Friday, November 23, 2012

KUNJUNGAN SINGKAT KE PUTRAJAYA (THE CONCEPT OF AN ADMINISTRATION CITY)

Jika Amerika Syarikat berbangga dengan Washington DC dan Australia dengan Canberra, maka Malaysia pula memiliki Putrajaya. Canberra dan Washington DC terus diangkat sebagai ibu negara, tetapi Putrajaya lebih bersifat pemusatan pentadbiran persekutuan, manakala Kuala Lumpur masih kekal dengan status berkenaan. Bandar pentadbiran negara diasingkan daripada ibu negara yang sibuk dengan pelbagai urusan perniagaan skala besar dan kesesakan jalan raya.

Tapak Putrajaya asalnya ialah ladang getah Phrang Besar (perang besar?), iaitu tanah status pertanian. Kini, nilai setiap inci tanah dan hartanah di Putrajaya telah melonjak berlipat kali ganda. Sebagai perbandingan, seunit rumah teres dua tingkat bersaiz 24 X 75 yang berharga RM240k pada tahun 2004 kini mencecah nilai RM750k, dan dijangka naik hingga ke RM1 juta dalam beberapa tahun sahaja lagi.

Putrajaya yang memiliki status sebagai sebahagian Wilayah Persekutuan sebagaimana Kuala Lumpur dan Labuan, dilepaskan oleh negeri Selangor dengan sejumlah pampasan tertentu. Namun, Cyberjaya, bandar pintar teknologi bersebelahan Putrajaya masih di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Cuma, dari segi pentadbiran am, sebahagian urusan di Putrajaya masih perlu merujuk pejabat-pejabat di Sepang yang turut menjadi tuan rumah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sebagai sebuah bandar pentadbiran persekutuan dan bandar pintar, Putrajaya ialah sebuah bandar terancang yang canggih dan sentiasa disenggara dengan cermat oleh pihak pemaju, iaitu Perbadanan Putrajaya, sebuah badan berkanun di bawah Jabatan Perdana Menteri. Model Putrajaya juga dicontohi oleh beberapa negeri lain seperti Nusajaya di Johor Bahru dan Seri Aman di Sarawak. Tiada gerai penjaja jalanan dapat dilihat dan setakat ini semua unit kediaman tiada binaan tembok atau pagar.

Kebanyakan kompleks kementerian, kecuali Kementerian Pelancongan, Penerangan, Kementerian Kebudayaan dan Kesenian, serta Kementerian Kerja Raya berpusat di Putrajaya. Kediaman rasmi Perdana Menteri dan jemaah menteri juga ditempatkan di sana. Segala keputusan penting kini dilakukan di Putrajaya.  

Menjelang pilihan raya umum ke-13 yang bakal dilaksanakan paling lewat pada bulan Mac 2013, slogan seperti 'Mempertahankan Putrajaya' dan 'Menuju Putrajaya' sering dilaungkan. Maksudnya, Putrajaya ialah lambang pusat pemerintahan kerajaan persekutuan. Semua pihak telah akur akan status Putrajaya sebagai bandar pentadbiran negara walaupun suatu ketika dahulu ada 'ancaman' bahawa Putrajaya bakal dilelong!
Semalam, buat kesekian kalinya penulis blog (PB) mampir ke Putrajaya atas satu urusan di sebuah kementerian. Nampaknya, pegawai dan kakitangan di kementerian berkenaan akur kepada piagam pelanggan dan sasaran Nilai Keberhasilan Utama Negara (NKRA, national key result area) apabila perkhidmatan dan layanan yang ditunjukkan begitu baik. Tiada suara kasar dan tinggi yang terdengar, melainkan layanan mesra pelanggan dengan wajah yang berseri-seri.

Tepat pukul 12.30 tengah hari, lampu mula dipadamkan secara berperingkat menandakan segala urusan pejabat perlu dihentikan kerana waktu solat Jumaat sudah dekat. Namun, petugas kaunter masih melayan orang awam yang datang sehingga mereka berpuas hati. Panduan tentang urusan atas talian selanjutnya juga diterangkan dengan terperinci.

Barangkali masalah yang masih menjadi rungutan orang awam ialah tempat meletak kenderaan yang begitu terhad. Jika kenderaan diletak terlalu jauh, orang awam perlu berjalan kaki hingga berpeluh dan mereka berasa tidak selesa untuk berurusan walaupun dalam kompleks berhawa dingin. Peringatan tentang 'kunci tayar' membuatkan pemandu kenderaan berasa resah.

Bagi mengelakkan kesesakan di kompleks kementerian dan bagi menjamin keselamatan, terdapat saranan yang lebih kreatif untuk pertimbangan Perbadanan Putrajaya. Mungkin satu lapangan atau medan khas meletak kereta disediakan dengan kadar bayaran yang munasabah disediakan di satu lokasi, kemudian orang awam diangkut dengan perkhidmatan shuttle untuk ke kompleks kementerian yang dituju. Maka, risiko untuk berpeluh ketika panas terik, atau risiko untuk basah kuyup apabila hujan dapat dielakkan...

No comments:

Post a Comment