Tidak susah untuk memahami kisah dakwah Nabi Nuh alaihi's-salam lewat surah Hud, 11:25-49. Apabila Nabi Nuh menyampaikan seruan tawhid, pemimpin-pemimpin kafir daripada kaumnya mula mendustakan kata-kata baginda, sambil menghina pengikut Nabi Nuh. Mereka kemudian sampai ke peringkat mencabar supaya azab sepertimana yang diancamkan didatangkan dengan segera.
Allah memerintahkan Nabi Nuh tidak bersedih hati tentang penolakan terhadap dakwah baginda dalam kalangan majoriti kaumnya sendiri. Seterusnya, Nabi Nuh diperintah supaya membina bahtera sebagai persediaan menghadapi azab banjir besar yang bakal menenggelamkan orang-orang kafir. Ejekan yang diterima daripada kaum kafir dibalas dengan peringatan tentang azab yang menghinakan dan azab yang kekal.
Ketika bahtera belayar dalam gelombang laksana gunung, salah seorang anak baginda, Qan'an enggan menaiki bahtera, malah menjawab bahawa dia akan mencari perlindungan di kawasan gunung. Anak-anak baginda yang beriman ialah Sam, Ham dan Jafits. Akhirnya seluruh kaum musyrik tenggelam dalam bah besar itu, manakala setelah bah besar itu surut, bahtera berlabuh di atas Bukit Judi.
Perincian kisah dakwah Nabi Nuh alaihi's-salam boleh dirujuk menerusi kitab tafsir yang autentik dan muktabar seperti Tafsir Ibn Kathir, al-Qurtubi, Fi Zilal'il-Qur'an oleh As-Syahid Syed Qutb atau tafsir al-Azhar oleh Almarhum Hamka. Selain itu, kisah bahtera Nabi Nuh juga banyak disentuh dalam pengajian kitab-kitab kuning di seluruh Nusantara. Seorang kenalan penulis blog (PB) juga telah menulis tesis sarjana tentang dakwah Nabi Nuh.
Kaedah telaah ilmu yang terbaik ialah dengan berguru kepada ulama yang bertaqwa dan warak bagi mengelakkan diri daripada tipu daya akal per se sebagaimana yang berlaku sepanjang sejarah kecendekiawanan. Kisah Nabi Nuh alaihi's-salam itu ialah berita ghaib yang disampaikan kepada Baginda Junjungan Rasululullah Salallahu alaihi wasallam. Iktibar yang boleh dikutip ialah bahawa golongan yang ingkar lambat-laun bakal mengalami kesudahan yang sangat buruk, sama ada semasa di dunia, mahupun di alam akhirat kelak.
Penentangan terhadap dakwah membabitkan pemimpin tertinggi satu-satu golongan. Dengan kuasa dan pengaruh yang dimiliki, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menghalang perkembangan risalah tawhid yang dilihat sebagai ancaman terhadap status quo mereka (baca: kerosakan yang mereka lakukan di muka bumi). Cara mereka boleh dikatakan tipikal, iaitu berbuat olok-olok terhadap seruan kebenaran dan ancaman azab kepada golongan yang ingkar.
Para pendakwah perlu meningkatkan tahap kesabaran masing-masing dalam menghadapi cabaran dan tentangan agresif golongan yang ingkar. Pertembungan antara kebenaran dengan kepalsuan ialah suatu hakikat hingga ke akhir zaman. Pasang surut pencapaian dakwah bergantung kepada banyak faktor, termasuk akhlak pendakwah dan kaedah dakwah, dan sudah tentu hidayah Ilahi jua.
Halangan terhadap dakwah kadang-kadang datang daripada anggota keluarga para pendakwah dalam pelbagai bentuk. Kes Qan'an mungkin bersifat ekstrem dan terpencil, tetapi ujian kecil yang lain seperti sukar meninggalkan keselesaan di rumah yang mewah untuk melaksanakan kerja dakwah atau memperuntukkan terlalu banyak masa untuk kegiatan sampingan sering menjadi hambatan. Kesibukan melayan keinginan seisi keluarga terhadap nikmat kebendaan dan santai menjejaskan tumpuan para pendakwah untuk mereka bentuk kaedah dakwah yang berkesan dan terkini.
Seruan kebenaran ialah kalimah yang mulia dan terbaik. Para pendakwah tidak patut gentar dengan ucapan penentang kebenaran yang sudah terkunci pintu hati mereka. Tugas dakwah hendaklah diteruskan dengan menggembleng segala sumber kekuatan perseorangan dan organisasi (jemaah).
Pergantungan para pendakwah hanyalah kepada Allah Subhanahu Wataala sebagai tempat berlindung dan mengadu. Misi dakwah mendapat tentangan kerana membawa khabar gembira dan berita ancaman sekali gus. Walaupun golongan ingkar tidak suka, dakwah itu seperti air yang akhirnya akan sampai jua menerusi kesempatan dan ruang sekecil mana pun...
dakwaan penemuan bukti bah besar pada zaman nabi nuh
sila klik pada gambar untuk paparan penuh
sumber: akhbar kosmo, 17/12/12 (isnin)
sumber: akhbar kosmo, 17/12/12 (isnin)
No comments:
Post a Comment