Wednesday, December 19, 2012

TEKNIK "I ACT" DALAM PENULISAN KARANGAN (ACRONYM METHOD IN GENERATING IDEAS)

Bidang ikhtisas (profesional) banyak menggunakan perlambangan (metafora), singkatan ejaan (akronim) dan tamsilan bagi merujuk sekumpulan idea yang tersusun. Sebagai contoh, ikon bidang kreatif, Edward de Bono menggunakan akronim seperti OPV (other people's view) bagi menjelaskan kemahiran mendengar. Analisis SWOT pula ialah singkatan kepada strengths, weaknesses, opportunities, threats sebagai kerangka sumbang saran bagi muhasabah pencapaian dan prospek sesebuah oganisasi atau apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan proses membuat keputusan strategik.

Pada hari Sabtu yang lalu (15/12/12), pukul sebelas pagi menerusi saluran radio Traxx.fm, seorang pengamal perubatan keselamatan pekerjaan, Dr. Azrul Zaiman bin Dato' Abdullah telah bersiaran secara langsung di udara bersama pengacara di konti. Salah satu penjelasan beliau yang menarik ialah strategi I ACT (saya bertindak) yang mewakili kenal pasti (Identify), menilai (Assesing), kawalan (Controlling) dan rawatan (Treatment). Dr. Azrul menjawab soalan tentang peranan doktor perubatan dalam konteks kesihatan di tempat kerja yang terdedah kepada bahan kimia, habuk dan kebisingan.

I ACT itu lebih kurang sama dengan kaedah umum perubatan, iaitu diagnosis, terapi dan prognosis. Diagnosis ialah proses mengenal pasti masalah yang dialami oleh pesakit, terapi ialah rejim rawatan yang tepat dan prognosis ialah proses susulan atau keperluan rawatan selanjutnya. Proses berkenaan boleh berulang kali berlaku dalam banyak pusingan.

Peringkat diagnosis pula tidak ubah seperti perbicaraan mahkamah yang membabitkan hakim mahkamah sesyen dan majistret, mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah agung (persekutuan). Keputusan pemeriksaan doktor biasa (general practitioner) perlu dirujuk kepada doktor pakar, serta alat yang lebih tepat. Penyakit kritikal seperti lemah jantung dan ketumbuhan misalnya akan melalui peringkat pemeriksaan yang lebih banyak bagi mendapatkan pengesahan muktamad justeru pesakit seperti seorang tertuduh di kandang mahkamah untuk menerima keputusan dan hukuman daripada hakim.

Sekarang kita beralih kepada aplikasi I ACT dalam konteks menulis karangan yang baik. Tajuk yang berkaitan dengan sesuatu isu sama ada politik, ekonomi, sosial, teknologi dan akhlak (PESTA) boleh menerima pakai I ACT. Sesuatu isu hanya dapat digarap dengan jitu jika proses melihat isu berkenaan secara paling tepat.

Katakan tajuk karangan berkaitan dengan pencemaran ejaan akibat sistem pesanan ringkas (SMS) yang begitu berleluasa. Penulis atau calon peperiksaan hendaklah mengenal pasti (I) bidang isu yang dikehendaki, pihak yang terbabit, tahap masalah (intensity) dan kaitannya dengan pencemaran ejaan. Isu SMS berlaku kepada semua bahasa kerana generasi muda yang bersifat serba cepat dan serba membuang (disposable society generation).

Jika ruang sembang secara maya menerusi laman sosial memiliki kamus singkatan ejaan yang tersendiri seperti LOL (laugh on loud, ketawa besar) dan OMG (Oh My God, Oh My Goodness, Oh Tuhan), maka demikian juga dengan SMS. Dalam bahasa Melayu, semakin banyak ejaan telah disingkatkan macam sistem trengkas dulu-dulu. Perkara yang sama juga sudah biasa dilakukan oleh pelajar universiti ketika mencatat nota kuliah yang disyarahkan macam kereta api laju filem Tamil.

Antara ejaan kontroversi ialah untuk ucapan assalamualaikum yang ditulis sebagai akum sahaja sehingga menghilangkan maksud dan kemuliaan lafaz tersebut sebagai doa kesejahteraan. Sebagai jalan tengah, ulama mencadangkan supaya ditulis sebagai 'salam' sahaja. Namun, dengan teknologi salin dan tampal (copy and paste) daripada templat yang disediakan, masalah itu mungkin dapat diselesaikan dengan mudah.

Langkah seterusnya ialah menilai tahap masalah yang berlaku (A). Penulis atau calon peperiksaan perlu menimbulkan perbahasan tentang pengaruh singkatan ejaan terhadap bahasa. Bolehkan rungutan segelintir guru dan sarjana bahasa diambil kira sebagai petanda bahawa SMS telah muncul sebagai ancaman kepada penggunaan bahasa yang murni?

Peringkat kawalan (C) merujuk terhadap proses pencegahan jika maslah yang dikenal pasti belum begitu rumit. Penulis atau calon peperiksaan boleh mengemukakan saranan biasa seperti kempen kesedaran menerusi media massa, di sekolah dan keluarga. SMS tidak mungkin dapat disekat menerusi kuat kuasa undang-undang memandangkan sifatnya lebih kepada komunikasi peribadi dan tidak rasmi.

Akhir sekali, rawatan (T) hanya diperlukan setelah langkah kawalan masih gagal dan tidak berkesan sama sekali. Dalam konteks pencemaran bahasa akibat SMS, tindakan yang diambil bukanlah dengan mengharamkan singkatan ejaan dalam SMS, tetapi sekatan yang tegas dilakukan terhadap proses penulisan dokumen rasmi, karangan murid sekolah dan majlis rasmi. Teguran yang berhemah mesti dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan yang lebih adil dan tegas hendak dilaksanakan...

No comments:

Post a Comment