Saturday, September 8, 2012

BACA BUKU ATAU GOSIP, BILA HENDAK JADI NEGARA MAJU? (THE HIGH CLASS HABIT)

Di negara kejuruteraan automatif termaju, iaitu Jerman, terdapat pasar raya khusus untuk jualan buku yang bertingkat-tingkat tingginya. Di dalam pasar raya buku itu, terdapat kafe, tempat permainan kanak-kanak, kemudahan untuk orang kelainan upaya dan warga emas. Pasar raya buku di sana menjadi tumpuan pengguna sebagaimana pasar raya menjual pelbagai jenis keluaran keperluan lain di negara kita, terutama jika ada tawaran potongan harga atau promosi tertentu.

Demikian cerita, Dr. Zahazan Mohamed, pakar motivasi dan usahawan, ketika menyampaikan kuliah Subuh di masjid Solatiah, Rapat Setia Baru, Ipoh, pagi tadi. Beliau turut menceritakan pengalaman menaiki kereta api laju selama dua jam tanpa buku di tangan atas sebab yang tidak disengajakan. Seorang warga Jerman terus menghadiahi Dr. Zahazan dengan senaskhah buku yang masih baharu, berharga Euro 30, atau lebih kurang RM120+ dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.

Masyarakat negara maju memang sinonim dengan budaya membaca dalam kalangan majoriti masyarat, melainkan kelompok pinggiran dan bermasalah yang lain. Membaca umpama ulam makanan minda yang wajib ada setiap kali masa terluang. Mereka memandang rendah orang-orang yang gemar mengumpat, bergosip atau sekadar membazir masa dengan khayalan, termenung atau melayan perasaan sepi semata-mata.

Barangkali banyak orang akan mendakwa dirinya sangat banyak membaca, tetapi bahan bacaannya ialah surat khabar, majalah picisan dan novel bermutu rendah. Mereka hanya menyentuh buku untuk tujuan peperiksaan atau untuk menyiapkan tugasan tertentu. Pendek kata, perbuatan membaca buku hanya kerana terpaksa.

Tidak dinafikan bahawa surat khabar memberikan maklumat terkini, di samping artikel yang bersifat ilmiah turut diselitkan. Namun, laporan wartawan tidak memiliki nilai ilmu pengetahuan yang autentik, tetapi lebih banyak dipengaruhi oleh persepsi jangka pendek, serta cenderung terhadap kepentingan tertentu. Wartawan terikat kepada organisasi media yang dikuasai oleh pihak pemegang saham yang mengawal persembahan maklumat, atau menggunakan teknik putar (spin) supaya propaganda atau perang psikologi yang dilancarkan  mampu membentuk sokongan pembaca secara melulu.

Majalah hiburan yang bertaraf gosip lebih buruk lagi. Promosi tentang pergaulan bebas lepas, gaya hidup yang tidak sihat, serta pendapat-pendapat selebriti yang negatif mengakibatkan pembaca tenggelam dalam dunia khayalan, pura-pura dan songsang. Walaupun semakin ramai selebriti berpendidikan tinggi, namun kalau tidak menutup aurat, tidak kenal halal haram dan bercakap sesedap mulut, maka lebih baik abaikan sahaja.

Novel bermutu rendah juga menyumbang terhadap kepincangan masyarakat dan minda murahan. Novel sedemikian berlambak di pasaran, dengan sasaran kepada khalayak pembaca yang malas berfikir, selain tidak kisah tentang kesan karya mereka kepada akhlak pembaca. Tiada sebarang manfaat yang boleh dikutip, melainkan kelalaian dan rasa berat untuk ibadah.

Hakikatnya, tiada sebarang masalah untuk melayan pembacaan genre kreatif bagi menajamkan kepekaan terhadap kanvas kehidupan yang diungkapkan menerusi ragam ayat yang begitu menakjubkan. Namun, harus ada keseimbangan supaya bahan bacaan yang lebih serius turut ditekuni sebagai dorongan kepada aplikasi ilmu dalam bidang-bidang inovasi, reka cipta dan teknologi. Tidak mungkin bahawa selama-lamanya masyarakat kita akan hanya menikmati kedudukan sebagai pengguna inovasi, reka cipta dan teknologi orang lain.

Ibu bapa di rumah mesti menunjukkan contoh tabiat membaca yang betul kepada anak-anak. Seharusnya ada peruntukan waktu untuk sama-sama berbincang tentang pembacaan buku yang lebih serius, walaupun mungkin sedikit sahaja. Aktiviti santai keluarga memiliki serampang dua mata, iaitu mengeratkan hubungan dan mencambahkan budaya ilmu.

Cabaran kepada remaja yang berstatus murid sekolah untuk berdamping dengan buku yang serius memang hebat. Buku teks sahaja sudah membuatkan mereka mengeluh, sambil mempamerkan keengganan un tuk membacanya. Fikiran mereka mengelamun jauh tentang komunikasi maya menerusi gajet mudah alih tanpa wayar yang canggih...

No comments:

Post a Comment