuju jalan pulang ke syurga apabila tiba hari akhirat, bukan dunia sebagai matlamat hidup.

Insan yang menuju jalan pulang ke syurga tidak melayan perkara sia-sia atau panjang angan-angan. Seluruh kehidupan didambakan semata-mata menuju redha Ilahi, tanpa sekutu dengan makhluk lain atau sebarang bentuk entiti fana yang lain. Diri sentiasa dihiasi dengan sifat terpuji (mahmudah) dan terhindar daripada sifat tercela (mazmummah).

Insan yang menuju jalan pulang ke syurga sentiasa berusaha mencari ilmu yang sah, mengukuhkan amalan dan menyebarkan ilmu dengan kaedah penyampaian yang penuh hikmah. Tiada tindakan melulu yang menyerlahkan kejahilan atau bersikap gopoh dalam membuat keputusan. Sifat sabar dan hemah tinggi yang menjadi kunci kehebatan anbiya' sentiasa menjadi pegangan dan pedoman dalam meneruskan risalah kebenaran.

Insan yang menuju jalan pulang ke syurga sentiasa cinta kepada Allah dan rasul-Nya melebihi diri sendiri, ibu bapa, keluarga, sahabat handai dan seisi bumi. Dalam kata lain, neraca pertimbangan utama ialah perintah Allah dan Rasul, serta akur terhadap segala larangan dan tegahan Allah dan Rasul. Godaan iblis, syaitan dan keduniaan dalam pelbagai bentuk keindahan duniawi seperti kemasyhuran, kekayaan, pangkat, harta benda yang melimpah ruah, serta kuasa tidak sama sekali mengatasi perintah dan larangan yang ada.

... 

No comments:

Post a Comment