Thursday, July 12, 2012

TEKS UCAPAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KURIKULUM (PERSONAL RENEWAL IN THE ENVIRONMENT OF CHANGES)

Panduan penyediaan teks ucapan

1   Dapatkan senarai protokol: tetamu, jemputan dan profil hadirin

2   Muktamadkan isi ucapan dengan penyampai ucapan

3   Susun draf teks ucapan dengan persetujuan penyampai ucapan

4   Buat semakan bahasa

5   Serahkan draf teks ucapan yang lengkap kepada penyampai ucapan dua hari sebelum majlis

6   Dapatkan maklum balas untuk penambahbaikan

7   Serah semula teks ucapan yang telah siap disemak dan dibaiki

Contoh susunan isi

1   Menghadap majlis:  ucapan salam, lafaz syukur dan sebut tetamu dan hadirin merujuk senarai protokol

2   Mengalu-alukan kehadiran tetamu dan mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah

3   Konsep majlis anugerah kecemerlangan akademik sebagai acara wajib sekolah

4   Takrif kecemerlangan kurikulum dan ukuran pencapaian

5   Pencapaian peperiksaan awam bagi sekolah

6   Transformasi pendidikan:  pentaksiran berasaskan sekolah, kemahiran insaniah, sistem modular

7   Perancangan dan pelaksanaan program kecemerlangan kurikulum

8   Peranan murid, guru dan ibu bapa dalam proses menuju kecemerlangan kurikulum

9   Keperluan kecemerlangan kurikulum dalam konteks perubahan persekitaran pendidikan

10   Ucapan tahniah kepada penerima anugerah: kecemerlangan mesti diteruskan sepanjang hayat

11   Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis:  tetamu, hadirin, jawatankuasa

12   Penutup ucapan:


Contoh teks ucapan yang lengkap

SMK ...
HARI UCAPAN
DAN PENYAMPAIAN HADIAH
DRAF UCAPAN TUAN PENGETUA


Terima kasih saudari pengacara majlis
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat pagi, salam sejahtera
Yang Dihormati ...
Yang Dimuliakan Yang Dipertua dan barisan kepimpinan PIBG
Penolong-penolong Kanan,
Guru Kanan, Guru,
Yang dira’ikan para penerima hadiah
Ibu bapa
Hadirin dan hadirat

Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana pada petang ini kita dapat berkumpul bersama-sama bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang mencapai tahap pencapaian yang cemerlang khusus dalam bidang kurikulum sepanjang tahun ... Sesungguhnya majlis hari ucapan dan penyampaian hadiah ini merupakan kesinambungan tradisi sekolah sejak sekian lama dan memiliki signifikan yang tersendiri kepada seluruh warga SMK ... Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran tuan puan. Saya percaya bahawa  sokongan seumpama ini akan meningkatkan lagi semangat warga sekolah untuk terus mencatat kejayaan yang membanggakan.

Tuan puan dan penerima hadiah yang dira’ikan
Dalam konteks pendidikan, fungsi utama sekolah ialah bagi memupuk pembelajaran. Dengan perubahan persekitaran pendidikan yang penuh dengan ketidaktentuan, sukar diramalkan dan sentiasa terdedah kepada penambahbaikan, proses pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada akses pengetahuan semata-mata, bahkan lebih menjurus kepada proses persediaan menghadapi cabaran yang berbeza pada masa hadapan. Sejajar dengan Misi Nasional dan perakuan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025, salah satu teras utamanya ialah menjana modal insan minda kelas pertama. Maka, SMK ... tidak boleh terkecuali daripada menyediakan peluang pembelajaran yang berkualiti dan bertaraf dunia supaya pada akhirnya pelajar yang menerima pendidikan di sekolah ini dapat menyumbang terhadap jati diri dan daya saing negara. Sebagai pengetua, saya akan sentiasa memastikan bahawa hala tuju sekolah ini jelas dan bahawa segala bentuk perancangan dan pelaksanaan program pendidikan yang ada sentiasa akur dengan keperluan yang disebutkan.

Hadirin dan hadirat
Kemunculan sekolah sebagai pesaing dan juga rakan kecemerlangan pendidikan menuntut kita melipatgandakan usaha untuk terus relevan dan dihormati. Cerita-cerita kejayaan dari generasi demi generasi menjadikan sekolah ini terus menjadi pilihan ibu bapa. Buktinya, enrolmen murid yang terkini ialah sebanyak ________ orang pelajar. Begitu juga dengan norma perjawatan guru yang mencukupi. Terdapat seramai ______ orang guru yang terlatih dalam pelbagai bidang opsyen. Guru-guru juga diberi pendedahan yang berterusan untuk melaksanakan perubahan dan pendekatan baru dalam sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran untuk menggembleng bakat dan potensi pelajar secara optimum. Saya memberi jaminan bahawa guru sekolah ini sentiasa komited terhadap usaha membantu dan membimbing pelajar ke arah kesejahteraan hidup masa kini dan masa akan datang. Semua pelajar di sekolah ini berhak mendapat peluang pembelajaran yang terbaik dan kami akan mencari jalan supaya perkara ini tercapai sepenuhnya.

Def kehormat,  ibu bapa, guru dan pelajar sekalian
Dari segi kemudahan dan prasarana fizikal, sekolah ini telah mencapai penarafan lima bintang. Sebagai contoh, kemudahan kantin yang berimej medan selera moden, bilik darjah yang selesa untuk proses pembelajaran dan sistem sanitari yang menepati piawaian kesihatan. Pihak sekolah juga ingin merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak PIBG dan Persatuan Bekas Pelajar yang banyak membantu sekolah bagi meningkatkan kecemerlangan pembelajaran dan segala kegiatan sekolah yang lain. Begitu juga saya menghargai sokongan material dan moral para ibu bapa, masyarakat dan media. Pada hakikatnya apa-apa jua projek naik taraf kemudahan fizikal sekolah akan dipulangkan kepada para pelajar supaya dapat menikmati peluang pembelajaran yang terbaik. Justeru saya merayu tuan puan tidak akan berasa jemu untuk menghulurkan sokongan seumpama itu tanpa berbelah bahagi secara berterusan dan konsisten.

Tuan-tuan dan puan-puan
Pada tahun ini, SMK St Michael memilih slogan Kecemerlangan Yang Sentiasa Diperbaharui, iaitu warga sekolah prihatin terhadap pencapaian tertinggi dalam konteks kepesatan perubahan persekitaran pendidikan. Insan bijak pandai, insan yang gigih dan insan yang berdaya usaha sebagai hasil sistem pendidikan kita hanya akan bermakna apabila dapat menyumbang terhadap kecemerlangan yang berterusan. Dengan cara menguar-uarkan slogan ini, pihak sekolah mengharapkan bahawa dalam jangka masa panjang, generasi pelajar yang menjalani pengajian di sini akan sentiasa berada di barisan hadapan untuk membaharui pencapaian kecemerlangan tanpa terikat kepada status quo secara taksub. Untuk tempoh yang terdekat ini, pihak sekolah giat merangkakan program yang menggambarkan keazaman memindahkan slogan itu dalam bentuk pelaksanaan program, tingkah laku dan kebiasaan. Saya sentiasa optimis bahawa warga sekolah dapat berganding bahu dalam memastikan apa-apa jua kemajuan yang dikecapi hendaklah berteraskan konsep kecemerlangan yang holistik dan seimbang. Kesedaran tentang pencapaian kecemerlangan hendaknya bersemi dalam sanubari warga sekolah buat selama-lamanya. Doakan semoga impian besar ini menjadi kenyataan.


Saudari pengacara, tetamu, guru dan murid yang diraikan

Seperti yang saya sebut pada awal ucapan saya bahawa pengiktirafan yang diberi kepada pelajar berpencapaian cemerlang tidak dibataskan kepada bidang kurikulum semata-mata. Domain kognitif atau minds-on memang masih unggul. Namun kebolehan psikomotor atau hands-on, ciri afektif seperti kepimpinan dan sahsiah mesti berjalan seiringan. Kini, definisi kepandaian atau kepintaran telah diberi dimensi yang baru. Akses kepada maklumat dan kemahiran tidak lagi bergantung kepada individu yang dianggap genius, tetapi lebih kepada kekuatan pasukan dan data dalam talian. Aspek kecerdasan emosi (EQ), serta kecerdasan spiritual dan sosial (SQ) akan menjadi lebih dominan. Mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa ketaksuban atau fokus yang berlebihan terhadap pencapaian peperiksaan akan segera berakhir. Kini sistem pentaksiran berasaskan sekolah telah diperluaskan. Pada masa depan, sebagai contoh, pusat tuisyen tidak lagi dapat menyaingi peranan sekolah dalam menyediakan pakej pendidikan yang lengkap. Di SMK ..., kami telah bersedia ke arah itu.

Kepada penerima hadiah, sekalung tahniah untuk anda. Teruskan kecemerlangan anda. Nilai kebendaan hadiah dan sijil bukanlah menjadi ukuran. Yang penting, kalian telah diberi pengiktirafan yang begitu bermakna dalam hidup kalian. Di samping mencongak kejayaan, usah lupakan rakan-rakan yang tidak menerima hadiah seperti kalian. Bantu mereka, beri dorongan dan inspirasi. Kelak kalian akan dikenang sebagai insan yang budiman dan berperibadi mulia. Bagi pihak sekolah, saya mendoakan agar kalian akan terus melakar kejayaan yang bakal membanggakan diri sendiri, keluarga, sekolah, masyarakat, bangsa dan negara.

Kepada ahli jawatankuasa majlis hari ucapan dan penyampaian hadiah SMK ... kali ini, terima kasih daun keladi. Kepada tetamu dan hadirin, sokongan tuan puan akan dikenang sampai bila-bila.
       
          Ikan sembilang, sepat dan kelah
          Guna bubu biasa di hujung
          Pencapaian cemerlang dapat hadiah
          Petanda ilmu sentiasa dijunjung

Sekian sahaja ucapan saya. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabaraktuh.

14 comments:

  1. zulaikha mat ruzkiMarch 28, 2016 at 8:28 PM

    terima kasih di atas perkongsian ini. mohon dihalalkan untuk saya manfaatkan sebagai panduan menulis teks ucapan seumpamanya

    ReplyDelete
  2. terima kasih. mohon izinkan saya meminjam teks untuk dijadikan panduan

    ReplyDelete
  3. mohon share ye cikgu..semoga Allah melipatgandakan pahala cikgu

    ReplyDelete
  4. Mohon jadikan rujukan ye cikgu..semoga Allah murahkan rezeki cikgu..tq

    ReplyDelete
  5. Mohon saya gunakan sebagai rujukan ye tuan. terima kasih atas perkongsian ilmu.

    ReplyDelete
  6. terimakasih atas perkongsian...sgt membantu..izinkan utk menyalin .

    ReplyDelete
  7. terima kasih atas kesudian cikgu kongsikan ilmu.. moga dipermudah dan diperluas rezeki cikgu..

    ReplyDelete