Thursday, October 25, 2012

SELAMAT HARI RAYA KORBAN (TOTAL SUBMISSION)

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim alaihi's-salam, isteri baginda, Hajar dan putera mereka, Nabi Ismail alahi's-salam sangat signifikan dalam pensyariatan ibadah haji dan korban. Atas perintah Allah, Nabi Ibrahim harus rela meninggalkan kedua-dua insan kesayangan baginda di kawasan kontang di Makkah. Seperti kata, Ustaz Mohd Farid Ravi, permintaan Siti Sarah, isteri tua Nabi Ibrahim supaya Siti Hajar tidak tinggal serumah dengan mereka seumpama pepatah Inggeris, there's no such  two queens in one kingdom.

Pada tahun ini, hari raya korban jatuh pada hari Jumaat. Ertinya, umat Islam akan berhimpun di masjid dan mendengar khutbah dua kali walaupun ada pendapat mengatakan tidak mengapa jika mahu memilih untuk solat Zuhur sahaja dibenarkan. Maka, sebahagian proses sembelihan korban diadakan pada hari Sabtu dan Ahad. 
seorang jawatankuasa masjid memberi taklimat ulang kaji solat sunat raya korban

Di Masjid al-A'la, dekat Degong, Chenderong Balai, penduduk kampung berkumpul di masjid seawal pukul 8.00 pagi dengan alunan takbir raya masyarakat Nusantara yang melankolik dan syahdu. Sebagai adab memasuki masjid, jemaah menunaikan solat tahyatul-masjid terlebih dahulu. Solat hanya dimulakan pada pukul 9.00 pagi.
Berbeza dengan solat Jumaat, khutbah raya dibacakan usai sempurna solat sunat Eidul-Adha dua rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama dan 5 takbir pada rakaat kedua. Namun, kali ini, doa selepas solat agak panjang sebelum khutbah, berbanding dengan doa disekalikan dalam bacaan khutbah sebagimana lazim.
Bacaan takbir raya korban berlanjutan hingga hari keempat, berbanding dengan hanya setakat solat sunat raya untuk hari raya puasa. Sambutan hari raya korban juga tidak begitu meriah di sebelah pantai barat Semenanjung, tetapi keadaan sebaliknya berlaku di pantai timur, khususnya di Kelantan. Namun, kelepasan am perayaan yang berganding dengan hujung minggu telah mendorong fenomena balik kampung hingga dianggarkan bahawa sejumlah dua juta buah kenderaan menjalar di lebuh raya utama.

Hendaknya sambutan hari raya korban pada tahun ini mengukuhkan daya juang umat dalam menghadapi pancaroba dan provokasi jahat musuh. Ketabahan yang dipelajari daripada peristiwa tiga insan hebat keluarga Nabi Ibrahim alaihi's-salam ialah penanda aras maksud pengorbanan yang hakiki. Perintah Allah wajib dipatuhi sepenuhnya, manakala larangan-Nya dijauhi sepenuhnya...

No comments:

Post a Comment