Bilangan penggiat hiburan tempatan yang kembali kepada fitrah Islam meningkat hari demi hari. Pelakon dan penyanyi wanita misalnya mula mengenakan tudung kepala (hijab, jilbab), manakala penyanyi lelaki mula beralih kepada genre muzik yang lebih sopan. Hanya wartawan hiburan yang sudah larut dengan cerita sensasi dunia hiburan masih liat untuk berbuat demikian, sebaliknya lebih cenderung untuk menyindir kalangan artis yang berhijrah sebagai lebih sudu daripada kuah.
Golongan artis dan atlet sangat berpengaruh dalam kehidupan masyarakat, khususnya terhadap pembentukan tingkah laku generasi muda. Lagu yang mereka dendangkan menjadi siulan dan teman luahan rasa, manakala kata bual lakonan dan aksi pelakon menjadi ajukan. Kejayaan artis dan atlet dari segi pencapaian akademik juga menyebabkan ada ibu bapa yang berharap bahawa anak mereka juga akan berpeluang mengecap dunia penuh glamor itu.
Cabaran kepada artis yang membuat keputusan untuk berhijrah tidak semudah yang disangka. Mereka harus membiasakan diri dengan gaya penampilan yang berbeza dengan masa lampau yang mungkin terpalit dengan kontroversi. Masyarakat juga seolah-olah memberi tekanan agar artis berhijrah tidak melakukan sebarang kesilapan yang ketara, sama ada dari segi pertuturan mahupun perbuatan.
Kelompok artis berhijrah telah membentuk kelompok peminat mereka sendiri walaupun sebahagiannya akan menyisihkan diri. Program hiburan dan stesen televisyen yang menampung bakat seni yang Islamik juga kian mendapat perhatian masyarakat. Pelbagai keluaran halal tempatan yang mendapat sambutan hangat pasaran juga memerlukan duta produk seperti mereka.
Artis berhijrah memberi impak yang tinggi dalam arena dakwah, suatu tugas mulia sebagai menyambung risalah perjuangan para nabi dan rasul. Penerimaan tanpa syarat artis berhijrah oleh masyarakat bakal mengukuhkan istiqamah mereka dalam menyokong penghayatan aqidah, syariat dan akhlak yang luhur. Kebolehan dan daya intelektual luar biasa golongan artis yang berhijrah perlu dimanfaatkan secara optimum, sambil menerima hakikat bahawa mereka juga ialah insan biasa yang tidak betah sunyi daripada kesilapan.
Kini tinggal golongan wartawan hiburan yang seperti masih terpinga-pinga dengan fenomena penghijrahan artis ke jalan yang diredhai Allah. Sudah pasti bahawa cara berdamping dengan artis yang berhijrah tidaklah bebas lepas jika dibandingkan dengan masa yang lalu. Wartawan hiburan juga perlu melakukan muhasabah diri justeru kalian juga sedang meniti usia dan pengaruh penulisan terhadap masyarakat eloklah dijuruskan ke arah kebaikan dan kebaktian semata-mata...
No comments:
Post a Comment