Ungkapan seperti 'guru umpama lilin membakar diri', 'guru umpama matahari' sudah biasa disebut. Banyak lagi ungkapan dicipta sebagai metafora atau perlambangan tentang sekolah, guru dan muridnya. Metafora tidak semestinya suatu kebenaran yang muktamad, tetapi pengaruhnya sangat kuat.
Dalam satu hadith dilaporkan bahawa anak-anak (kecil) ibarat kain putih. Maka, ibu dan bapalah yang mencorakkan mereka sama ada ke arah kebenaran (iman dan amal saleh) atau kesesatan (yahudi dan nasrani). Terdapat sebuah naskhah hebat tentang kaedah pendidikan anak-anak yang ditulis oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan yang berjudul Tarbiyatul Aulad yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Di sekolah, para guru yang dibayar gaji menerusi sumber hasil negara, terutama kutipan cukai, memikul amanah sebagai ganti ibu bapa, atau dalam konsep undang-undang pendidikan disebut sebagai in loco parentis (untuk rujukan lanjut, klik di sini). Namun, amanah itu tertakluk kepada prinsip the duty of care (perinciannya di sini). Secara am, para guru hendaklah melaksanakan segala kewajipan yang ditentukan bagi menolong murid dalam proses pembelajaran.
Metafora paling mudah dan simplistik ialah menganggap kanak-kanak sebagai bekas kosong yang perlu dipenuhkan dengan apa-apa cara sekalipun. Akibatnya, kanak-kanak dikehendaki senyap membatu bagi menerima segala maklumat yang disampaikan oleh guru menerusi komunikasi sehala. Apabila kerjaya keguruan hanya diisi oleh ahli ikhtisas, maka telah berlaku sekian banyak transformasi kaedah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, atau disebut sebagai pedagogi.
Sebagaimana jari tidak sama panjang, cop jari dan suara setiap manusia berbeza, malah profil Deoxyribonucleic acid, ringkasnya DNA setiap manusia juga unik dan tersendiri, begitulah juga dengan kebolehan dan pencapaian murid tidak akan sama semuanya. Maka muncul konsep seperti pendemokrasian pendidikan, pendidikan inklusif dan pendidikan eksklusif. Semua murid diberi hak akses kepada pendidikan bermutu, tetapi dengan reka bentuk pembelajaran yang sejajar dengan pencapaian masing-masing.
Terdapat suatu maksim yang berbunyi bahawa pencapaian murid ialah bayangan kebolehan seseorang guru. Perkara itu mungkin bersifat spekulasi dan tidak berpiak di bumi nyata, justeru konsep pencapaian murid juga boleh dilihat daripada perspektif yang berbeza-beza. Pakar motivasi menganggarkan bahawa setiap kanak-kanak memiliki sejumlah 120 bakat dan hanya tiga daripadanya dapat dilihat dengan mata kasar.
Tugas guru ialah untuk mengembangkan segala bakat, potensi dan fakulti yang ada dalam diri kanak-kanak ke tahap optimum tanpa syarat. Guru yang peka berupaya mencungkil bakat murid yang terpendam, atau menyerlahkan sisi murid yang tersembunyi. Secara metafora, guru berusaha untuk menyuluh dan menimbulkan bahagian bongkah air yang terapung di bawah permukaan air sebanyak mungkin.
Andaian bahawa murid umpama bahan mentah yang sudah digredkan awal-awal lagi bakal mendatangkan kerugian kepada mereka dalam jangka panjang. Sebahagian murid akan dilabel sebagai tiada harapan lagi (gone cases), lalu tiada usaha intervensi yang bersungguh-sungguh dilakukan. Murid mengalami diskriminasi, disisihkan dan menjadi mangsa keadaan.
Perbincangan tentang analisis input --> proses --> output sedemikian mungkin sesuai untuk proses pengeluaran barang di kilang-kilang, tetapi murid berhak dilayan sesuai dengan fitrah dan kemuliaan sebagai insan. Model kotak hitam itu telah lama didebatkan, namun masih dipercayai oleh golongan simplistik yang enggan berfikir dan membuat kajian secara jitu. Model kotak hitam dikritik dengan hebat, lalu muncul konsep berfikir di luar kotak.
Sebagai ahli ikhtisas, para guru memang telah diberi pendedahan yang mencukupi tentang kreativiti dan pembaharuan amalan bilik darjah yang terbaik menerusi pengalaman diri sendiri dan pengalaman pihak lain. Guru tidak sesekali akan berputus asa, buntu atau tenggelam punca dalam menghadapi murid yang bermasalah pembelajaran. Guru sentiasa mencari jalan supaya murid dapat ditolong sehingga mereka mampu digilap sebagai insan yang layak, berguna, berdikari dan menyumbang terhadap kesejahteraan diri sendiri dan persekitaran.
...
...
No comments:
Post a Comment