Separuh masa kedua baharu bermula tiga minit setelah Harimau Malaya dan Gajah Putih masih terikat tanpa sebarang gol. Tiba-tiba Mat Yo (Norshaharul Idlan Talaha) yang kemarau gol muncul memecah kebuntuan dengan tendangan menerjah jaring gol Thailand untuk pendahuluan 1-0. Kedua-dua pasukan menurunkan lima orang pemain tengah, dengan Malaysia memasukkan Badrol Bakhtiar bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Safee Sali yang memanaskan bangku pemain simpanan.
Pada minit ke-60 gerakan kreatif Mat Yo nyaris menghasilkan gol kedua apabila penjaga gol Thailand hilang kawalan, tetapi tiada pemain Malaysia yang berhampiran untuk menyambar peluang terbuka berkenaan. Thailand juga membuat beberapa percubaan jarak jauh, tetapi berjaya dinafikan oleh Farizal Marlias yang berjaya membuat bacaan dan kawalan yang tepat. Pada minit ke-74, Harimau Malaya melakukan dua pertukaran pemain sekali gus, iaitu Safee Sali dibawa masuk bagi menggantikan Amar Rohidan, manakala S. Kunalan menggantikan Badrol Bakhtiar untuk formasi 4-4-2 semula.
Seminit berselang, Gajah Putih mengikut jejak langkah Harimau Malaya dengan mengeluarkan seorang pemain tengah untuk gantian jentera serangan. Akhirnya, pada minit ke-79, Gajah Putih berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi satu tandukan cantik Teerasil Dangda ke penjuru kanan gawang yang tidak dapat dijangkau oleh Farizal walaupun berjaya melayangkan badan ke arah bola itu. Seminit selepas itu, jurulatih Thailand diarah meninggalkan kawasan bangku pemain simpanan kerana menimbulkan kekecohan.
Buniyamin Omar kemudian dibawa keluar untuk memberi laluan kepada Zuber untuk mengukuhkan benteng Harimau Malaya yang menghadapai asakan berganda Gajah Putih yang mahu mendapatkan kelebihan peraturan gol di tempat lawan. Safee nyaris menyumbat gol kedua, tetapi peluang 100 peratus itu berjaya ditolak keluar oleh penjaga gol Thailand. Dalam minit terakhir tambahan empat minit permainan, Mat Yo hampir menjadi pemusnah Gajah Putih apabila tendangan terus ke pintu gol terbias oleh benteng Thailand.
Perlawanan berkesudahan dengan seri 1-1 yang bermakna tugas getir menanti Harimau Malaya ketika bertandang ke tempat lawan Khamis ini. Jika di Bukit Jalil sejumlah 70,000 penyokong tempat membanjiri stadium, manakala dianggarkan hanya 1,000 orang penyokong Thailand yang hadir. Namun, Stadium Supachalasai, Bangkok yang hanya mampu menampung muatan 20,000 orang penonton sudah tentu mengehadkan kuota untuk jumlah penyokong Harimau Malaya.
Secara konservatif, Thailand hanya memerlukan kedudukan seri 0-0 untuk mara ke perlawanan akhir atas peraturan jaringan gol di tempat lawan. kalau seri 1-1 perlu penentuan masa tambahan dan jika masih seri penentuan sepakan penalti. Jika 2-2 di bangkok, Harimau Malaya yang akan melangkah ke saingan akhir.
Nampaknya kedua-dua perlawanan separuh akhir AFF Suzuki berakhir dengan keputusan seri. Singapura berjaya mengutip sedikit kelebihan apabila berjaya mengikat skuad The Azkals atau Filipina 0-0 di Manila. Namun, Singapura tidak boleh seri dengan sebarang jaringan di tempat sendiri Rabu ini kerana jika perkara itu terjadi, Filipina akan mengisi slot perlawanan akhir secara automatik juga atas peraturan jaringan gol di tempat lawan. Dalam kata lain, jika Filipina berjaya membuat gol pendahuluan, Singapura berada di ambang penyingkiran.
Misi wajib Harimau Malaya, sebagaimana Filipina ialah untuk memperoleh jaringan pendahuluan untuk memberi tekanan kepada tuan rumah. Jika Harimau Malaya berjaya mengekalkan rentak permainan pantas sambil berjaya menutup ruang untuk Thailand menghampiri kotak penalti, harapan untuk mengetuk pintu perlawanan akhir terbuka luas. Malaysia bukan tidak biasa bermain dengan Thailand.
...
...
...
No comments:
Post a Comment