Sebagaimana kemudahan internet, sistem perayauan kedudukan sejagat (GPS) yang bergantung kepada teknologi satelit ialah alat ketenteraan Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua sebelum diperluaskan untuk kegunaan awam. Walau bagaimanapun, spesifikasi GPS untuk tentera pasti lebih canggih, manakala untuk kegunaan awam bersifat terhad sedikit. Sejak memasuki pasaran sekitar tahun 2005, GPS telah mengalami kemajuan reka bentuk dan paparan grafik yang lebih mesra pengguna, serta audio.
Kini, kebanyakan kereta bertaraf premium menawarkan GPS yang disekalikan dengan kamera undur dan sisi untuk kenderaan baharu sebagai aksesori. Apabila hendak menuju sesuatu tempat, pemandu hanya perlu menaip maklumat dalam menu carian, dan serta-merta peta lokasi dipaparkan. Arahan bersuara akan kedengaran apabila kenderaan mula bergerak.
Di Malaysia, harga seunit GPS asli dengan spesifikasi asas (Papago, Garmin, Sensonic) berharga antara RM400 hingga RM700, bergantung kepada tawar-menawar antara pembeli dengan penjual. Harga unit GPS klon pula boleh diperoleh pada harga serendah RM199 sahaja. Unit GPS asli mempunyai tempoh jaminan satu tahun, manakala GPS klon hanya untuk tiga bulan.
Kebanyakan telefon pintar menyediakan aplikasi GPS sekali gus menerusi teknologi Android. Demikian juga dengan komputer tablet dan peranti mudah alih yang seumpamanya. Pendek kata, GPS akan mengalami peningkatan jumlah pengguna berlipat kali ganda.
Paparan simpang dan mercu tanda bangunan secara 3D membolehkan pemandu mendapat bantuan perayauan yang lebih cekap dan cepat. Jika terlajak sekali pun, GPS akan segera memberikan laluan yang lain. Pemandu tidak perlu sibuk membaca papan tanda jalan atau memberhentikan kenderaan untuk bertanya kepada orang yang tidak dikenali yang mungkin mengundang pelbagai risiko.
Menurut pembekal perkhidmatan GPS, peta lokasi dan kedudukan akan dikemas kini setiap tiga bulan, dan mungkin lebih kerap pada masa hadapan. Jika alamat sesuatu tempat berubah, maka bacaan kedudukan tempat boleh dicatat oleh tuan punya GPS. Kini, kebanyakan maklumat pejabat dan majlis dimasukkan maklumat bacaan GPS supaya tetamu terus ditunjukkan laluan ke tempat berkenaan.
Walaupun GPS sangat berguna sebagai peta perjalanan masa sebenar, hakikatnya pengguna mungkin kehilangan hak kerahsiaan. Seperti peranti elektronik lain, maklumat GPS boleh dipintas oleh pihak ketiga, termasuk penyangak dan penyamun. Barangkali pada masa hadapan, ada reka cipta termaju dihasilkan untuk menghalang pihak ketiga daripada melakukan perbuatan khianat dan jenayah menerusi pengesanan GPS sasaran.
Pengalaman memandu dengan bantuan GPS memang menyeronokkan juga, sekurang-kurangnya buat peringkat permulaan. Selain tidak payah bergantung kepada pemberi maklumat amatur, mutu audio GPS cukup jelas dan sentiasa memberi peringatan akan destinasi yang dituju sejak awal dan lebih kerap apabila sudah lima kilometer di hadapan. Seronok juga dapat menyakat GPS yang asyik meminta 'tukar laluan' apabila cadangan dari satelit itu tidak dipatuhi.
Apabila bacaan halaju kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan, GPS akan mengingatkan "pandu dengan cermat". Lebih istimewa apabila disebutkan peringatan berulang kali lokasi kamera perangkap had laju supaya fulus tidak melayang begitu sahaja. Kiranya berbaloi juga modal memberi GPS dalam era AES ini!
Selain panduan laluan dan kamera undur, GPS memuatkan pelbagai aplikasi lain termasuk permainan, MP4, video dan rekod perjalanan. Pendek kata, GPS juga boleh berfungsi sebagai catatan digital yang boleh dipercayai. Bahkan, kalau melancong ke luar negara, perkhidmatan GPS akan menjimatkan perbelanjaan kerana urusan pengangkutan boleh diurus sendiri dalam pakej pegendalian darat (ground handling)...
No comments:
Post a Comment