Tuesday, October 16, 2012

BIBIT SELISIH FAHAM DALAM ORGANISASI (REMINDER FOR THOSE EXTROVERT)

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Diam-diam besi berkarat, diam-diam ubi berisi. Kedua-dua peribahasa berkenaan menjelaskan pengamatan terhadap golongan yang pendiam, tidak banyak cakap, tetapi lebih suka mendengar dan menyendiri.

Lawan kepada si pendiam ialah orang-orang becok yang banyak cakap. Entah dari mana datangnya stamina golongan kepoh dan bermulut murai itu? Golongan ini tidak betah hidup sepi, sebaliknya suka 'memaksa' orang lain mendengar celoteh mereka.

Dalam disiplin psikologi terdapat konsep introvet bagi mewakili si pendiam dan ekstrovet mewakili si mulut murai. Pemisahan secara ekstrem antara dua bentuk tingkah laku berkenaan hanyalah bersifat akademik, sedangkan insan memiliki kedua-dua jenis pembawaan berkenaan, bergantung kepada tindak balas mereka terhadap persekitaran.

Konsep introvet dan ekstrovet diperkenalkan oleh Carl Jung, seorang pakar jiwa (psikiatri) yang berasal dari Switzerland pada awal abad ke-20. Sejak itu, banyak penyelidikan tentang teori keperibadian atau personaliti telah dilakukan bagi mengenal pasti ciri-ciri bagi introvet dan ekstrovet, serta kesannya atas tingkah laku. Masyarakat didapati sering memberi perhatian yang berlebihan terhadap golongan ekstrovet, berbanding dengan potensi tersembunyi golongan introvet.

Golongan ekstrovet lebih mirip kepada ciri agresif, iaitu lebih cenderung menjaga hak diri sendiri sahaja, tetapi kurang peka terhadap hak orang lain. Bagi mereka, membujur lalu, melintang patah. Orang ekstrovet menganggap sikap terus terang sebagai suatu proses terapi, iaitu luahan perasaan yang dapat melepaskan segala perkara yang terbuku di dalam hati.

Golongan ekstrovet juga menganggap gurau senda sebagai perkara biasa yang tidak perlu diambil serius. Mereka menyangka bahawa semua orang sebagai sama dengan mereka, iaitu tidak kisah tentang usik-mengusik dan lawak slapstik. Sebab itu, orang ekstrovet suka bercakap lepas, asalkan dirinya berasa puas hati tanpa mengira percakapan mereka mungkin menyinggung perasaan orang lain.

Sasaran golongan ekstrovet lebih kepada lawan mereka, iaitu golongan introvet yang dianggap lebih mudah menjadi mangsa. Orang ekstrovet sengaja melakukan provokasi lisan supaya lawan introvet yang suka memendam rasa akhirnya akan bersuara. Maka, kalau hal itu yang terjadi, orang ekstrovet menganggap bahawa diri mereka sudah berjaya.

Orang introvet tidak selama-lamanya hanya berdiam diri, membatu dan membiarkan lawan ekstrovet mereka melakukan 'penindasan' tanpa sebarang sekatan. Malah, tindak balas orang introvet mungkin lebih bahaya hingga membawa perbalahan secara terbuka dan hubungan menjadi renggang. Orang introvet boleh sahaja mendapatkan akses tindak pentadbiran dan perundangan.

Dalam sesebuah organisasi, sama ada besar mahupun kecil, golongan ekstrovet pada zahirnya lebih berpengaruh dan dominan. Mereka mungkin menguasai keputusan mesyuarat dan memimpin pendapat populis. Orang ekstrovet juga lebih menonjol dalam acara dan majlis rasmi.

Golongan introvet lebih mementingkan intuisi, nurani dan domain kognitif dalam diri mereka. Orang introvet beranggapan bahawa panjang akal sebagai lebih utama daripada panjang lidah. Mereka tidak suka pembawaan ekstrovet yang disifatkan sebagai mulut lebih laju daripada otak.

Imam al-Ghazali, seorang ahli falsafah dan cendekiawan terbilang pernah menulis naskhah bertaraf magnum opus tentang judul 20 bahaya lisan. Orang yang beriman hendaklah menjaga lidah masing-masing supaya tidak tergelincir kepada perkara dosa dan maksiat. Sebaliknya, kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, iaitu akarnya teguh dan dahannya menjulang ke langit (merimbun), lalu menjadi naungan kepada orang datang kepadanya (Ibrahim, 14:24).

Hakikatnya, kedua-dua golongan introvet dan ekstrovet boleh menyumbang secara sihat terhadap organisasi. Pemimpin organisasi perlu menggembleng kekuatan yang dimiliki demi kebaikan, sambil dalam masa yang sama memadam kemungkinan berlaku selisih faham yang meruncing antara dua golongan berkenaan. Pemimpin organisasi ialah pendamai, bukan mengambil kesempatan untuk mengamalkan doktrin pecah dan perintah supaya kawalan organisasi berada di dalam genggaman mereka...

No comments:

Post a Comment