Matlamat utama institusi perkahwinan ialah untuk mencapai kebahagiaan dan kasih sayang, iaitu mawaddata'w-warahmah. Mahligai rumah yang dibina atas sejumlah perbezaan itu sudah semestinya menuntut tahap kesabaran dan tolak ansur yang paling tinggi. Suami dan isteri bukan sahaja berbeza dari segi jasmani dan emosi, bahkan memiliki latar belakang yang tersendiri.
Pasangan yang cocok, sepadan dan serasi bagai pinang dibelah dua. Setelah mengenal hati budi masing-masing, warna sebenar masing-masing akan terserlah satu demi satu. Ujian hakikat kehidupan pun bermula.
Sejak dahulu kala, cara mendapat jodoh tidaklah sama semuanya. Dalam masyarakat yang menyanjung tinggi peranan orang tua, jodoh selalunya diaturkan atas restu ibu dan bapa. Namun, terdapat juga kes kahwin paksa, contohnya apabila orang kaya dan berkuasa, walaupun sudah tua bangka, berkenan kepada perawan desa nan cantik rupawan.
Pada zaman ini, sistem persekolahan, pengajian dan pekerjaan mengakibatkan anak muda lebih bersua muka dengan berlainan jantina, lalu kesempatan untuk 'mengurat' terbuka lebih luas, berbanding dengan cinta lara zaman dahulu. Perkenalan juga boleh terjalin menerusi komunikasi maya seperti laman sembang dan facebook. Di kampus, anggota kumpulan usrah juga boleh dipadankan oleh naqib dan naqibah masing-masing, lalu disusuli dengan pertemuan di balik tirai surau.
Selain cinta tempatan yang mudah mekar, terdapat juga cinta antara benua yang membabitkan pasangan berlainan agama dan bangsa. Misalnya, tentera Amerika mengambil warga Vietnam dan Afghanistan sebagai isteri. Bagi mengahwini pasangan yang beragama Islam, maka seseorang itu wajib memeluk agama Islam terlebih dahulu.
Keinginan untuk mendapat pasangan hidup juga mungkin mendorong golongan lanjut usia berkenalan secara atas talian. Akhir si A di Amerika Syarikat yang mencecah usia 50-an bertemu jodoh dengan si B yang baharu masuk 40-an. Golongan pelajar universiti mungkin mengikat janji dalam usia yang lebih muda, contohnya pertengahan 20-an.
gambar hiasan
Di Malaysia, fenomena kahwin campur bukanlah perkara asing kerana terdapat banyak wajah kacukan kelihatan di sekolah, di kaca televisyen dan di kampus. Ada yang dipanggil sebagai pan-Asian (berwajah Eropah), Cindian (Cina-India) dan banyak lagi. Datuk Nicol, ratu skuasy dunia ialah campuran India dengan Cina, manakala Dato' Seri Nizar, bekas Menteri Besar Perak ialah campuran Melayu dengan Cina.
Pasangan suami isteri yang masih baharu bergelar mempelai hendaklah cepat-cepat melakukan proses penyesuaian diri, termasuk dengan keluarga masing-masing. Cita rasa terhadap makanan, pakaian dan hobi yang selama ini tersendiri harus dikongsi. Proses beri dan terima perlu mengambil tempat seadanya.
Komunikasi yang mesra dan terbuka perlu mengambil kira perasaan dan sensiviti pasangan. Keperluan untuk berterus terang atau cakap berlapik mesti difikirkan dengan cermat supaya tiada hati yang tergores dan tiada perasaan yang terjeruk. Hubungan jangka panjang wajib diletakkan sebagai keutamaan yang teratas.
Insan diciptakan lelaki dan perempuan, bersuku-suku dan berbilang bangsa supaya berlaku perkenalan antara mereka atas dasar kebaikan dan taqwa (al-Hujarat, 13). Institusi perkahwinan ialah salah satu cara berlakunya perkenalan lewat silang budaya sebagai tanda keagungan Allah Yang Maha Esa. Masyarakat hendaklah memberi sokongan terhadap kerukunan hidup institusi kahwin campur yang berlaku...
No comments:
Post a Comment