Kita sering mendengar ungkapan bahawa dengan lebih banyak memberi, maka kita juga akan lebih banyak menerima, the more we give, the more we get (baca di sini). Sifat pemurah juga ialah lambang seorang insan yang bersyukur (Ibrahim, 24:7). Orang yang bersyukur bakal ditambahkan nikmat bagi mereka, manakala orang yang ingkar akan menerima azab seksa yang pedih.
Sifat pemurah lawan bagi sifat kedekut. Dalam satu slot motivasi radio Ikim.fm disebutkan bahawa orang yang kedekut akan sentiasa mengalami kerugian dalam kehidupan, baik di dunia mahupun di akhirat. Orang yang kedekut bukan sahaja berlaku zalim kepada orang lain, bahkan menafikan hak diri sendiri untuk menikmati rezeki kurniaan Ilahi.
Sebagaimana gila yang ada 99 macam, sifat kedekut juga terlalu banyak bentuk dan cabang. Sifat kedekut yang ekstrem dipanggil sebagai bakhil, manakala kategori kedekut yang ringan sedikit dipanggil lokek. Orang kedekut diumpamakan sebagai genggam air tidak tiris atau tahi hidung masin.
Orang yang kedekut sangat curiga kepada sebarang bentuk derma, sedekah, tajaan, wakaf dan seumpamanya. Mereka akan memberi pelbagai alasan dan justifikasi supaya wang ringgit dan harta benda mereka tidak dikongsi dengan orang lain. Golongan kedekut juga sanggup menipu penyata hitungan cukai dan zakat pendapatan.
Orang kedekut beranggapan bahawa kekayaan dan rezeki yang dimiliki merupakan hasil titik peluh mereka sendiri sehingga orang lain tidak mempunyai alasan untuk mengendeng atau 'mengurat' wang ringgit dan harta benda mereka. Orang kedekut buat-buat tuli akan label yang disebut secara terbuka atau pandangan sinis orang lain bahawa diri mereka berakhlak rendah. Lebih teruk lagi bahawa golongan kedekut sudah lupa bahawa segala nikmat yang diperoleh hanya terjadi dengan izin-Nya jua.
Jenis kedekut yang lain ialah berat melafazkan ucapan penghargaan dan terima kasih terhadap orang lain. Orang kedekut beranggapan bahawa tanpa ditolong, dia sendiri mampu menyelesaikan sebarang masalah. Orang lain semuanya berkepentingan dan tidak ikhlas.
Dalam konteks pembelajaran di sekolah, sifat kedekut memberi pengukuhan boleh menjejaskan. Aktiviti di bilik darjah menjadi kaku, lesu dan penuh tekanan. Komunikasi yang membosankan itu dilanjutkan pula dalam dunia pekerjaan sehingga bahasa mesra dan ceria tidak mendapat tempat yang sewajarnya.
Sifat kedekut mungkin diwarisi secara turun-temurun akibat persekitaran keluarga yang tamak haloba dan jahil. Mereka hanya nampak kerugian apabila harus berkongsi dengan orang lain, sedangkan tuntutan supaya berbelanja untuk kebaikan dan kebaktian sudah jelas dalam nas al-Quran dan al-Hadith. Apabila mereka menutup mata buat selama-lamanya, harta yang ditimbun hanya menjadi milik waris yang akan melanjutkan lagi sifat kedekut berkenaan kepada generasi berikutnya.
...
No comments:
Post a Comment