Ura-ura mewajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membawa erti bahawa syarat persijilan terbuka mengalami perubahan. Ketika mula diperkenalkan mulai tahun 2003, calon hanya perlu lulus Bahasa Melayu sebagai syarat mendapat sijil dan kalau gagal Bahasa Melayu pula, walaupun semua mata pelajaran lain lulus, calon dikira gagal. Kemudian, terdapat pengumuman bahawa Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat mendapat sijil.
Namun, pelaksanaan wajib lulus Bahasa Inggeris hanya akan dilaksanakan setelah semua pihak yang berkenaan, terutama murid dan guru telah bersedia. Maksudnya, murid memiliki peluang akses pembelajaran Bahasa Inggeris yang setara daripada guru yang cukup terlatih, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Dengan usaha menutup jurang digital menerusi penembusan jalur lebar di semua sekolah, termasuk kawasan pedalaman, inovasi dalam pembelajaran Bahasa Inggeris lebih mudah disampaikan.
Jika Sejarah dan Bahasa Inggeris juga wajib lulus sebagaimana Bahasa Melayu, calon SPM sudah ada tiga mata pelajaran yang mesti diberi tumpuan tanpa gagal. Slogan 'lulus BM lulus SPM, gagal BM gagal SPM' perlu dipinda, khususnya bagi program harapan lulus (halus) dan kelas pemulihan. Barangkali setelah murid yang kurang kecenderungan akademik ditempatkan di kolej vokasional, kelas-kelas seumpama itu di sekolah harian mungkin tiada lagi.
Sebelum aliran Inggeris dimansuhkan pada tahun 1980 dan peperiksaan Malaysian Cerificate of Education (MCE) juga berakhir, calon SPM tidak boleh mendapat gred kepujian dalam Bahasa Inggeris. Sehabis baik pun, calon SPM hanya boleh mencapai gred 7P. Pengenalan kertas English Communication 121 pada tahun 1978 ialah langkah awal membolehkan calon SPM (aliran Melayu) beroleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Setelah semua sekolah bertukar kepada aliran Melayu atau kebangsaan, semua calon wajib menduduki kertas Bahasa Inggeris 121 dan dibenarkan menduduki kertas English 1119 yang dikendalikan oleh Cambridge. Kini, calon SPM hanya menduduki satu kertas Bahasa Inggeris, tetapi diberi dua gred, iaitu tempatan dan antarabangsa. Gred antarabangsa mengikut piawaian Cambridge hanya mengambil kira bidang penulisan.
Cabaran pembelajaran bahasa Inggeris lebih ketara dalam kalangan murid luar bandar dan pedalaman yang dipengaruhi oleh persekitaran harian yang menggunakan komunikasi bahasa slanga. parokial atau kolokial tempatan. Masalah bukan hanya berlaku terhadap pembelajaran bahasa Inggeris, bahkan untuk bahasa Melayu sendiri. Kebiasaan bertutur dalam loghat kedaerahan mengakibatkan penggunaan bahasa baku menjadi bahan lawak jenaka dan dipandang sebagai janggal.
Murid luar bandar bukan tidak pintar dalam pembelajaran bahasa Inggeris, tetapi mereka mungkin belum mencapai potensi sebenar ketika di sekolah. Buktinya, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 telah membuka laluan kepada pelajar yang berasal dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak fasih berbahasa Inggeris mencapai mobiliti pendidikan yang tinggi, sekali gus mengubah status sosioekonomi keluarga masing-masing. Di UKM, modul pembelajaran bahasa Inggeris di bawah kod MF sebanyak enam kertas semuanya telah mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris semua mahasiswanya yang wajib lulus sebagai syarat pengijazahan.
Siswazah UKM terawal telah mendaki puncak tertinggi kerjaya sehingga banyak yang bergelar profesor dan naib canselor setelah menyambung pengajian ijazah lanjutan di universiti ternama dunia, serta melakukan penyelidikan yang autentik. Sekarang, siswazah UKM juga sudah menyandang jawatan menteri kabinet, exco kerajaan negeri, tokoh korporat, dermawan, ketua pengarah dan ketua setiausaha pelbagai kementerian. Terkini, ketua pengarah kesihatan Malaysia juga ialah siswazah UKM.
Keadaan sudah berubah lagi apabila syarat lulus minimum Band 3 dalam kertas Malaysian University English Test (Muet) untuk tujuan pengijazahan. Malah, kursus kritikal yang menjadi rebutan seperti perubatan, pergigian, farmasi, optometri, kejuruteraan, undang-undang dan perakaunan memerlukan pemohon memperoleh Band 4 atas sebab persaingan yang begitu sengit. Pemohon yang hanya berbekalkan Muet Band 1 atau Band 2 hanya boleh mengharapkan kursus bukan ikhtisas, tetapi mesti membaiki keputusan Muet semasa belajar di universiti.
Negara mungkin kehilangan banyak lagi bakat yang tidak dapat dikembangkan hanya kerana halangan bahasa Inggeris di peringkat sekolah dan sukar pula diubah di peringkat universiti. Sesuatu perlu dilakukan bagi menampung keciciran bakat besar yang tersekat kerana sebab ketaksuban sesetengah pihak terhadap kompetensi bahasa Inggeris. Satu kajian skala besar hendaklah dilakukan bagi menentukan natijah wajib lulus bahasa Inggeris SPM dan kajian kes kejayaan UKM mengeluarkan siswazah hebat yang datang dari aliran kebangsaan dengan penguasaan bahasa Inggeris yang ala kadar sahaja...
TERFIKIR SEJENAK: NAPE PPSMI DAHAPUSKAN, TIBA2 WAJIB LULUS BI PULA?...BUKANKAH PPSMI D PERINGKAT RENDAH TU SEKURANG2NYA DPT MEMBANTU MURID DLM PENGUASAAN BI D PERINGKAT AWAL SEKOLAH RENDAH TERUTAMA LUAR BANDAR...(ANAK BUAH DARI DARJAH 1 - 6 BELAJAR DLM BI/PPSMI, BILA PPSMI DIHAPUSKAN BELAJAR SEMULA DLM BM (SAINS &MT) TERKEBIL2 DIA X TAU ISTILAH2 DLM BAHASA MELAYU....ORANG BELAJAR DARAB, DIA DOK TANYA...DARAB TU APE?)
ReplyDeletepelajar inggerris di UK, Korea, Jepun,sejak bila bila habis sekolah tahu bertutur bahasa Melayu? Ataupun pelajar bahasa Inggerris atau Russia tahu bertutur bahasa Jerman bila lepas sekolah.
ReplyDeleteKesian bahasa Melayu, tidak dapat berpijak dibumi nyatanya seolahnya ini bukan Tanah Melayu maka perlu bahasa Inggerris. Bukan itu saja, rang undang2 pun dalam bahasa Inggerris.
Mungkin Bahasa Melayu tarafnya ibarat kelas pariah tak boleh bawa orang Melayu ketahap lebih kedepan. Adakah begitu?
kalau grade k ? what the meaning of that ?
ReplyDelete