Thursday, December 13, 2012

HARIMAU MALAYA MENEMPUH JALAN SUKAR DI BANGKOK (HARD TIME FOR MALAYSIAN SUZUKI AFF SOCCER SIDE)

Ketika permainan separuh masa pertama hampir berakhir, Harimau Malaya kehilangan tonggak pertahanan, Fadhli Saas yang dilayangkan kad kuning kali kedua oleh Lee Min-hu, 33, pengadil dari Korea Selatan. Provokasi pemain Thailand berjaya memancing emosi pemain muda tinggi lampai itu hingga terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan untuk meneruskan perjuangan. Tujuh minit usia separuh masa kedua, S. Kunalan yang cedera akibat asakan pemain Thai diganti oleh Khyril Muhaimin.
Dangda hukum kesilapan Amar Rohidan

Kedudukan separuh masa pertama kekal terikat tanpa gol yang bermakna pasukan gajah putih (sekarang gajah perang pula) memiliki kelebihan dari segi peraturan jaringan gol di tempat lawan. Tekanan jentera serangan Thailand akhirnya menyebabkan Amar Rohidan membuat kesilapan apabila tampanan bola lemah olehnya disambar oleh Teerasil Dangda untuk gol sulung pada minit ke-60. Empat minit berselang, tampanan penjaga gawang, Farizal Marlias pula muntah, lalu disambar pula oleh Teraton Bunmathan untuk menambah luka Harimau Malaya dengan ketinggalan 0-2, atau secara agregat 1-3.

Harimau Malaya tiada pilihan lain untuk menghidupkan peluang ke aksi akhir dengan membawa masuk Safee Sali untuk berganding dengan Mat Yo pada minit ke-72 dengan membawa keluar Badrol Bakhtiar. Namun, hingga ke minit terakhir, kubu Thailand masih kebal. Tiga minit tambahan masa kecederaan nampaknya terlalu suntuk untuk Harimau Malaya mencari sekurang-kurangnya gol sagu hati.

Harimau Malaya akhirnya akur untuk menyerahkan mahkota kejuaraan yang dimenangi untuk edisi yang lalu. Kini, Thailand akan berhadapan dengan Singapura pada 19.12 ini di tempat lawan terlebih dahulu sebelum perlawanan timbal balik di Bangkok tiga hari kemudian. Untuk rekod, kedua-dua pasukan ialah juara kumpulan masing-masing, serta memiliki sejarah yang setara, iaitu bergelar juara Piala AFF Suzuki sebanyak tiga kali.

Bola sepak negara menutup tirai tahun 2012 dengan nota duka. Perubahan bukan lagi satu pilihan jika pasukan negara tidak terus terkial-kial menghadapi ancaman pesaing baru muncul, sedangkan suatu ketika dahulu mereka tidak pernah dapat mengangkat muka. Sejarah bahawa Malaysia pernah berada pada kedudukan lebih tinggi daripada Jepun dan Korea Selatan pada dekad 1970-an dan 1980-an perlu sekali disebut-sebut sebagai pembakar semangat.

Legenda seperti Syed Ahmad dan Mokhtar Dahari patut diteladani dari segi komitmen dan kesungguhan untuk membawa negara layak ke temasya Olimpik. Kini, skuad negara hanya mampu bersaing dalam kancah saingan Asia Tenggara dalam keadaan yang payah. Mungkin alasan bahawa bola sepak moden sudah tidak sama seperti dahulu adalah benar, tetapi sementara orang lain terus mara, skuad kita pula makin berundur!

Sudah tiba masanya bola sepak tempatan menerima sentuhan kepakaran terbaik, sama ada dari segi kejurulatihan, mahupun pengurusan. Jika pasukan negeri sanggup berbelanja besar untuk membawa masuk pemain import pencen yang pernah menempa nama di gelanggang Eropah, mengapa tidak dengan pasukan kebangsaan? Datuk K. Rajagobal harus mengambil tanggungjawab atas kegagalan Harimau Malaya tanpa senarai alasan yang tidak ada nilai lagi.

...

...

...

...

No comments:

Post a Comment