Pagi tadi penulis blog (PB) terbaca sebuah buku motivasi berlian tentang membuat keputusan. Terselit ungkapan bahawa untuk menjadi kaya perlu merancang, tetapi untuk menjadi miskin tidak perlu melakukan apa-apa. Kaya itu bersifat pemalu dan sangat sukar untuk dihampiri, manakala miskin itu ada di mana-mana dan tiada sifat belas kasihan.
Pencapaian dalam dunia pembelajaran juga demikian. Kecemerlangan pembelajaran sangat bergantung kepada proses perancangan yang sudah pasti menuntut disiplin dan kesungguhan optimum. Seluruh aplikasi kemahiran generik pembelajaran sama ada mendengar, bertutur, membaca dan menulis mesti digembleng sebagai suatu pakej yang saling melengkapi.
Pepatah Melayu mengatakan bahawa diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat. Ubi kalau direbus boleh menjadi empuk dan sangat enak untuk dinikmati panas-panas, apatah lagi jika dicicah dengan sambal ikan bilis atau gula melaka. Besi buruk pula boleh membawa mudarat jika terpijak atau mengalami tindak balas kimia.
Murid cemerlang dalam pembelajaran lebih banyak mendengar penjelasan pakar (guru / pensyarah) dan tahu masa yang tepat untuk bercakap, misalnya untuk aktiviti kerja kumpulan, pembentangan dan sesi soal jawab. Mereka tidak akan menyampuk atau sengaja bersuara untuk menarik perhatian majlis (bilik darjah). Pendek kata, mereka bersifat tahan telinga dan lasak mendekam dalam dunia niskala lewat modifikasi fenomena yang rencam menerusi sejumlah pemboleh ubah, konsep dan teori.
Konsep guru sebagai pemudah cara memberi penekanan terhadap kegiatan pembelajaran yang bersifat penerokaan, akses kendiri dan aktif. Walaupun demikian, murid bukan dikehendaki bising tanpa sebab, sebaliknya dibimbing untuk mencapai objektif pembelajaran yang ditentukan lebih awal. Kalau ada murid yang masih tidak boleh mengawal mulut, kemungkinan bakat mereka ialah dalam bidang seni suara, lawak jenaka atau pemasaran yang perlu ditempatkan di sekolah yang menampung kehendak berkenaan.
Tanda-tanda seseorang itu kurang ilmu atau jahil ialah banyak cakap bagi menonjolkan diri kononnya serba tahu. Nada suara mereka juga agak lantang macam kapal karam atau tongkang pecah. Kegemaran mereka pula ialah bertegang urat leher andai kata cakap mereka dibantah atau ditolak.
Lebih banyak seseorang itu bercakap, lebih jelas pula tahap ilmu yang dimiliki, serta sifat rendah diri yang kian ketara. Tumpuan percakapan orang yang kurang ilmu ialah hal-hal fizikal dari hujung rambut sampai hujung kaki dan mengumpat orang lain, tanpa mengira sensitiviti. Cakap kosong mereka hanya membuang masa, dan tiada sebarang inti pati ilmu.
Murid cemerlang tidak seyogia meniru tingkah laku orang yang kurang ilmu. Murid cemerlang mesti peka terhadap adab, disiplin dan etika dalam proses pembelajaran. Pergaulan dengan rakan-rakan yang banyak cakap masih mesra, tetapi sentiasa dalam batasan dan kawalan yang tegas...
No comments:
Post a Comment