Wednesday, August 1, 2012

TIDAK CUKUP MASA DALAM PEPERIKSAAN (MANAGING STRESSFUL PART OF ACADEMIC LIFE)

Calon peperiksaan sering mendakwa tidak cukup masa untuk menjawab semua soalan bagi memperoleh markah dan gred yang dihajatkan. Bagi yang terlebih emosi, air mata tidak tertahan lagi daripada bergenang di kelopak mata. Pendek kata, ungkapan tidak cukup masa ialah alasan lazim atau helah bela diri bagi calon peperiksaan yang tidak mencapai tahap kecekapan yang sepatutnya.

Peperiksaan bertulis bukan bertujuan mengukur sebanyak mana pengetahuan yang dimiliki oleh seseorang calon, tetapi menjurus kepada kebolehan calon mentakrif tugasan soalan dengan tepat dan menyampaikan idea dan huraian jawapan berdasarkan peruntukan markah serta jangka masa yang tertentu. Terpulang kepada calon untuk merancang segala strategi paling cekap untuk mencapai markah maksimum. Perancangan bagi menduduki peperiksaan bukan kerja sehari dua, bahkan mungkin memakan masa beberapa minggu, bulan atau tahun.

Jika peperiksaan diumpamakan sebagai satu projek penting, komponen perancangan seharusnya mewakili 80 peratus daripada keseluruhan projek. Calon peperiksaan perlu menghadiri kelas atau kuliah, menyiapkan seberapa banyak latihan dan mengukur penarafan jawapan. Hasil pembelajaran selama dua tahun mungkin hanya diuji dalam tempoh dua jam.

Sikap suka bertangguh ialah pencuri masa yang mesti dielakkan oleh semua calon peperiksaan semasa melalui proses pembelajaran. Misalnya, tumpuan terhadap aktiviti bilik darjah merupakan sisi kritikal yang tiada tolak ansur. Guru dan pensyarah biasanya akan memberi petua dan kemahiran generik pembelajaran semasa aktiviti bilik darjah yang hanya dapat ditangkap oleh murid yang prihatin.

Hakikatnya aktiviti bilik darjah telah direka bentuk begitu rupa sehingga proses pembelajaran menjadi lebih cekap. Murid diberi pendedahan tentang jalan pintas bagi mengetahui, memahami, mengaplikasi, menganalisis, mensintesis dan menilai sesuatu isi pembelajaran supaya tidak perlu lagi mentelaah sendiri sesebuah buku teks secara bersendirian. Peluang untuk mencapai hasil pembelajaran secara cuba jaya dan bersendirian hanyalah sekitar 10 hingga 20 peratus.

Murid yang memeberi tumpuan dalam aktiviti bilik darjah akan menjimatkan masa ulang kaji, serta boleh merancang latih tubi kendiri dan membuat semakan piawai terhadap kertas spesimen peperiksaan dan kertas peperiksaan awam beberapa tahun belakangan. Sepertimana atlet sukan, calon peperiksaan wajib menjalani latihan yang berterusan bagi mengekalkan stamina minda dan menuju tahap kesilapan sifar. Proses membiasakan diri dengan pelbagai ragam tugasan soalan memberikan keyakinan kepada calon sewaktu melangkah ke ruang peperiksaan sebenar.

Calon cemerlang menggunakan segala kreativiti bagi memastikan bahawa segala isi pelajaran berada di hujung jari mereka. Misalnya, mereka menerapkan kaedah analogi, anekdot, penyeluruhan dan sebagainya supaya semua kemungkinan tugasan soalan dengan cepat dapat dipadankan dengan rangka jawapan yang telah disediakan sekian lama. Kawalan dari segi organisasi jawapan dan pematuhan masa tidak menjadi masalah besar justeru mereka sudah kerap melaksanakan ujian masa dan kecekapan.

Sebaik menerima naskhah kertas soalan, perkara pertama yang dibuat oleh calon cemerlang ialah jadual masa menjawab, serta peruntukan masa untuk semakan dan penambahbaikan. Mereka akan mencatat secara khusus tempoh masa yang ditetapkan, serta akan sentiasa mematuhinya supaya dapat menjawab jumlah soalan yang mencukupi dengan isi dan huraian jawapan yang diperlukan. Calon cemerlang tidak pernah merungut dengan ungkapan klise "tidak cukup masa"... 

No comments:

Post a Comment