Sepertimana Harimau Malaya, skuad sang gajah putih atau Thailand juga dibarisi sepenuhnya oleh pemain kelahiran tempatan tanpa kelibat susuk naturalisasi. Namun, Thailand menggunakan khidmat jurulatih import, iaitu Winfred Schafer, sementara Harimau Malaya menggunakan kepakaran tempatan. Aksi pertama berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada hari Ahad, 9 Disember ini diikuti perlawanan di Stadium Supachalasai yang sudah berusia 77 tahun dengan muatan penonton sebanyak 19,793 orang penonton berbanding dengan Stadium Kebangsaan Rajamangala (16 tahun) yang tidak dapat digunakan atas sebab teknikal (muatan: 49,772 penonton) pada Khamis, 13 Disember.
Stadium Nasional Bukit Jalil dengan muatan penonton 100,000 orang merupakan stadium bola sepak ke-9 terbesar dunia yang mula dibuka sempena Sukan Komanwel 1998 dengan kos pembinaan RM800 juta. Stadium Rungrado May Day di Pyongyang, Korea Utara ialah stadium terbesar dunia dengan muatan 150,000 orang penonton. Bukit Jalil masih mengatasi stadium terkenal dunia yang lain seperti Wembley, London (90,000) dan Camp Nou, Barcelona (99,354).
Dari segi stadium, Harimau Malaya sudah menang besar, iaitu muatan penonton sebanyak lima kali ganda. Dari segi sejarah, Malaysia pernah layak ke Sukan Olimpik dua kali, memenangi pingat gangsa Sukan Asia, manakala Thailand tidak pernah sampai ke tahap itu. Skuad negara gajah putih itu hanya menyerlah di pentas Asia Tenggara dengan menjuarai AFF Suzuki sebanyak tiga kali, sama dengan Singapura, berbanding dengan Malaysia baru sekali pada tahun 2010.
Walaupun demikian, bola sepak bukan boleh diukur berdasarkan nostalgia, sejarah atau congak matematik secara konservatif. Bola itu bulat dan pelbagai kejutan boleh berlaku di atas padang, lebih-lebih lagi persaingan pada abad ke-21 yang sudah jauh berbeza dengan era dominasi pasukan tertentu lewat dekad 1970-an dahulu. Dengan peraturan baharu yang membenarkan pemain naturalisasi, pasukan belasahan Filipina pun sudah muncul sebagai pencabar yang sangat liat untuk dikalahkan.
Thailand memiliki Liga Profesional (TPL) dengan 18 buah pasukan terhandal yang banyak menggunakan kudrat pemain import dari pelbagai benua dan hadiah lumayan (10 juta baht) untuk juara liga. Dari segi fizikal, pemain Thailand boleh dikatakan sederhana sahaja, tetapi kepantasan dan kesungguhan mereka sekuat gabungan tenaga gajah putih dan lembu laga red bull yang menjadi kebanggan ekonomi Thailand. Sedikit sahaja kecuaian pihak lawan akan dihukum dengan serta-merta.
Jurulatih Thailand telah mula melancarkan serangan psikologi dengan mengatakan Harimau Malaya terlalu bergantung kepada Safee Sali walaupun pemain lain masih berupaya menjaringkan gol. Safee ialah pemenang kasut emas edisi 2010 dengan lima gol. Safee dikawal dengan ketat bersama Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dalam saingan kumpulan hingga hanya berupaya lolos satu gol sewaktu bertemu Laos.
Thailand juara kumpulan A dengan 9 mata maksimum dan jaringan 10-2 hasil kemenangan ke atas Filipina 2-1, Myanmar 5-0 dan Vietnam 3-1. Keseluruhan anggota skuad Thailand juga bebas daripada belenggu kecederaan, manakala kebolehan pemain simpanan juga setara dengan kesebelasan utama. Begitulah keyakinan yang dilaungkan oleh pengendali kulit putih mereka.
Harimau Malaya diberitakan masih bergelut dengan masalah kecederaan lima orang tonggak utama, termasuk Safee Sali dan Wan Zack Haikal. Walaupun sebagai naib johan kumpulan B, Harimau Malaya nyata lebih handal daripada Singapura berdasarkan rekod kemenangan dengan Laos 4-1 (Singapura berhempas pulas dengan 4-3), menumpaskan Indonesia 2-0 (Singapura kalah 0-1). Harimau Malaya hanya kecundang dalam perlawanan pertama dengan Singapura 0-3 kerana dikatakan masih belum menemui rentak sebenar tahap permainan.
Jika Safee dan Mat Yo dirantai oleh pertahanan Thailand, Harimau Malaya masih ada Mahali Jasuli, Safiq Rahim, Azamuddin Akil (Alex) dan Mohd Fadli Saas yang mampu menyerbu ke pintu gol (overlapping) apabila perlu dan kembali ke kedudukan asal masing-masing dengan cepat setiap kali berlaku serangan balas pasukan lawan. Teguran bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah supaya Mahali jangan leka terhadap peranan sebenar beliau sebagai benteng pertahanan perlu diberi perhatian. Pemain lain juga mesti cepat-cepat menutup ruang untuk rangkaian jentera serangan Thailand apabila berlaku keadaan sedemikian.
Hakikatnya kedua-dua pasukan Harimau Malaya dan skuad gajah putih memiliki peluang yang seimbang. Sebagai tuan rumah pusingan pertama, Harimau Malaya patut berusaha untuk membawa bekalan selesa apabila bertandang ke Bangkok empat hari selepas pertembungan di Bukit Jalil. Perbezaan dua gol sudah cukup baik, tetapi mesti jangan sampai ketinggalan pula. Harapan tinggi terhadap Harimau Malaya bukan sesuatu yang keterlaluan memandangkan skuad Datuk K. Rajagobal itu telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang diharungi.
Kekalahan di tangan Thailand 0-2 dalam perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan sebenar bermula patut diambil iktibar. Harimau Malaya mesti menebus kekalahan tersebut dengan bergaya, kalau boleh dalam kedua-dua pusingan perlawanan kali ini. Harimau Malaya tidak perlu gentar dengan reputasi Thailand yang boleh dikatakan setara sahaja. Sebaliknya, Harimau Malaya perlu turun dengan megah sebagai juara bertahan yang digeruni oleh semua pasukan yang bertanding.
Kesimpulannya, Harimau Malaya pasti berupaya melakar kemenangan yang selesa ke atas Thailand Ahad ini dengan syarat berjaya mengekang asakan bertali arus Thailand, di samping mengintai peluang membolos gawang gol lawan sebanyak mungkin. Tekanan perlu diteruskan kepada pasukan lawan sepanjang permainan supaya mereka tidak sempat menghela nafas lega. Selamat maju jaya Harimau Malaya!
No comments:
Post a Comment