Friday, October 5, 2012

SAHOM DAN SUNGAI SIPUT SELATAN (THE REMOTE 'GLOBAL VILLAGE')

Kalau Sungai Siput Utara, biasa kita dengar dan mungkin juga pernah singgah untuk mesyuarat, atau sekadar menziarahi rakan taulan. Sungai Siput Utara juga ialah sebuah kawasan parlimen yang terkenal dan dianggap kawasan panas. Maka, bagaimanakah pula agaknya Sungai Siput Selatan?
Rasa ingin tahu membawa penulis blog (PB) menuju ke sana tengah hari tadi (Sabtu, 6/10/12). Dari arah Kampar, kenderaan perlu membelok ke kanan sebelum simpang ke kawasan rekreasi Gua Tempurung. Kalau dari arah Ipoh, lebih mudah justeru tidak perlu melintas jalan yang agak sibuk.

Tidak sangka jalan sempit menuju ke Sungai Siput Selatan begitu panjang dan dihiasi dengan pemandangan gunung batu kapur,serta kuari. Penempatan di sepanjang jalan pula berselang-seli antara kampung Melayu dengan kampung baharu (Cina). Kalau terus sampai penghujung jalan, maka alamat sampai ke Tapah. 

Berbanding dengan Sungai Siput Utara yang berupa sebuah pekan yang agak besar, siap dengan pasar raya Bilion dan TF, Sungai Siput Selatan tidak lebih daripada sebuah kampung baharu. Di situ ada SJKC Min Sin dan ada sebuah balai polis yang sederhana. Terdapat sederet kedai yang biasa-biasa sahaja.
Setelah berpuas hati tentang gambaran sebenar Sungai Siput Selatan, PB meneruskan perjalanan ke Kampung Sahom yang terkenal dengan buah durian yang sangat istimewa. Petanda sesebuah kampung Melayu (Islam) ialah masjid. Sama seperti dalam catatan sirah bahawa perkara terawal yang dilakukan oleh Nabi ialah membina masjid, contohnya di Quba'.

Dahulu, Sahom mungkin sebuah kampung yang terpencil, tetapi kini di kanan dan kiri tersergam rumah banglo yang dihiasi bunga-bungaan yang cantik. Kenderaan jenama mewah juga bukan suatu pemandangan yang asing. Malah, terdapat litar motorcross di Sahom.

Kecuali operasi sebuah kilang kuari yang berhampiran, Sahom masih sebuah kampung yang cantik. Alur sungai kecil yang berpunca daripada air gunung juga kelihatan begitu indah sambil dipenuhi batu kerikil gunung seperti diletak-letak. Masih ramai anak muda dan remaja di Sahom, mungkin kerana kedudukannya yang tidak begitu jauh dari Ipoh, kampar dan Tapah yang tersambung menerusi jalan raya berturap yang boleh dikatakan bermutu tinggi.

Tidak lama lagi, apabila lot tanah perumahan di bandar raya Ipoh, bandar Kapar dan Tapah semakin terhad, kemungkinan Sahom diintai oleh peminat lot banglo bukan mustahil. Namun, penduduk Sahom tidak harus gelap mata dengan tawaran harga yang tinggi. Sekali tanah terlepas ke tangan pihak lain, sama seperti tanah air terlucut milik buat selama-lamanya...

No comments:

Post a Comment