Tuesday, January 15, 2013

LUBANG TIKUS, PERANGKAP TIKUS (LEARNING FROM THE RODENTS WORLD)

Tikus sering dikaitkan dengan perkara negatif seperti pembawa penyakit, kotor dan makhluk perosak yang dibenci. Namun, dalam sejarah perkembangan sains dan teknologi, tikus boleh dianggap sebagai spesies yang istimewa. Kamus Dewan edisi IV (2005:1683) mentakrifkan tikus sebagai sejenis binatang mengerip, iaitu menggigit berdikit-dikit (sedikit demi sedikit), mengerumit atau mengunggis, serta mengeluarkan bunyi seperti mengikis.

Tetikus pula bukan berupa kata ganda separa 'daun-daun' yang dilemahkan menjadi 'dedaun', tetapi suatu istilah khusus dalam teknologi komputer sebagai setara dengan mouse device dalam bahasa Inggeris. Tetikus merujuk peranti komputer yang digunakan sebagai penunjuk untuk mengawal kursor dan untuk memilih objek pada tabir paparan komputer (Ibid:1678). Tetikus optik atau lebih dikenali sebagai tetikus tanpa wayar menggunakan teknologi sinaran merah untuk mewujudkan hubungan dengan komputer.
imej Wikipedia

Peristiwa kejatuhan Sadam Hussien Abd al-Majid al-Tikriti sebagai diktator Iraq juga dikaitkan dengan tikus, iaitu beliau ditangkap oleh tentera Amerika Syarikat ketika sedang bersembunyi di sebuah lubang tikus (dalam bahasa Inggeris: spider hole) pada tanggal 13 Disember 2003 di sebuah rumah ladang di ad-Dawr, berhampiran tempat kelahiran Saddam. Hal itu tidak bermaksud bahawa Saddam Hussien menumpang tempat persembunyian tikus, sebaliknya menggambarkan saiz tempat persembunyian yang kecil, serta tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Merujuk lakaran ilustrasi di atas, lubang tikus juga ialah salah satu taktik peperangan darat.

Dunia ilmu pengetahuan dan penyelidikan juga terhutang budi dengan tikus yang mengganti tempat manusia sebagai sampel uji kaji dalam makmal. Kumpulan pencinta haiwan dan alam sekitar menganggap penggunaan tikus makmal sebagi kejam lagi tidak berperikemanusiaan. Namun, hingga ke hari ini, pemerhatian tentang tindak balas tikus terhadap pelbagai rangsangan, termasuk kaji penyakit diterima sebagai data yang sah.

Banyak sekali peribahasa Melayu mengaitkan tikus dengan hal-hal yang kurang baik. Contohnya:
a.  awak tikus hendak menampar kepala kucing (tidak berdaya mencapai cita-cita)
b. bagai tikus membaiki labu (orang yang cuba membaiki sesuatu yang tidak diketahuinya, akhirnya merosakkannya)
c.  marahkan tikus, lengkiang dibakar (kerana sakit hati akan sesuatu yang kecil maka melakukan sesuatu yang mendatangkan kerugian besar)
d.  rumah terbakar, tikus habis keluar (apabila negeri ditimpasesuatu  malapetaka, penduduknya daripada orang dagang pun keluarlah meninggalkannya)
e.  seperti tikus masuk roman (orang berasa kecewa kerana tidak mendapat seperti yang diharapkan)

Perincian tentang penyakit bawaan tikus boleh dirujuk di sini. Secara biologi, tikus bukan menjadi punca langsung penyakit, tetapi aktiviti tikus mencari makanan yang tercemar menyebabkan ia menjadi perumah kepada bakteria dan virus pembunuh manusia. Di negara kita, kes korban kencing tikus (leptospirosis) yang membabitkan dua orang selebriti (Allahyarham Din Beramboi dan Allahyarham Izwan Pilus), serta beberapa orang remaja di tempat perkelahan air terjun pernah menggemparkan masyarakat kita.

Di sebalik hal-hal negatif yang dikaitkan dengan sifat pengotor sang tikus, para pengkaji juga membuat pengamatan terhadap kelebihan yang dimiliki oleh tikus, terutama dari segi kepekaan deria dan pembiakan. Tikus ialah antara haiwan yang paling pintar mengelakkan diri daripada bertembung dengan manusia. Perbuatan tikus menceroboh dapur dan mencuri makanan begitu licik dan berlaku pada waktu yang tertentu sahaja.

Sisi positif makhluk ciptaan Ilahi yang bernama tikus juga pernah diangkat lewat sebuah filem animasi janaan komputer yang berjudul Ratatouile. Seekor tikus yang bernama Remy digambarkan sebagai membenci kekotoran dan dunia penyakit, sebaliknya sangat berminat dengan bisikan halunisasi chef terkemuka di kota Paris, Auguste Gusteau yang telah meninggal dunia. Dalam kesusasteraan Melayu 1960-an, terdapat sebuah naskhah satira dengan judul "Tikus Rahmat", karya Hassan Ibrahim yang pernah disifatkan sebagai ramalan intelektual tentang masa depan negara oleh S. Othman Kelantan.

Tikus juga seolah-olah pintar menyesuaikan diri dengan persekitaran. Di bandar raya pencakar langit seperti Tokyo dan New York, tikus ditemui bersembunyi dan membiak di aras tinggi. Pelbagai teknologi pelupusan tikus dilakukan kerana kawalan biologi seperti memelihara kucing rumah (domestic cat) tidak kena sama sekali. Tikus diisytiharkan sebagai musuh tempat aktiviti peribadi dan sosial manusia.

Dalam sistem rantaian makanan, tikus ialah pemangsa dan mangsa sekali gus. Tikus membaham apa-apa sahaja yang boleh dimakan sama ada haiwan yang lebih kecil atau sebarang benda yang boleh digigit. Namun, tikus juga menjadi buruan kebanyakan haiwan lain, terutama ular, musang, burung helang dan burung hantu.

Sementara itu, perkataan politikus tiada kena-mengena dengan tikus. Politikus ialah kata terbitan daripada kata dasar politik yang membawa makna ahli politik, bukan gabungan awalan poli dan tikus. Malah, dari segi asal usul istilah (etimologi), perkataan politik merujuk kepada ahli politik lelaki (bentuk kata tunggal, mufrad, singular) dalam tradisi Greek purba.
Tikus sangat licik ketika menyembunyikan diri dengan senyap, atau menikus seperti pepatah Inggeris bermaksud 'diam itu emas' (silent is golden). Namun, kelicikan tikus tidak dapat menandingi kelicikan manusia yang dibantu oleh teknologi. Kajian tentang kelemahan tikus digunakan sebagai perangkap supaya tikus yang menceroboh ke dalam rumah dan bangunan dapat diusir...

No comments:

Post a Comment