Berdasarkan pengalaman sendiri sebagai guru ekonomi, dan laporan rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), masalah utama yang dikenal pasti dalam kalangan calon STPM ialah bahagian penulisan esei. Sebahagian calon didapati masih keliru kerana terlalu terikat dengan format karangan umum bahasa, atau menggunakan laras ayat yang juga bersifat umum. Calon juga didapati menghadapi kesukaran untuk menulis huraian bagi tugasan dengan bantuan gambar rajah, atau tanpa bantuan gambar rajah.
Jika soalan tidak menyatakan 'dengan bantuan gambar rajah' atau 'dengan bantuan jadual berangka' bermakna bahawa calon hanya dikehendaki menghuraikan sesuatu konsep, prinsip atau teori. Sebarang bentuk data, jadual atau keluk hanya dijadikan rangka jawapan dan tidak perlu muncul dalam skrip jawapan sebenar. Sebagai contoh, tugasan berbunyi 'Terangkan kesan peningkatan cukai ke atas fungsi perbelanjaan agregat dan fungsi bocoran, serta ke atas keseimbangan pendapatan negara'.
Ayat pertama jawapan hendaknya menegaskan bahawa cukai menyebabkan pendapatan boleh guna (Yd) jatuh, lalu keluk fungsi penggunaan juga beralih ke bawah mengakibatkan keluk fungsi perbelanjaan agregat (AE) juga beralih ke bawah, manakala keluk fungsi bocoran beralih ke sebelah atas kiri. Hubungan geometrik secara menegak antara keluk AE-AS dengan J-W kemudian dijelaskan secukupnya. Arah dan saiz perubahan yang berlaku mesti dikaitkan dengan nisbah kecenderungan mengguna sut (MPC).
Saranan kaedah perkataan LAST dalam perbincangan ini tidak merujuk maksud terakhir, sebaliknya cantuman kepada Lokus, Arah, Saiz dan Teori. Lokus merujuk kepada titik atau tingkat rujukan, misalnya tingkat keseimbangan asal, tingkat keseimbangan baharu, tingkat pendapatan negara pada guna tenaga penuh dan sebagainya. Arah pula dilambangkan oleh istilah seperti naik / turun, meningkat /jatuh, kanan / kiri, atas / bawah, bertambah / berkurang, mengembang / menguncup, membesar / mengecil dan sebagainya.
Saiz diwakili oleh perkataan seperti lebih besar / lebih kecil; lebih tinggi / lebih rendah, atau diwakili oleh jarak antara titik ko-ordinat tertentu. Teori akan mengikat segala huraian lokus, arah dan saiz tadi. Huraian berakhir dengan satu penegasan teori yang berkaitan.
...
...
...
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment